Mac 14, 2025

Adventure Park UPSI

AURORA UPSI inspirasi peluang penjanaan UTM Geotourism

TANJONG MALIM, 19 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang merangka inisiatif dan perancangan untuk menaik taraf kemudahan serta memperkenal aktiviti rekreasi lasak di UTM telah melaksanakan satu lawatan penandaarasan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dua lokasi lain iaitu ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Skytrex Sg. Congkak. Lawatan yang diketuai oleh Pengerusi Bahagian Pemajuan Universiti, Prof. Dr. Yusof Boon bersama delegasi seramai 31 orang staf dari UTM Geotourism, UTM Komersil dan Bahagian Pengurusan Aset (BPA) serta UTM Kuala Lumpur yang bersinergi bersama-sama telah melawat Kepimpinan Pengembaraan dan Akademi Rekreasi Luar (AURORA) yang merupakan pusat penjanaan dan latihan rekreasi telah disambut baik kehadiran oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim.

SKYWALK FRIM
Forest Skywalk Jejantas Rimba FRIM

AURORA kini telah menjadi sumber rujukan bagi beberapa standard amalan aktiviti rekreasi peringkat kebangsaan dengan penerbitan beberapa buku panduan aktiviti rekreasi yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya dalam aktiviti kokurikulum dan pendidikan rekreasi, selain merupakan pusat akreditasi aktiviti rekreasi kebangsaan.

Lawatan penandaarasan ini bertujuan untuk mempelajari amalan dan kaedah terbaik dalam pengurusan dan pelaksanaan aktiviti rekreasi lasak melibatkan aktiviti menakik turun (abseiling), panjat tembok (wall climbing) dan terbang kelawar (flying fox). Selain itu, UTM Geotourism ingin mencari inspirasi bagi pembinaan infrastruktur seperti Menara tinjau bagi tujuan aktiviti rekreasi dan memberi peluang kepada staf UTM untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam aktiviti rekreasi khususnya.

Lawatan Tapak Adventure Park UPSI
Lawatan Tapak Adventure Park UPSI

Delegasi UTM telah dibawa ke UPSI Adventure Park (UAP) yang merupakan nadi pusat rekreasi AURORA yang menyediakan pelbagai kemudahan dan inftrasruktur rekreasi seperti Menara Flying fox yang berketinggian 3 tingkat dengan kepanjangan kabel flying fox sejauh 200 meter serta memiliki mekanisme mesin mekanikal stopper standard antarabangsa, menara bagi aktiviti high element, Khemah A terbuka, firepit, Obstacle, dan lain-lain kemudahan dan bangunan asas untuk aktiviti rekreasi.

Menerusi lawatan ini juga, AURORA telah menekankan strategi agar mengutamakan dahulu pengukuhan sumber manusia menerusi latihan kemahiran bertauliah dan diiktiraf diberikan kepada staf dalaman berbanding penggunaan dari sumber luar. Manfaat dari latihan ini akan meningkatkan penjanaan dari aktiviti rekreasi yang dapat dilaksanakan dengan lebih intensif dan seterusnya menjamin kelangsungan perniagaan dari pelanggan tetap yang kelaknya akan yakin dengan perkhidmatan rekreasi bertauliah.

Struktur Flying Fox UPSI
Struktur Flying Fox UPSI

Pembinaan UAP ini telah dilaksanakan pada tahun 2015 dengan peruntukan modal dari kewangan UPSI dengan anggaran sebanyak hampir RM800,000 dan telah memperolehi pulangan dalam tempoh 3-4 tahun. Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI memaklumkan kerjasama baik daripada rakan strategik dari kalangan pelbagai agensi kerajaan dan persatuan rekreasi seperti Persatuan Mendaki Malaysia serta Persatuan Kanu seterusnya telah melebar luas kemahiran dan kemudahan rekreasi UAP. Perancangan terkini adalah pembinaan kemudahan baharu seperti projek tapak perkhemahan (Campsite) dan Dorm Glamping.

Skywalk di FRIM
Skywalk di FRIM

Selain itu, hasil perbincangan dan perkongsian ilmu dari AURORA menjelaskan penjanaan terbaik adalah dengan tumpuan fokus kepada penyediaan kursus pensijilan dan pertauliahan kemahiran rekreasi yang mampu mengaut keuntungan seperti yang pernah diperolehi UPSI dengan penjanaan hampir RM700,000 setahun pada tahun 2023 kerana permintaan tinggi terhadap penyediaan kursus-kursus tersebut.

Malahan perkongsian lawatan ke FRIM yang disambut oleh Ketua Ekopelancongan FRIM iaitu Dr. Wan Mohd Nafizul Hal Alim Wan Ahmad yang juga merupakan Alumni UTM turut menyokong bahawa penting pensijilan dalam aktiviti rekreasi dan pelaksanaan kursus-kursus kemahiran yang bertauliah boleh menarik minat penyertaan masyarakat dan memberi penjanaaan kepada institusi. Bahkan terdapat tiga konsep aktiviti yang dicadangkan untuk dijalankan bagi tujuan penjanaan iaitu yang pertama adalah dari aktiviti rekreasi dan pengukuhan pasukan (team buiding), yang kedua adalah aktiviti berkonsepkan pendidikan rekreasi yang diterangkan oleh instruktur bertauliah dan konsep ketiga merupakan pembangunan dari maklum balas impak aktiviti yang diperolehi dari peserta kursus.

Lawatan penandaarasan ini turut mengunjungi FRIM di Kepong Kuala Kumpur dan Skytrex, Sg. Congkak pada hari kedua lawatan di mana peserta penandaarasan UTM Geotourism dapat menaiki Forest Skywalk di FRIM yang berketinggian 18 meter hingga 50 meter dan panjang 250 meter serta memberi peluang kepada peserta untuk mencuba cable flying fox di Skytrex Sg. Congkak.

Demonstrasi Flying Fox di SKYTREX, Sg Congkak
Demonstrasi Flying Fox di Skytrex, Sg. Congkak

Secara umumnya lawatan penandaarasan ini telah membuka minda dan peluang penjanaan daripada aktiviti rekreasi yang semakin berkembang dan diminati oleh masyarakat di Malaysia. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada staf UTM untuk menambah kemahiran diri dengan kursus kemahiran rekreasi yang bertauliah serta mengurangkan kos bayaran penceramah kepada pihak luar.

Explore More