Disember 27, 2024

Top view of smart team making kanban while writing at task board Convocation

Cabaran implementasi kepimpinan ‘agile’ di institusi pendidikan

Kepimpinan ‘agile’ atau tangkas merujuk kepada gaya kepimpinan yang memfokuskan kepada kebolehsuaian, fleksibiliti dan kerjasama. Menurut Brown & Miller (2024), Harris (2024) & Taylor & Green (2024), pemimpin ‘agile’ mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan strategi berdasarkan arah dan maklum balas terkini, memupuk kerja berpasukan dan membuat keputusan secara kolektif. Pemimpin yang mengamalkan kepimpinan ini sentiasa mengutamakan keperluan pelajar, kakitangan dan pihak berkepentingan yang lain, membuat penambahbaikan secara berterusan dan berulang, memperkasakan ahli pasukan dengan memberi kuasa dan tanggungjawab serta menggalakkan mereka mengambil inisiatif dan membuat keputusan.

Kepimpinan ‘agile’ mempunyai beberapa dimensi utama yang meningkatkan keberkesanannya. Pemimpin dengan kepimpinan ‘agile’ ini bijak membentuk visi yang jelas dan fleksibel dalam mengatur dan melaksanakan strategi mereka. Mereka menyesuaikan diri dengan maklumat yang terkini di dalam situasi yang berubah-ubah. Menurut Brown & Miller (2024), Davis (2023), Gordon (2023) dan Harris (2024), mereka memupuk persekitaran kolaboratif di mana ahli pasukan berkongsi idea secara aktif dan bekerjasama. Pembuatan keputusan di dalam kepimpinan ini adalah desentralisasi, di mana ahli pasukan digalakkan untuk membuat keputusan dan meningkatkan penglibatan. Pemimpin ‘agile’ sangat mudah menyesuaikan diri, gaya dan strategi mereka dalam bertindak balas kepada cabaran yang pelbagai. Mereka mengutamakan pembelajaran dan pembangunan secara berterusan, menggalakkan try and error dan pembelajaran menghadapi cabaran. Komunikasi yang berkesan adalah sangat penting bagi pemimpin agile. Oleh itu, mereka sentiasa menggalakkan komunikasi yang sihat, memastikan ketelusan, memberikan maklum balas yang kerap, dan memupuk dialog terbuka dalam institusi yang dipimpinnya.

Terdapat banyak cabaran untuk mengimplementasi kepimpinan agile dalam institusi pendidikan. Antara cabaranya adalah sikap tidak mahu berubah, kekangan sumber, kekurangan latihan, struktur hierarki tegar dan mengimbangi kestabilan dan fleksibiliti. Satu cabaran penting untuk mengimplementasi kepimpinan agile ialah sikap tidak mahu berubah dalam kalangan ahli dalam sesebuah institusi pendidikan. Kebanyakan institusi pendidikan mempunyai budaya tersendiri. Beralih kepada pendekatan agile atau tangkas boleh menyebabkan tentangan daripada kakitangan yang sudah terbiasa dengan kaedah tradisional (Gordon, 2023). Kakitangan yang terbiasa dengan kaedah tradisional mungkin merasa ragu-ragu terhadap pendekatan kepimpinan agile yang menekankan fleksibiliti, ketangkasan dan membuat keputusan yang desentralisasi. Mereka mungkin mempersoalkan keberkesanan kepimpinan agile, melihatnya sebagai tidak terbukti atau tidak serasi dengan norma pendidikan yang ditetapkan. Keraguan ini boleh menyebabkan keengganan dalam menerima amalan baharu kerana mereka merasakan bahawa sistem semasa yang digunakan adalah lebih biasa dan senang diurus. Menurut Walker (2023), untuk mencapai penglibatan dan persetujuan daripada semua pelajar, pendidik dan kakitangan serta pihak berkepentingan adalah sangat penting. Pemimpin agile perlu memastikan semua ahli dalam organisasi memahami dan menyokong kepimpinan ini. Mereka perlu mengamalkan komunikasi yang jelas dan melaksanakan strategi yang difikirkan dengan baik dan berkesan untuk mengatasi keraguan dan mendapat sokongan yang mantap.

Cabaran kedua adalah wujudnya kekangan sumber yang menyukarkan pelaksanaan kepimpinan agile atau tangkas. Kekangan sumber merupakan cabaran utama, di mana wujudnya kekangan dalam belanjawan, masa dan kakitangan. Belanjawan yang ketat membatasi kemampuan institusi pendidikan untuk memperuntukkan wang dalam menganjurkan latihan dan pembangunan yang diperlukan untuk amalan kepimpinan agile ini. Tanpa dana yang mencukupi, usaha untuk melaksanakan amalan ini dengan efektif boleh terjejas kerana institusi mungkin tidak dapat menyediakan sumber yang diperlukan (Harris, 2024).

Selain itu, masa merupakan sumber yang sangat berharga dalam pendidikan, dengan pemimpin dan pendidik sering kali dibebani dengan beban kerja yang berat. Menyediakan masa tambahan untuk latihan dan pelaksanaan kepimpinan agile boleh menjadi cabaran besar apabila jadual sedia ada sudah padat, mengakibatkan pelaksanaan yang tidak konsisten atau tertunda. Kekurangan kakitangan mungkin tidak dapat menyokong proses perubahan dan melaksanakan amalan tangkas secara menyeluruh. Menurut Harris (2024), tanpa sokongan yang mencukupi, beban kerja tambahan boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan. Mengatasi cabaran ini memerlukan perancangan yang teliti, pengurusan sumber yang bijaksana dan pelaksanaan strategi yang lebih kreatif dan efektif.

Cabaran ketiga adalah kekurangan latihan dalam kalangan ahli pasukan dalam sesebuah institusi pendidikan. Cabaran ini menghalang pelaksanaan kepimpinan agile. Kepimpinan agile yang berkesan memerlukan latihan dan kursus yang efektif untuk pemimpin dan kakitangan sesebuah institusi pendidikan untuk memahami dan menggunakan prinsip agile. Menurut Brown & Miller, (2024), Gordon (2023), Harris (2024), Smith & Jones (2022) &Taylor & Green (2024), tanpa latihan yang mencukupi, berkemungkinan memberi kesan, dimana wujud kebarangkalian prinsip-prinsip agile tidak dapat diterapkan dengan betul.

Kakitangan yang tidak dilatih mungkin tidak memahami sepenuhnya bagaimana untuk menggunakan teknik-teknik agile dalam kerja mereka, menyebabkan kekeliruan dan pelaksanaan yang tidak efektif. Tanpa pengetahuan yang betul mengenai kaedah seperti perancangan, penilaian berterusan dan penyesuaian berterusan, ahli pasukan mungkin tidak dapat membuat keputusan yang tepat atau bertindak dengan cara yang serasi dengan matlamat agile. Jika beberapa ahli pasukan menerima latihan yang baik, manakala yang lain tidak, ini juga boleh mengakibatkan implementasi konsep kepimpinan agile yang tidak konsisten. Situasi ini akan mengurangkan keberkesanan keseluruhan pendekatan tersebut. Kepelbagaian pengetahuan yang kurang jelas dalam kepimpinan agile juga boleh menimbulkan ketidakselesaan dan ketidakpuasan di kalangan kakitangan, yang boleh menjejaskan moral dan kerjasama dalam pasukan.

Cabaran seterusnya adalah struktur hierarki tegar yang digunakan dalam institusi pendidikan. Struktur hierarki tegar dalam pendidikan adalah merujuk kepada sistem pengurusan yang sangat berlapis, di mana keputusan dibuat oleh pihak atasan dan diimplementasikan ke bawah (top-down) melalui pelbagai peringkat. Dalam sistem ini, arahan atau perintah adalah jelas dan formal, serta keputusan besar biasanya hanya boleh dibuat oleh pihak pengurusan yang tertinggi di dalam sesebuah institusi pendidikan. Menurut Smith & Jones (2022), amalan kepimpinan agile sebaliknya menawarkan pendekatan alternatif yang lebih fleksibel dimana pemimpin agile menekankan pentingnya memperkasakan individu di semua peringkat organisasi untuk mengambil inisiatif dan membuat keputusan sendiri. Semua kakitangan di institusi pendidikan diberi kuasa dan tanggungjawab dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Pendekatan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan inovasi dalam mengambil tindakan dengan segera. Oleh itu, peralihan daripada struktur hierarki tegar kepada kepimpinan agile dalam pendidikan menjadi satu cabaran kepada pelaksanaan kepimpinan agile di institusi pendidikan dengan berkesan.

Cabaran yang terakhir adalah mengimbangi kestabilan dan fleksibiliti. Kestabilan adalah merujuk kepada pemeliharaan fungsi teras yang kritikal untuk operasi harian di institusi pendidikan seperti tugas pengurusan, pentadbiran, kurikulum, ko-kurikulum, penilaian dan lain-lain lagi . Manakala fleksibiliti pula merujuk kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan atau amalan baru dan mengadaptasi strategi yang relevan kepada perubahan tersebut.

Menurut Brown & Miller (2024), Harris (2024), Taylor & Green (2024) dan Walker (2023), pemimpin agile perlu bijak untuk mengambil inisiatif bagi mencapai keseimbangan antara kestabilan dan fleksibiliti dalam institusi pendidikan. Antaranya adalah menetapkan visi dan matlamat yang jelas mengenai penerapan konsep kepimpinan agile. Institusi perlu mengenal pasti aspek yang memerlukan kestabilan dan merancang perubahan dengan teliti. Proses perancangan harus melibatkan komunikasi yang telus dan terbuka dengan semua warga dalam sesebuah institusi pendidikan bagi memastikan mereka memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang bakal dilaksanakan. Pemimpin agile perlu menunjukkan kejayaan awal untuk meningkatkan keyakinan dan membuat penilaian secara berkala. Mereka juga perlu menggalakkan kerjasama antara pihak pengurusan, pendidik dan pelajar untuk memastikan semua pihak terlibat dan komited terhadap perubahan. Pendekatan yang teliti dan inklusif ini membantu institusi pendidikan mengimbangi kestabilan dan fleksibiliti dengan lebih baik, jika tidak, ia menjadi satu cabaran yang hebat dan membantutkan inisiatif mengimplementasi kepimpinan agile ini.

Rumusannya, menangani cabaran dalam mengimplementasi kepimpinan agile memerlukan pertimbangan yang bijak, komitmen dan komunikasi pelbagai hala yang berkesan daripada semua warga dalam institusi pendidikan terhadap perubahan secara berterusan. Pertimbangan bijak melibatkan pemahaman yang mendalam dalam kalangan warga tentang keperluan dan kesan perubahan pada fungsi kritikal. Manakala komitmen daripada mereka terhadap perubahan berterusan termasuk latihan, penilaian berkala, dan penyesuaian strategi untuk memastikan kejayaan jangka panjang adalah sangat diperlukan. Komunikasi pelbagai hala yang berkesan pula bagi memastikan semua pihak terlibat memahami dan menyokong kepada perubahan dengan sepenuh hati mereka. Dengan pendekatan ini, institusi pendidikan dapat mengimbangi fleksibiliti dan kestabilan dengan lebih baik.

 

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari dan Prof. Madya Dr. Sharifah Osman. Penulis merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

Rujukan

Brown, L., & Miller, T. (2024). Navigating Cultural Change in Education: Embracing Agile Leadership. Education Dynamics Press.

Davis, R. (2023). Measuring Success in Agile Environments: New Metrics for Education. Journal of Educational Change, 18(2), 145-160.

Gordon, A. (2023). Overcoming Resistance: Change Management Strategies for Agile Leadership in Education. Higher Education Review, 56(1), 22-35.

Harris, M. (2024). Resource Allocation for Agile Transformation in Schools. Educational Administration Quarterly, 60(3), 298-312.

Smith, K., & Jones, A. (2022). Hierarchical Barriers to Agile Leadership in Education.Journal of Leadership Studies, 24(2), 87-101.

Taylor, P., & Green, S. (2024). Balancing Stability and Agility: A Guide for Educational Leaders. School Leadership & Management, 44(1), 65-78.

Walker, R. (2023). Engaging Stakeholders in Agile Education Initiatives. Educational Leadership Review, 41(2), 113-127.

Explore More