Disember 26, 2024

SA

Ceramah Kelestarian UTM: Memperkasa staf mengenai SDG

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menganjurkan satu ceramah kelestarian bertajuk “The Sustainable Development Goals, The Impact Rankings and Localizing UTM SDGs”. Program ini telah berlangsung pada 8 Ogos 2024 (Khamis) dari jam 9.00 hingga 11.00 pagi, bertempat di Dewan Seminar, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.

Ceramah ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul bin Sarip, Timbalan Pengarah Pelestarian Kampus UTM (UTMCS). Beliau memberikan pandangan mendalam mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), penilaian impak Universiti, serta usaha mengintegrasikan SDG di UTM. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan staf mengenai kepentingan SDG serta bagaimana UTM boleh melibatkan diri secara aktif dalam mencapai matlamat tersebut.

Di UTM, penilaian impak merujuk kepada pengukuran kesan aktiviti universiti terhadap pencapaian SDG, termasuk inisiatif penyelidikan, pendidikan, dan perkhidmatan masyarakat. UTM berusaha mengintegrasikan SDG melalui penyusunan kurikulum yang memfokuskan kepada isu mampan, penyelidikan yang menyokong pencapaian matlamat global, serta aktiviti kampus yang mempromosikan amalan lestari dan tanggungjawab sosial.

Seramai 50 orang staf Pejabat TNCPI, UTM Kuala Lumpur telah hadir bagi memanfaatkan peluang ini dalam memperkasa pengetahuan mereka mengenai kelestarian dan inisiatif pembangunan mampan. Jawatankuasa Kelestarian Pejabat TNCPI berharap agar semua peserta dapat memberi sumbangan positif dan inovatif dalam mengintegrasikan SDG ke dalam aktiviti dan strategi universiti.

SA
Pengarah Pentadbiran, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zaki menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pengarah UTMCS, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul
SA
Pengarah Pentadbiran Pejabat TNCPI UTM Kuala Lumpur dan Timbalan Pengarah UTMCS bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Kelestarian TNCPI UTM Kuala Lumpur

Ditulis oleh: Nurul Syuhada binti Ibrahim & Siti Zulaikha binti Zakaria

Explore More