November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

UTM Kuala Lumpur – SMK Taman Kosas anjur program STEM fokuskan tenaga boleh baharu

AMPANG, 1 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, telah berjaya menganjurkan program “Jom STEM” pada 1 Julai 2024. Program ini bertujuan untuk meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dengan tema SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih.

Program ini dipimpin oleh Ts. Dr. Pramila A/P Tamunaidu dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur, yang telah merangka pelbagai aktiviti interaktif dan praktikal untuk menarik minat pelajar terhadap konsep tenaga boleh baharu.

Aktiviti yang dijalankan sepanjang program “Jom STEM” ini, memberikan peluang kepada para pelajar untuk mendalami tentang tenaga boleh baharu. Salah satu aktiviti utama adalah Eksperimen Tenaga Solar, di mana pelajar diberi peluang untuk melihat model lampu solar yang digerakkan oleh tenaga suria. Aktiviti ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada konsep asas tenaga solar dan aplikasinya dalam kehidupan seharian, menjadikan pembelajaran lebih praktikal dan menyeronokkan.

Selain itu, program ini juga menampilkan Pameran Tenaga Hidro yang mendemonstrasikan bagaimana turbin hidro berfungsi dan cara ia menjana elektrik dari tenaga keupayaan dari air. Pelajar dapat melihat secara langsung model turbin hidro dan memahami prinsip di sebalik penjanaan tenaga daripada sumber air. Pameran ini memberikan gambaran yang jelas mengenai penggunaan tenaga hidro sebagai alternatif yang berdaya maju kepada sumber tenaga konvensional.

WhatsApp Image at ()
Pelajar diberikan taklimat tentang model hidro turbin yang dicipta oleh penyelidik UTM

Ceramah STEM juga diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian program, dengan tujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada konsep asas kejuruteraan dan teknologi. Ceramah ini termasuk penggunaan tenaga boleh baharu dan menyediakan platform bagi pelajar untuk belajar melalui pengalaman dan aktiviti praktikal. Melalui bengkel ini, pelajar dapat meneroka aspek teknikal dan aplikasi tenaga boleh baharu dalam suasana yang interaktif dan hands-on.

Program ini juga turut diisi dengan Sesi Pameran dan Perbincangan yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang tenaga boleh baharu. Antara topik yang dibincangkan termasuk kepentingan tenaga boleh baharu dalam konteks global dan tempatan, inovasi dan teknologi terkini dalam bidang tenaga solar dan hidro, serta strategi dan langkah-langkah untuk mempromosikan penggunaan tenaga boleh baharu dalam kehidupan seharian. Sesi ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami topik-topik penting dan relevan dalam bidang tenaga boleh baharu. Pelajar juga diberi peluang untuk bertanya soalan dan berinteraksi secara langsung dengan pakar, membolehkan mereka mendalami topik yang dibincangkan dan memahami relevansinya dengan masa depan tenaga yang lebih mampan.

WhatsApp Image at
En. Zainal Affendi Zainal Abidin dari UTMCS menunjukkan model sistem solar kepada pelajar tingkatan 2 SMK Taman Kosas.

Program “Jom STEM” ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pemahaman pelajar mengenai tenaga boleh baharu, tetapi juga memupuk minat mereka dalam bidang STEM. Diharapkan, melalui program seperti ini, lebih ramai pelajar akan terinspirasi untuk meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang teknologi dan inovasi.

Tema SDG 7 adalah sejajar dengan matlamat global untuk memastikan akses kepada tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai, mampan, dan moden untuk semua. Pendidikan dan pendedahan awal ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berwawasan dan mampu menjadi agen perubahan dalam usaha mencapai masa depan yang lebih hijau dan lestari.

WhatsApp Image at
Penerangan kepada pelajar  mempelajari kepentingan kecekapan tenaga dan tenaga bersih iaitu SDG 7 – Tenaga Mampu Milik dan Bersih

Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada para pelajar dan guru-guru SMK Taman Kosas. Pihak sekolah dan UTM Kuala Lumpur berhasrat untuk meneruskan kerjasama ini pada masa akan datang dengan lebih banyak program yang berfokus kepada STEM dan pembangunan mampan.

Dengan kejayaan program ini, UTM Kuala Lumpur dan SMK Taman Kosas berharap dapat terus memupuk minat pelajar dalam STEM dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, menyumbang kepada usaha global dalam mencapai kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.

Explore More