November 22, 2024

Search
Close this search box.
people holding malaysia flag celebrating independence day

Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga merupakan institusi penting dalam pembangunan bakat yang berperanan besar dalam memajukan sesebuah negara. Bagi mahasiswa, universiti dilihat sebagai tapak semaian yang ‘subur dan kaya’ untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan memiliki sahsiah dan semangat yang tinggi dalam membugar keupayaan diri demi masa depan.

Mahasiswa inilah bakat dambaan negara yang mempunya jiwa yang bebas dan berfikiran terbuka, berdaya saing, serta berpandangan jauh. Seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dilihat bertepatan dengan semangat yang dibawa, bagi kami sebagai anak muda yang inginkan perpaduan dan kebebasan berfikir dijadikan asas kemajuan negara yang holistik dan progresif.

Malaysia MADANI bukan sekadar sebuah konsep, tetapi merupakan aspirasi untuk menjadikan negara maju yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keterbukaan. Idea ini melambangkan kesepaduan dalam sebuah negara progresif, di mana rakyat berbilang kaum bersatu dengan jati diri yang teguh. Harapan Malaysia MADANI adalah untuk menjadikan perpaduan sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi kemajuan dan kemodenan berteraskan enam teras utama yang terdiri daripada kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat-menghormati, keyakinan, dan ihsan.

Dalam konteks pendidikan tinggi, universiti memainkan peranan besar dalam menyuburkan kebebasan berfikir dan berkreativiti. Bagi mahasiswa, Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan daripada sebarang elemen negatif dalam menerapkan semangat patriotisme dan cinta akan negara melalui aspek pemikiran, integrasi sosial, dan ekonomi. Kebebasan ini adalah kunci untuk melahirkan bakat yang mampu memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara. Namun, kebebasan ini perlu disertai tanggungjawab. Setiap keputusan mahasiswa perlu berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Universiti perlu memainkan peranan dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berjiwa patriotik dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Pemikiran ke hadapan adalah elemen penting dalam usaha ini. Dunia kini sedang bergerak pantas, dan perubahan berlaku dalam sekelip mata. Oleh itu, mahasiswa perlu dilengkapi dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, serta kemampuan untuk melihat peluang dalam setiap cabaran. Universiti memainkan peranan penting dalam membentuk minda mahasiswa agar bersedia menghadapi tantangan masa hadapan yang penuh ketidakpastian.

Dalam konteks ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mempersiapkan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif yang menekankan inovasi, penyelidikan, dan kerjasama dengan industri. Bermula tahun 2023, UTM telah melakukan penyesuaian kurikulum dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan menguasai ilmu sains dan teknologi terkini, sejajar dengan tagline baharu UTM, ‘Menginovasi Penyelesaian’. Ini dipandu bersama dengan nilai teras UTM, iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan, dan Kelestarian (ISES) yang menjadi prinsip pegangan seluruh warganya.

Hasil komitmen ini dapat dilihat menerusi kemenjadian graduan UTM yang memiliki adab, nilai, dan jati diri tinggi serta aktif menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Malaysia MADANI sememangnya menekankan perpaduan dan kemajuan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan yang mampu membebaskan mahasiwa daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan nilai moral yang rendah. Graduan yang berbakat inovatif, bebas untuk berkreativiti, dan berkemampuan menyelesaikan masalah kompleks adalah aset penting bagi negara. Mereka dipupuk untuk menjadi warga global yang mampu beradaptasi dengan perubahan budaya tanpa meninggalkan jati diri dan kebudayaan Malaysia.

UTM turut memfokuskan kepada program-program yang tidak hanya mengejar kuantiti tetapi lebih menekankan kepada kualiti dan impak. Misalnya, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNCHEPA) telah menetapkan sasaran bahawa 20% daripada keseluruhan program pelajar harus melibatkan pemegang taruh di bawah elemen GUCI (Government, University, Community, Industry) serta menggunakan instrumen penilaian IREES (Impact, Relevant, Effectiveness, Efficient, Sustainability) untuk memastikan program yang dianjurkan adalah berkualiti dan berimpak tinggi. Ini secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada mahasiswa dari pelbagai perspektif berbeza untuk menyokong aspirasi negara dalam melahirkan kelompok bakat yang tidak hanya pintar malah berkemahiran tinggi.

Keprihatinan UTM terhadap pembangunan bakat sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam mempromosikan penyelidikan dan inovasi sebagai alat untuk memajukan negara. Dengan menyediakan platform untuk mahasiswa terlibat dan mendalami ilmu penyelidikan, UTM mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga dapat menyumbang kepada kemajuan teknologi dan ekonomi negara. Selain penyelidikan dan inovasi, UTM sentiasa menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, mempelajari cara mengatasi cabaran, dan membina rangkaian profesional yang penting untuk masa depan. Contohnya, program Five Excellence Track Programme (5ETP) telah diberi nafas baharu untuk melahirkan mahasiswa yang lebih cemerlang berdasarkan potensi bakat dan teras kepimpinan masing-masing, yang merangkumi kepimpinan global, minda nobel, kecemerlangan sukan, teknousahawan, dan juga tekno hafiz.

Kejayaan UTM ini terbukti dengan pencapaian 100% kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2023, iaitu tertinggi di peringkat nasional. UTM juga konsisten menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam di Malaysia bagi Graduan Berpendapatan Premium. JTNCHEPA dan Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) berperanan besar dalam membentuk mahasiswa yang holistik, global, dan bertanggungjawab. Usaha ini secara tidak langsung memastikan bahawa graduan UTM adalah kalangan pemimpin masa depan yang mampu membawa negara maju kehadapan sejajar dengan visi Malaysia MADANI.

Jelaslah bahawa universiti memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan bakat yang berjiwa merdeka dan berfikiran jauh. Sebagai mahasiswa, universiti adalah tempat untuk membangunkan potensi diri dan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara. Inilah tempatnya, UTM Sanjungan Bangsa, pembangun Jiwa Merdeka yang sebenar bagi anak muda yang bebas untuk meneroka dan menyumbang kepada tanah tumpah darahku, Malaysia.

Penulis merupakan calon pelajar PhD dalam bidang Pendidikan Kimia di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Explore More