Disember 26, 2024

Peserta Program Pemantapan Staf Akademik FSSH STRENC 2024

Program Pemantapan Staf Akademik FSSH STRENC 2024: Impak Positif Terhadap Pembangunan Karakter dan Kerjaya Staf Akademik Muda

GERIK, 10 Julai – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Staf Akademik, FSSH STRENC 2024 bagi staf akademik bawah 40 tahun dan juga yang baru berkhidmat kurang daripada 5 tahun.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan staf akademik muda yang berkhidmat di bawah fakulti terbabit. Program yang berlangsung pada 4 hingga 6 Julai yang lalu berjaya memberikan impak positif yang signifikan kepada peserta dalam aspek pembangunan karakter dan kerjaya mereka.

Meningkatkan Interaksi dan Semangat Kerja Berpasukan

Salah satu objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan interaksi positif dalam kalangan staf akademik serta membentuk semangat kerja berpasukan. Pengisian program tiga hari di Pulau Banding, Royal Belum ini telah dirancang dengan teliti bagi memastikan peserta dapat berinteraksi secara efektif dan membina hubungan kerja yang kukuh. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja membantu dalam membina hubungan yang baik, tetapi juga menggalakkan kolaborasi dan sinergi yang berterusan dalam kalangan peserta yang datangnya daripada sekolah dan akademi yang berbeza.

APC
Aktiviti dalam kumpulan

Meningkatkan Kemahiran Kepimpinan dan Motivasi

Program ini juga memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran kepimpinan dan motivasi dalam kalangan peserta. Melalui slot-slot seperti ‘Open MIC’ dan “Relevankah saya di UTM”, ia memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan pengalaman, membuat refleksi diri terhadap sumbangan yang diberikan dan peranan mereka dalam menyokong agenda universiti.

Para peserta  didorong untuk melihat peranan mereka di UTM dengan perspektif yang lebih luas dan bermakna, serta memotivasikan diri untuk mencapai matlamat kerjaya masing-masing.

 

APC
Aktiviti dalam kumpulan
APC
Aktiviti dalam kumpulan

Program Pemindahan Ilmu kepada Masyarakat Orang Asli

Salah satu elemen penting dalam program ini adalah penglibatan peserta dalam program pemindahan ilmu kepada masyarakat Orang Asli. Aktiviti-aktiviti seperti STEM, penyuaian dan psikomotor untuk kanak-kanak manakala aktiviti pendidikan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) kepada kaum wanita telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Aktiviti STEM yang dijalankan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak Orang Asli mengenai konsep-konsep asas sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik.

Melalui aktiviti hands-on dan demonstrasi, kanak-kanak ini dapat memahami dan menghargai kepentingan STEM dalam kehidupan seharian. Aktiviti penyuaian dan permainan psikomotor telah membantu dalam meningkatkan kemahiran fizikal dan koordinasi kanak-kanak Orang Asli. Selain itu, aktiviti ini juga menggalakkan interaksi sosial dan kerjasama dalam kalangan mereka. Selain itu, pendidikan 3R kepada golongan wanita adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar.

Masyarakat Orang Asli diajar mengenai amalan kitar semula dan cara-cara untuk mengurangkan dan menggunakan semula bahan buangan. Aktiviti kreatif seperti membuat barangan daripada bahan kitar semula turut diadakan untuk memberi inspirasi kepada mereka. Selain itu, FSSH STRENC telah menyediakan sumbangan pakaian terpakai, sumbangan makanan kering serta 1 set peralatan sukan sepak takraw kepada Masyarakat Orang Asli.

 

APC
Aktiviti STEM
APC
Aktiviti Pendidikan 3R: Menghasilkan beg daripada pakaian terpakai

 

APC
Sumbangan beg sekolah
APC
Sumbangan pakaian terpakai dan makanan kering

 

APC
Aktiviti Pengenalan sukan bola tampar kepada kanak-kanak Orang Asli
APC
Pertandingan Sepak Takraw antara wakil FSSH dan Belia Orang Asli

Pengukuhan Jati Diri dan Keseimbangan Emosi

Aktiviti-aktiviti seperti ‘Eksplorasi Minda’ dan ‘Refleksi Alam’ telah dirancang untuk mengukuhkan jati diri dan keseimbangan emosi peserta. Aktiviti-aktiviti ini tidak hanya memfokuskan kepada aspek fizikal, tetapi juga kepada kesejahteraan mental dan spiritual. Peserta diberikan ruang untuk merenung dan menilai diri sendiri, serta memperbaiki aspek-aspek yang boleh membantu mereka menjadi individu yang lebih baik dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

APC
Aktiviti “Water Confidence”
APC
Aktiviti “Water Confidence”

Impak Program

Impak positif yang diperoleh daripada program ini tidak hanya dirasai dalam jangka masa pendek, tetapi juga memberikan kesan jangka panjang kepada peserta. Mereka kini lebih yakin, bermotivasi, dan bersedia untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya akademik mereka. Dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh, peserta mampu menyumbang dengan lebih efektif kepada kejayaan fakulti dan universiti secara keseluruhan. Dengan matlamat untuk memenuhi keperluan Key Amal Indicator (KAI) Universiti, program ini telah menyediakan latihan dan bimbingan yang relevan kepada peserta. Slot-slot seperti ‘USR Program bersama Masyarakat Orang Asli’ dan ‘STEM’ bukan sahaja membantu dalam meningkatkan kemahiran teknikal peserta, tetapi juga menggalakkan mereka untuk menyumbang kepada komuniti dan masyarakat. Ini adalah selaras dengan misi UTM untuk memacu kecemerlangan dalam pembelajaran, penyelidikan, dan inovasi.

Program Pemantapan Staf Akademik FSSH STRENC 2024 telah membuktikan keberkesanannya dalam membangunkan karakter dan kerjaya staf akademik muda. Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang dengan teliti, program ini berjaya meningkatkan interaksi, kemahiran kepimpinan, keseimbangan emosi, nilai moral, dan kecekapan profesional peserta.

Dengan pencapaian ini, FSSH UTM terus komited untuk melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada staf akademik dan memacu kecemerlangan institusi. Program ini telah memberikan impak yang sangat positif dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memastikan staf akademik UTM sentiasa berada pada tahap yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

APC
Sesi Refleksi Diri

Oleh Dayana Farzeeha Ali dan Arieff Salleh Rosman

Explore More