JOHOR BAHRU, 23 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam perlaksanaan polisi Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna (Single Use Plastic) dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara untuk generasi masa hadapan.
Larangan ini akan berkuatkuasa sepenuhnya bermula pada 1 Ogos 2024 setelah kempen Larangan Plastik Sekali Guna selama sebulan yang bermula 1 hingga 31 Julai 2024 yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS).
Pengarah Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Yusof Boon berkata polisi larangan plastik sekali guna ini sebenarnya telah pun dikeluarkan pada tahun 2020 lagi.
“Polisi Kampus Tanpa Plastik Sekali Guna ini telah pun dikeluarkan sejak tahun 2020 tetapi tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca dari pandemik COVID-19 pada tahun berkenaan.
“Perlaksanaan PKP ini telah menyebabkan kampus ditutup dan mahasiswa pula mengikuti pengajian secara atas talian manakala staf pula bekerja dari rumah,” katanya yang diwawancara di pejabatnya oleh UTMCS.
Premis makanan dalam kampus pula ditutup dan apabila dibenarkan untuk dibuka pada peringkat awal pasca PKP masih tidak dibenarkan untuk makan di kedai (dine-in).
“Keadaan ini telah menyebabkan perlaksanaan dasar ini tidak dapat dijalankan dan apabila keadaan telah kembali seperti sediakala maka kita ambil keputusan untuk melaksanakan semula polisi ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut berkenaan kempen ini, Prof. Yusof menyeru semua warga kampus berganding bahu menjayakan polisi ini yang sememangnya selaras dengan dasar kelestarian universiti.
“Melalui pengenalan polisi ini, seluruh warga kampus diharapkan dapat membudayakan amalan untuk mengurangkan dan seterusnya menolak penggunaan bekas plastik sekali guna di dalam kampus,” katanya.
Antara alternatif yang digunakan bagi menjayakan agenda ini adalah menggantikan penggunaan bekas plastik atau polisterina dengan bahan mesra alam seperti bekas makanan dan minuman (tumbler) guna semula atau sendiri.
“Premis makanan dalam kampus juga akan mula menjual minuman dengan menggunakan penyedut minuman yang diperbuat dari kertas, cawan dari kertas dan juga penggunaan beg kain bagi menggantikan beg plastik serta juga tidak lagi membenarkan penggunaan sudu dan garfu yang diperbuat dari plastik sekali guna.
Untuk memastikan pelaksanaan urusan ini dilaksanakan secara teratur, pihak Bahagian Pemajuan dengan kerjasama UTMCS telah mengadakan sesi perjumpaan dengan pengusaha makanan dalam kampus dengan tujuan menerangkan latar belakang dan juga impak perlaksanaan polisi ini bagi memberikan lebih pemahaman kepada golongan peniaga ini.
“Kampus tanpa plastik adalah satu usaha berterusan yang memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak di dalam kampus. Semoga usaha ini dapat menjadi contoh positif dalam usaha melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik,” katanya mengakhiri perbualan.
Inisiatif perlaksanaan Kampus Tanpa Plastik Sekali Guna ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goal) atau SDG No. 12 iaitu Pembuatan dan Penggunaan yang Bertanggungjawap (Responsible Production and Consumption).