JOHOR BAHRU, 14 Jun – Program Mudball Attack merupakan satu program pembelajaran servis telah dijalankan oleh pelajar Seksyen 5 Kursus Bina Insan Guru (SHPP 4043) dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Pasir, Johor Bahru.
Program ini bertujuan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi). Dalam program ini para mahasiswa memindahkan pengetahuan mereka berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) iaitu membuat bebola lumpur kepada guru dan murid-murid di SK Kampong Pasir.
Program mudball attack ini bertujuan untuk mendidik para pelajar mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. Aktiviti ini juga bertujuan untuk menghalang pertumbuhan alga dan memecahkan bahan organik, menjadikan air lebih bersih dan jernih serta mengurangkan bau busuk di dalam tasik.
Seramai 135 peserta yang terdiri daripada 30 mahasiswa tahun akhir Pendidikan Kimia, 25 mahasiswa tahun akhir Pendidikan Fizik, dan 80 murid tahun 6 dari SK Kampong Pasir telah terlibat dalam bengkel pembuatan bebola lumpur (mudball).
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan dari pensyarah kursus Bina Insan Guru (SHPP 4033) seksyen 5 iaitu Pn. Marlina Ali yang juga merupakan penasihat program Mudball Attack, diikuti oleh ucapan perasmian oleh Guru Besar SK Kampong Pasir, Pn. Nooraishah Othman.
Program mudball dimulakan dengan sesi taklimat dan kuiz oleh Pengarah program iaitu Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman mengenai bebola lumpur. Murid diberikan latihan praktikal pembuatan bebola lumpur, bersama mahasiswa UTM yang melibatkan penggunaan Mikroorganisma Efektif (EM), Molasses, tanah, dan sabut kelapa. Sebahagian besar murid di SK Kampong Pasir ini merupakan murid miskin bandar. Peluang yang diberikan kepada mereka ini memberikan satu pengalaman hands on yang baru berkaitan STEM, menurut Ketua Panitia Sains Cikgu Nurulhuda Sharif. Sebanyak 5,733 bebola lumpur berjaya dihasilkan oleh murid-murid SK Kampong Pasir pada hari tersebut.
Seminggu selepas mudball dihasilkan, sesi lontaran dilakukan di Tasik Ilmu UTM. Mudball perlu dibiarkan selama seminggu selepas pembuatan sehinggalah ia mengeluarkan warna keputih-putihan barulah ia boleh dilontarkan ke dalam tasik. Warna putih pada mudball ini menunjukkan bakteria baik telah berjaya dihasilkan dan ia berkesan merawat tasik yang tercemar.
Peserta berkumpul untuk sesi taklimat seawal pukul 8 pagi sebelum menjalankan aktiviti lontaran bebola lumpur ke dalam tasik. Program ini dirasmikan oleh En. Ishamuddin Md Kusmin, Pengarah Seksyen Penyenggaraan, Fasiliti & Infrastruktur, UTM. Kesemua 5,733 mudball yang dihasilkan bersama pelajar SK Kampung Pasir dilontarkan ke dalam tasik. Majlis ini turut dihadiri Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) dan Ketua Panitia Sains sebagai wakil dari SK Kampong Pasir.
Program Mudball ini tidak hanya memberi manfaat kepada persekitaran, tetapi juga menyampaikan ilmu pengetahuan STEM kepada pelajar sekolah. Inisiatif ini selaras dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), dan SDG 14 (Hidupan Bawah Air). Pelajar dilatih untuk memahami dan mengaplikasikan ilmu sains dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Keseluruhan program berjalan lancar dengan bantuan dan kerjasama dari pelbagai pihak. Penganjur berharap program ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar untuk lebih meminati subjek sains dan terlibat aktif dalam kegiatan kelestarian alam sekitar di masa hadapan.