Disember 22, 2024

Featured image Prof Wan

Jiwa Merdeka dalam Era Digital: Memperkasa Malaysia Madani Melalui Penguasaan Teknologi

‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2024. Malaysia Madani bertujuan untuk membawa negara ke arah pembangunan yang seimbang dan holistik, dengan menekankan aspek kemanusiaan, keadilan, dan kemakmuran bersama. Jiwa Merdeka pula melambangkan kebebasan rakyat daripada pengaruh negatif, menguatkan semangat patriotik melalui pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi, serta membentuk rakyat yang bersatu, harmoni, dan progresif.

Dalam era ledakan transformasi digital pada masa ini, penguasaan teknologi digital adalah penting untuk mengisi erti kemerdekaan yang selari dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’. Negara memerlukan rakyat dan tenaga kerja yang menguasai kemahiran digital, usahawan teknologi digital yang inovatif, dan ciptaan atau penggunaan teknologi digital yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan sosial dan kelestarian alam.

Pihak kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dan strategik dalam memperkasa penguasaan teknologi digital negara seperti penubuhan Kementerian Digital, penjenamaan semula MAMPU kepada Jabatan Digital Negara, dan pembangunan pelbagai polisi dan hala tuju bidang-bidang kritikal dalam teknologi digital.Kerajaan juga telah menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan yang pertama di negara ini, melalui aspirasi yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, sokongan daripada rakyat, agensi kerajaan, dan pihak swasta sangat diperlukan bagi menjayakan agenda penguasaan teknologi digital ini.

Penguasaan Kemahiran Digital

Melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, negara kita menyasarkan 100% penjawat awam celik digital menjelang 2025. Menurut kajian yang dibuat oleh Bank Negara, revolusi dan penerimagunaan digital dijangka menyebabkan separuh daripada tenaga kerja akan menjadi tidak relevan dan memerlukan pemahiran semula (reskilling) dan 40% dari staf yang masih relevan perlu melalui peningkatan kemahiran (upskilling) bagi terus kekal relevan dalam masa beberapa tahun yang akan datang. Justeru itu, negara kita memerlukan rakyat yang mempunyai Jiwa Merdeka, iaitu jiwa yang progresif dan bersemangat dalam meningkatkan kemahiran diri.

Dengan adanya pelbagai kaedah dan medium pembelajaran pada masa ini, rakyat mempunyai kebebasan untuk mencapai maklumat dan memperolehi kemahiran baharu untuk menjadi lebih berdikari dan menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara. Platform pembelajaran dalam talian seperti Coursera, Udemy, dan Edx memberikan fleksibiliti untuk pembelajaran kendiri mengikut kesesuaian masa, kelajuan, dan tempoh pembelajaran masing-masing.

Platform pembelajaran dalam talian turut disediakan oleh universiti dan penyedia latihan di negara kita. Terdapat juga kandungan yang disediakan secara percuma dan ada yang menjurus kepada penganugerahan kelayakan mikro, sijil dan ijazah secara tindanan. Penguasaan kemahiran digital ini bukan sahaja boleh meningkatkan kadar literasi digital di kalangan rakyat Malaysia, tetapi turut memberikan kebebasan rakyat untuk mengejar peluang pekerjaan dan ekonomi yang lebih baik.

Inovasi dan Keusahawan Digital

Jiwa Merdeka membawa makna yang lebih mendalam di mana kita tidak hanya menjadi pengguna pasif teknologi, tetapi juga berperanan sebagai pencipta yang aktif dan inovatif. Daya Cipta sebagai salah satu Nilai Teras Malaysia Madani mendorong rakyat untuk meneroka potensi mereka dalam mencipta teknologi yang membawa manfaat kepada masyarakat. Jiwa Merdeka yang berlandaskan Daya Cipta menjadikan rakyat Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global, tetapi juga memimpin dalam menghasilkan teknologi yang mencerminkan identiti, nilai, dan aspirasi negara. Dengan ini, kita bukan sekadar menerima teknologi dari luar, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan teknologi dunia, sambil memastikan ia selari dengan prinsip kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat yang dipegang oleh Malaysia Madani.

Belanjawan Negara 2024 menekankan kepentingan industri digital sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, dengan memberikan pelbagai insentif dan sokongan untuk menggalakkan inovasi dan penerapan teknologi digital. Melalui pelaburan dalam infrastruktur digital, peningkatan akses internet berkelajuan tinggi, dan latihan kemahiran digital, belanjawan ini bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital dalam pelbagai sektor. Peruntukan yang besar diberikan kepada GLC dan GLIC untuk mewujudkan projek dalam teknologi digitial bukan sahaja membantu meningkatkan daya saing industri tempatan, tetapi juga membuka peluang baharu dalam ekonomi digital global.

Peluang mencipta dan membangunkan perniagaan sendiri terbuka luas dengan pemerkasaan inovasi dan keusahawanan dalam teknologi digital, dan ini merupakan salah satu bentuk kemerdekaan ekonomi. Negara akan lebih berdikari dalam teknologi dan industri digital, dan seterusnya berupaya untuk menjadi peneraju teknologi digital di rantau ini.

Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam

Teknologi digital memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. Dengan kemajuan digital, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan perkhidmatan sosial menjadi lebih mudah dan meluas, terutamanya kepada komuniti yang kurang mendapat liputan. Selain itu, teknologi ini membolehkan pemantauan alam sekitar yang lebih berkesan, seperti pengurusan sumber semula jadi, pemantauan kualiti udara dan air, serta usaha pemuliharaan biodiversiti. Gabungan aspek-aspek ini memastikan bahawa pembangunan teknologi tidak hanya memberi manfaat kepada manusia, tetapi juga membantu memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

Teknologi digital telah terbukti berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial. Sebagai contoh, ini dapat dilihat melalui pelbagai projek inovatif yang diusahakan oleh pelbagai pihak. Misalnya, inisiatif bimbingan pemasaran digital bagi komuniti orang asli telah membantu mereka memasarkan produk tempatan dengan lebih efektif, membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan taraf hidup mereka. Selain itu, projek pembangunan kit IoT yang mengesan pencemaran di Sungai Kim Kim menunjukkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memantau dan menjaga kelestarian alam sekitar. Projek-projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memupuk kesedaran tentang pentingnya integrasi teknologi dalam menyelesaikan isu-isu sosial dan alam sekitar.

Dalam dunia yang semakin terhubung, kebebasan digital membawa bersama tanggungjawab besar untuk menggunakan teknologi dengan bijak dan beretika. Ini termasuk menjaga privasi data, mengelakkan penyebaran maklumat palsu, dan menghormati hak asasi manusia dalam talian. Dengan menerapkan nilai-nilai ini, masyarakat bukan sahaja dapat menikmati manfaat teknologi, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan ruang digital yang lebih selamat dan beradab, sejajar dengan semangat kemerdekaan yang menghormati hak dan tanggungjawab setiap individu. Ia selari dengan Jiwa Merdeka yang bebas dari elemen negatif yang boleh memudaratkan masyarakat dan negara.

Jiwa yang “Merdeka”

Natijahnya, jiwa yang merdeka mempunyai iltizam dan keyakinan tinggi dalam mempelajari ilmu dan kemahiran baharu adalah jiwa yang tidak terikat oleh batasan dan halangan, tetapi sebaliknya sentiasa bersedia untuk melangkah keluar dari zon selesa. Individu dengan jiwa ini mempunyai tekad yang kuat dan keyakinan diri yang mantap untuk terus menguasai kemahiran baru, walaupun menghadapi cabaran. Mereka tidak mudah berputus asa dan sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki diri. Keazaman yang teguh dan keyakinan yang tinggi ini menjadi pendorong utama dalam perjalanan menuju kejayaan dan kecemerlangan.

“Jiwa yang bebas mencipta dengan cara bermanfaat dalam mendukung kerangka Malaysia Madani melalui teknologi digital adalah jiwa yang memahami potensi teknologi sebagai alat untuk membawa kemakmuran kepada masyarakat dan negara.”

Individu ini menggunakan kebebasan kreatif mereka untuk mengembangkan inovasi digital yang inklusif, memastikan bahawa teknologi yang dihasilkan mampu meningkatkan kualiti hidup serta memperkukuh hubungan sosial dalam masyarakat madani. Dengan memanfaatkan teknologi digital secara bijaksana, mereka membina ekosistem yang saling berkaitan dan berdaya tahan, mempercepat pembangunan sosioekonomi, dan memperkukuh nilai-nilai kemanusiaan. Melalui sumbangan mereka, negara bukan sahaja menikmati kemajuan teknologi, tetapi juga mencapai keseimbangan antara kemajuan material dan kesejahteraan rohani, menjadikan masyarakat lebih adil, makmur, dan harmoni.

 

Penulis merupakan Dekan Fakulti Komputeran di UTM selain menyandang jawatan Pengerusi Majlis Dekan ICT, dan Ketua Kluster ICT Majlis Profesor Negara.

Explore More