Disember 22, 2024

WhatsApp Image at c

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Selepas kejayaan Rail Tech Expo 2024 yang diadakan pada Januari lalu, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menganjurkan program Rail Tech Symposium 2024, bertempat di Menara Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM Kuala Lumpur.

Simposium ini merupakan kolaborasi antara Pavement and Transportation Research Group (PTRG), Persatuan Kolaborasi Pensyarah Kejuruteraan (PKPK), Fakulti Kejuruteraan City University (CityU) Malaysia, dan Fakulti Kejuruteraan University of Wollongong (UOW) Malaysia. Program ini ditaja oleh UTMSpace, VRG Dinamik Sdn. Bhd., Ana Authentic Recipe, dan Fatonah Cookies.

Simposium ini melibatkan sepenuhnya pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UTM Space cawangan Kuala Lumpur. Ia diadakan sejajar dengan komitmen UTM untuk menjadi platform rujukan terbaik dalam industri kereta api di Malaysia serta sebagai jambatan antara akademik dan industri dalam menyelesaikan masalah berkaitan. UTM, khususnya FKA, komited dalam membantu industri menerusi kerjasama dalam pelbagai projek.

n
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah Program, Ts. Dr. Mohd Khairul Afzan Mohd Lazi

Simposium kali ini menarik kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang akademik dan industri, terutamanya dalam bidang kereta api.  Program ini dirasmikan oleh Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur,  Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, dan diringi oleh Presiden Persatuan Alumni UTM, Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran, yang juga Pengarah Urusan Khairi Consult Sdn. Bhd.

n
Perasmian telah disempurnakan ole Pro-Naib Canselor UTM dan juga Presiden Persatuan Alumni UTM

Acara diteruskan dengan pembentangan oleh Prof. Ir. Dr. Salman Leong dari UTM, yang berkongsi pandangan dalam bidang akademik berkaitan teknologi rel serta projek-projek kolaborasi UTM dengan industri kereta api. Seterusnya, Ir. Abd Rani Ahmad dari Mega Jati Consult Sdn. Bhd. berkongsi ilmu kejuruteraan kereta api kepada para pelajar.

WhatsApp Image at bcfe
Sesi perkongsian akademik dari Prof. Ir. Dr. Salman Leong
WhatsApp Image at ccca
Sesi perkongsian industri dari Ir. Abd. Rani Ahmad

Sesi forum akademik dan industri menjadi kemuncak Rail Tech Symposium 2024. Forum ini, yang dimoderatorkan oleh Ir. Ts. Syahmizzi Ifwat dari Minconsult Sdn Bhd., menghimpunkan panel-panel terkemuka dari industri dan akademik, termasuk Prof. Madya Dr. Norhisham Bakhary (UTM), Tuan Khazrul Hislan Kamarudin (MyHSR Corporation), dan Tuan Nizam Mohd Daut (Malaysia Rail Link).

Mereka membincangkan isu-isu terkini serta prospek masa depan industri rel di Malaysia, serta kepentingan kerjasama antara industri dan akademik dalam membangunkan industri ini di peringkat nasional dan antarabangsa. Pelbagai isu hangat didebatkan dan dibincangkan secara mendalam, yang akhirnya memberi pencerahan kepada semua yang hadir.

Simposium ini diakhiri dengan sesi meja bulat bersama Technology Depository Agency (TDA), yang mendedahkan peluang-peluang serta program kerajaan yang membuka mata banyak pihak yang belum pernah mengetahuinya.

WhatsApp Image at cac
Sesi forum panel industri dan akademik mendapat sambutan hangat daripada peserta

Rail Tech Symposium 2024 memberi impak yang mendalam kepada peserta, terutamanya dalam memperkukuh jaringan antara akademik dan industri. Program ini menjadi platform berkesan untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta membina kerjasama yang berpotensi pada masa hadapan.

Ramai peserta memberikan maklum balas positif, menyatakan bahawa simposium ini membuka mata mereka kepada perkembangan terkini dalam teknologi rel, dan memberikan inspirasi untuk meneroka lebih banyak peluang dalam bidang ini.

Seorang peserta yang juga pelajar dari UTM menyatakan, “Simposium ini sangat bermanfaat untuk memahami cabaran dan peluang dalam industri rel. Saya kini lebih berminat untuk mendalami bidang ini sebagai pilihan kerjaya.”

Penganjur program turut meluahkan kepuasan terhadap perjalanan program ini dalam sesi penutupan. “Kami amat gembira dengan sambutan yang diterima serta penyertaan aktif daripada semua pihak. Kolaborasi seperti ini penting untuk memastikan kemajuan teknologi rel di Malaysia,” kata Pengarah Program.

Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur juga menyuarakan pandangannya, menyatakan bahawa simposium ini adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh hubungan antara universiti dan industri. “Saya amat bangga dengan penganjuran simposium ini, yang bukan sahaja menghubungkan akademik dengan industri, tetapi juga membuka ruang untuk inovasi dan perkembangan dalam teknologi rel,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, Rail Tech Symposium 2024 berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasa pengetahuan dan meningkatkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam industri rel. Dengan kejayaan ini, penganjur berharap agar simposium ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala lebih besar dan impak lebih luas.

Explore More