November 5, 2024

Search
Close this search box.
Pelajar SMK Bandar Putra

UTM NTW 2024 transformasi digital dan pembelajaran berterusan

JOHOR BAHRU, 30 Jun – Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Jabatan Pendaftar telah menganjurkan UTM National Training Week (NTW) 2024 dengan tema “Transformasi Digital dan Pembelajaran Berterusan” telah berlangsung secara hibrid (atas talian dan fizikal) pada 24 dan 25 Jun 2024.

Featured image news
Poster UTM NTW 2024

National Training Week (NTW) dilancarkan pada tahun 2023, merupakan pengisian satu minggu penuh acara latihan di seluruh negara. NTW membawa bersama organisasi dan individu dari pelbagai industri dan latar belakang untuk peluang pembelajaran dan pembangunan. Pada tahun 2024, NTW diadakan dari 24 hingga 30 Jun 2024 sebagai sambungan kepada kejayaan NTW 2023.

Bersempena NTW 2024, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mengambil peluang mengadakan pelbagai program dan seminar yang bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran staf UTM serta masyarakat umum yang berfokus kepada pembangunan diri, teknologi dan inovasi. Ini sesuai dengan tema Digital Transformation yang menjadi salah satu dari Strategik Objektif Moonshot 2.0 UTM. Terjemahan dari tema tersebut, topik-topik perkongsian ilmu dalam UTM NTW 2024 ini banyak tertumpu kepada pendedahan dunia digital masa kini khususnya dalam aspek Kecerdasan Buatan (AI) selain topik-topik berkaitan inovasi dan asas kecemerlangan individu dalam dunia pekerjaan.

Majlis perasmian UTM National Training Week 2024 ini telah diadakan pada 24 Jun 2024. Dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian CTLD, YBrs. Encik Khairull Azmi Ishak, diikuti oleh ucapan perasmian oleh Pendaftar UTM, YBrs. Puan Nor Azizah Ismail. Dalam ucapan Puan Nor Azizah, beliau menekankan pentingnya pembelajaran berterusan, transformasi digital dan kecerdasan buatan dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti dan inovasi dalam pelbagai sektor. Beliau juga berharap program ini menjadi platform efektif untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran peserta, serta mengukuhkan jaringan kolaborasi antara UTM dan komuniti.

Pendaftar Rasmi
Ucapan perasmian Pendaftar UTM, Pn. Nor Azizah binti Ismail.

Seminar-seminar yang telah diadakan termasuk:

  1. “Kerja Sebagai Ibadah” oleh Prof. Dr. Ajmain @ Jimain Safar.
  2. “Work Life Balance” oleh Dr. Zulfikar Ahmad.
  3. “Generatif AI Memudahkan Aktiviti Harian: Transformasi Gaya Hidup Masa Kini” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Shahizan Othman.
  4. “Pengenalan Kepada Dron” oleh Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan.
  5. “Program Pemindahan Ilmu: Dari Universiti Untuk Komuniti” oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif.
  6. “Introduction to AI and Its Applications” oleh Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat.
  7. “Innovative Community Solution” oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmali Ngadiman.
Dr Jo Talk
“Program Pemindahan Ilmu: Dari Universiti Untuk Komuniti” oleh Prof. Madya Dr.                                                                  Johari bin Surif.

Seminar secara atas talian melalui siaran langsung Facebook CTLD Official mendapat sambutan hangat daripada pelbagai golongan masyarakat. Ini terbukti dengan kehadiran menggalakkan pada setiap seminar. Seminar 1 mencatatkan kehadiran tertinggi dengan 848 peserta dalam kalangan staf UTM.

Talk Prof Ajmain
Seminar 1 oleh Dr. Ajmaain@Jimaain Bin Safar Bertajuk Kerja Sebagai Ibadah

Seminar 2 dan 3 juga mencatatkan kehadiran yang memberangsangkan dengan masing-masing 823 dan 749 peserta. Seminar 5, 6 dan 7 mencatatkan kehadiran yang baik dengan masing-masing 315, 522, dan 481 peserta dalam kalangan staf UTM. Kehadiran peserta di kalangan komuniti luar turut mencerminkan minat besar terhadap program-program yang dianjurkan. Bagi penganjuran UTM National Training Week 2024 kali ini, hanya satu program saja yang dilaksanakan secara fizikal iaitu Seminar 4 – Kursus Asas Dron yang dihadiri oleh para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Kulai. Seramai 25 orang pelajar dan 5 orang guru dari sekolah berkenaan telah diberikan pendedahan asas teknologi dron yang semakin popular di kalangan masayarakat semasa di Malaysia.

Talk Dr Zul
Seminar 2 : Work Life Balance oleh Dr. Zulfikar Bin Ahmad

NTW 2024 melabuhkan tirai dengan ucapan penutup oleh Ketua Bahagian CTLD, Encik Khairull Azmi Ishak. Beliau menzahirkan penghargaan kepada urusetia CTLD yang menggerakkan penganjuran UTM NTW 2024, penceramah jemputan, serta peserta seminar di kalangan staf UTM, pelajar dan komuniti luar. Dengan pelbagai program ditawarkan, NTW 2024 dijangka memberikan impak besar dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta, sejajar dengan matlamat UTM untuk terus memacu kecemerlangan dalam pendidikan dan inovasi.

Gambar Urusetia NTW
Urusetia CTLD bagi UTM National Training Week 2024.

 

Disediakan oleh : Dr. Dina Azleema Mohamed Nor dan Khairull Azmi Ishak

Explore More