KUALA LUMPUR, 31 Jul- Program Edu-Touch: Glimmers of Hope yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9 & 10 dengan kolaborasi antara JKM Kolej Siswa Jaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, telah berlangsung dengan jayanya pada 30 dan 31 Julai 2024 bertempat di Sekolah Tunas Bakti (STB) Sungai Besi.
Program ini dikelolai oleh Nurul Syasya Alawani binti Iskandar, selaku pengarah program dan dibimbing oleh Cik Siti Zulfarina binti Fadzli, sebagai penasihat program. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan termasuk Aktiviti Membina Pasukan, EcoCrafts Treasures, Sharing Session, dan Sukaneka. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak kolaborasi seperti UTMAlumni, Grup Buku Karangkraf, dan Amani Printing, yang menjadikan program ini realiti.
Pada hari pertama, seramai 27 orang murid STB terlibat bersama 25 orang ahli jawatankuasa (AJK) program ini. Program berbentuk sukarelawan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang golongan kurang bernasib baik sambil memberi pelajar pendedahan dalam aspek termasuk ilmu, sukan, dan kehidupan harian. Ini turut membantu menyuntik harapan kepada mereka yang mempunyai latar belakang masalah disiplin, merapatkan jurang masyarakat serta mengeratkan silaturahim tanpa mengira darjat atau latar belakang. Di samping itu, program ini juga berfungsi membangunkan kemahiran insaniah pelajar dari segi intelek, jasmani, sosial, dan rohani.
Dengan memfokuskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-10, iaitu ‘Mengurangkan Ketidaksamaan’, pembentukan kumpulan secara rawak tanpa mengira umur dan agama bertujuan mengurangkan jurang antara kaum dan bangsa. Malahan, murid-murid yang menunjukkan kerjasama baik dalam aktiviti yang dijalankan, membuktikan mereka mampu bekerjasama dengan efektif. Masyarakat luar perlu terus memberikan sokongan dan galakan kepada mereka dalam proses pemulihan.
![image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-3-551x396.png)
![image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-4-1-551x327.png)
![image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-2-1-551x367.png)
Bakat murid turut dicungkil melalui aktiviti EcoCrafts Treasures yang berasaskan projek STEM. Dengan menggunakan bahan kitar semula, cat air, dan pita pelekat, menara kreatif telah dibina oleh setiap kumpulan. Sesi pembentangan yang diadakan berjaya menggalakkan murid berani berucap di hadapan khalayak ramai, kemahiran yang penting untuk masa depan mereka selepas pembebasan.
![image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-5-551x382.png)
![IMG](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/20240730125724_IMG_0547-551x367.jpg)
Sesi perkongsian turut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui topik “Why Going To University” yang disampaikan oleh Encik Mohamad Ikmal Zulhakim, wakil daripada UTMAlumni. Sharing session ini memupuk kesedaran tentang pentingnya melanjutkan pelajaran untuk mencapai cita-cita. Dalam sesi ini, SDG keempat, ‘Pendidikan Berkualiti’, turut diterapkan, memastikan kemahiran seperti kimpalan, automotif, dan pembuatan perabot yang dimiliki oleh murid dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.
![image](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-e1723866278301-551x312.jpg)
![image () image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-12-e1723866657782-551x319.png)
Pada hari kedua, seramai 31 orang murid turut terlibat. Sebelum aktiviti bermula, pihak sekolah mengadakan sesi Pembentangan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK), mengenai inovasi locker ANTAL (Anti Theft Alarm Locker) yang bertujuan mengurangkan kes kecurian di asrama. ANTAL ini menggunakan sensor dan alarm yang berbunyi secara automatik jika berlaku kecurian. Perbincangan ringkas diadakan bersama mahasiswa dan pelajar mengenai cara mempertingkatkan kecekapan ANTAL tersebut.
![IMG](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/IMG_3842-scaled-e1723842295336-479x551.jpg)
![image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-11-551x413.png)
Melalui aktiviti sukaneka yang dijalankan seperti pijak belon, mulut itik, Balance the Water, Grab It, SDG ketiga, ‘Kesihatan Baik dan Kesejahteraan’, diterapkan apabila pelajar berumur 14 hingga 19 tahun terlibat secara aktif. Ini secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup sihat dan sejahtera. SDG ke-11, ‘Bandar dan Masyarakat Mampan’, juga dicapai melalui interaksi antara pelajar, Majlis Felo, staf, serta mahasiswa yang terlibat, yang membantu pelajar menyesuaikan diri dengan masyarakat.
![IMG fotor IMG fotor](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/IMG_0616-fotor-20240817122639-scaled-e1723868891326-551x280.jpg)
![IMG fotor](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/IMG_0775-fotor-2024081712145-551x367.jpg)
![IMG fotor](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/IMG_0788-fotor-20240817121841-1-551x367.jpg)
Menurut Encik Mohammad Fuad bin Mohd Ali, Pegawai Psikologi STB, dalam majlis penutupan, beliau berkata, “Pelajar-pelajar di sini telah mengikuti banyak program yang dianjurkan oleh pelbagai universiti. Mereka boleh membuat penilaian terhadap fasilitator yang terlibat. Saya percaya mereka telah selesa dan mempercayai anda sepanjang program ini. Harapan saya ialah agar program ini tidak berhenti di sini. Jenguk-jenguklah kami di sebalik tirai besi ini kerana ia membantu proses pemulihan pelajar-pelajar di sini”.
![IMG ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/IMG_0920-1-551x367.jpg)
![image () image ()](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2024/08/image-10-e1723842647702-551x362.png)
Kesimpulannya, sambutan dan komitmen yang baik daripada pelajar STB memastikan kelancaran program ini dan memberi impak mendalam kepada mahasiswa UTM, khususnya Kolej 9 & 10, serta masyarakat luar yang terlibat. Oleh itu, program seumpama ini wajar diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pelajar-pelajar yang menjalani pemulihan di Malaysia perlu didorong dan diberi galakan agar bakat dan potensi mereka tidak dipersia-siakan. Komuniti luar disarankan untuk mengubah persepsi negatif terhadap pelajar ini dan sebaliknya memberikan peluang serta sokongan dalam usaha menjadikan mereka individu yang lebih baik pada masa depan serta mampu menyumbang kepada negara.