Januari 22, 2025

Kembara Scratch

Kembara Scratch 1.0 semai generasi murid fasih digital

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kerjasama strategik bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai telah menganjurkan Kembara Scratch 1.0, sebuah program pengaturcaraan kreatif menggunakan perisian Scratch. Program ini melibatkan 50 murid dari lima sekolah rendah sekitar Johor Bahru dan diadakan di SK Sri Skudai, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Senarai mentor Kembara Scratch
Sekumpulan penyelidik Fakulti Komputeran yang terlibat dalam Kembara Scratch 1.0

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran, Profesor Madya Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim, dengan kehadiran wakil Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Encik Wan Hafizi Wan Hazit. Antara agenda utama program ini adalah Majlis Menandatangani Surat Niat (LOI) antara Fakulti Komputeran UTM dan SK Sri Skudai sebagai sekolah angkat, sesi hands-on dan kuiz.

sekolah angkat
Majlis Menandatangani Surat Niat (LOI) antara Fakulti Komputeran UTM dan SK Sri Skudai

Program ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Pengajaran Aplikasi Scratch 1.0 yang diadakan Ogos tahun lalu, yang telah memberi impak kepada 236 murid sekolah rendah. Pendekatan peer-teaching diperkenalkan dalam program kali ini, di mana 10 murid yang terlatih bertindak sebagai fasilitator kepada rakan sebaya mereka, di bawah bimbingan ahli akademik Fakulti Komputeran UTM.

Kembara Scratch 1.0 menguji kemahiran murid melalui dua komponen utama. Kuiz Bertulis melibatkan 30 soalan individu, sementara sesi hands-on memerlukan murid berpasangan membangunkan animasi atau permainan ringkas menggunakan Scratch. Penilaian dilakukan oleh juri dari Fakulti Komputeran, termasuk Dr. Farkhana Muchtar, Dr. Adila Firdaus Arbain, dan Dr. Yee Yong Pang.

Mentor akademik turut dilantik untuk setiap sekolah peserta, seperti Dr. Noor Hidayah Zakaria untuk SK Sri Skudai dan Ts. Dr. Mohd Zamri Osman untuk SK Taman Universiti. Tambahan pula, video panduan oleh Cikgu Aminuddin, pengarah program ini, turut membantu murid membuat persiapan.

SK Taman Universiti 1 dinobatkan juara dengan markah tertinggi sebanyak 280, diikuti oleh SK Sekudai Batu 10 dan SK Sri Skudai di tempat kedua dan ketiga. Kemenangan ini mencerminkan keberkesanan program dalam memperkasakan murid dengan kemahiran teknologi dan pemikiran komputasional, sejajar dengan Dasar Pendidikan Digital Negara 2023.

Pemenang Kembara Scratch
Antara Para Pemenang Program Kembara Scratch 1.0

Peserta seperti Muhammad Da’in Abdul Wafiy dari SK Sri Skudai meluahkan rasa gembira terhadap pengalaman ini. “Saya belajar buat permainan kucing terbang dengan Scratch sejak tahun lepas. Video Cikgu Amin di YouTube banyak membantu saya.”

Dr. Farkhana Muchtar menganggap program ini sebagai pencetus semangat untuk mempelajari pengaturcaraan secara santai dan menyeronokkan. Sementara itu, Cikgu Eliana dari SK Perumahan Tampoi menyifatkan program ini sebagai platform yang berkesan untuk meningkatkan minat murid terhadap pengaturcaraan.

Kembara Scratch 1.0 berjaya mencapai matlamatnya dalam menyemai murid fasih digital, meneroka bakat baharu, dan menyokong pembelajaran abad ke-21 melalui teknologi. Kejayaan ini membuktikan kolaborasi erat antara UTM dan komuniti sekolah mampu membentuk generasi celik teknologi yang kompeten dan inovatif.

Explore More