Disember 22, 2024

UTM UA pertama jalin ‘International Internship’ di Korea Selatan

KOREA SELATAN, 18 Mei – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi  Ismail bersama delegasi UTM telah mengadakan lawatan kerja selama empat hari bermula 14 hingga 17 Mei di Korea Selatan, melalui siri jelajah Vice Chancellor Asia Tour @Korea yang memfokuskan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bagi penempatan Latihan Industri Antarabangsa atau International Internship, pertukaran pelajar dan staf, serta kerjasama penyelidikan bersama tiga institusi ternama Korea Selatan, iaitu Seoul National University (SNU), Seoul, Kumoh National Institute of Technology (KIT), Gumi, dan Jeonbuk National University (JBNU), Jeonju.

Dalam pada itu, delegasi UTM turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Mohd Zamruni bin Khalid. Pelbagai perkara telah dikongsi dengan TYT Dato’ Zamruni berkenaan inisiatif berimpak tinggi terutamanya berkaitan program pertukaran pelajar, staf dan perkongsian kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang sedang dilaksanakan oleh UTM bersama SNU, KIT dan JBNU.

Kunjung hormat ke atas TYT Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan yang turut disertai oleh para pegawai Kedutaan

TYT Dato’ Mohd Zamruni turut menyatakan harapannya agar UTM terus berkongsi perkembangan terkini mengenai kolaborasi strategik bersama institusi-institusi di Korea Selatan. Beliau menekankan bahawa usaha ini adalah penting bagi memastikan semua pihak dapat memanfaatkan peluang keemasan yang ada, khususnya dalam memperkukuh pendidikan tinggi di Malaysia dan Korea.

Pemeteraian MOU dan Kolaborasi Strategik bersama SNU, JBNU dan KIT 

Dalam tempoh lawatan kerja ini, tiga majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) telah diadakan bersama SNU, KIT dan JBNU. MOU ini merupakan inisiatif daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Pemeteraian MoU bersama Seoul National University (SNU) telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Fauzi bersama Presiden SNU, Profesor Oh Se-Jung pada 14 Mei 2024. Kolaborasi antara UTM dengan SNU (universiti no. 1 di Korea Selatan) dijangka akan membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi UTM mempunyai Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara yang telah dirasmikan pada 10 Mei lalu. UTM merupakan UA pertama di Malaysia yang memeterai MoU dan membentuk kerjasama strategik seumpama ini.

Sesi perbincangan kolaborasi strategik bersama Pengurusan SNU dan pemeteraian MOU UTM-SNU

Delegasi UTM turut dibawa melawat ke SNU Inter-University Semiconductor Research Centre, di mana pusat ini menjadi tumpuan para penyelidik dan pelajar seluruh Korea Selatan menjalani latihan dan penyelidikan teknologi termaju.

Wakil SNU memberi taklimat berkaitan fungsi pusat penyelidikan ‘AI semiconductor’

Melalui pemeteraian kerjasama ini, seramai lapan orang graduan UTM akan menerima biasiswa penuh daripada syarikat gergasi Korea, iaitu Samsung, untuk program pascasiswazah di SNU bermula September 2024, manakala seramai dua orang pelajar prasiswazah Tahun 3 diterima bagi menjalani latihan industri selama tiga bulan di Korea Selatan bermula Julai ini tanpa dikenakan sebarang bench fees.

Dalam pada itu, UTM juga turut memeterai MoU bersama Kumoh National Institute of Technology (KIT) yang telah pun disempurnakan oleh Prof Datuk Ahmad Fauzi bersama Presiden KIT, Profesor Ho Sang Kwak. Kerjasama ini melibatkan bidang teknologi dan kejuruteraan, di mana kedua-dua pihak akan berganding bahu dalam pelbagai projek penyelidikan, program pertukaran pelajar dan penempatan International Internship. Seramai empat orang pelajar prasiswazah UTM telah berjaya melaksanakan International Internship selama tiga bulan yang berakhir pada Oktober 2023, manakala seramai enam orang pelajar lagi akan ditempatkan di KIT bermula Julai 2024 tanpa dikenakan sebarang bench fees. KIT juga mempelawa graduan UTM dengan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di institusi berkenaan.

Delegasi UTM juga berpeluang melawat Smart Factory di KIT, yang memaparkan teknologi terkini berasaskan AI untuk kegunaan industri seperti Samsung, dan penyelidikan institusi. Teknologi yang dipamerkan di Smart Factory ini menunjukkan potensi besar untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan antara UTM dan KIT dalam bidang automasi industri, pembelajaran mesin, dan teknologi pintar.

Prof. Datuk Ahmad Fauzi dan delegasi UTM bersama Presiden KIT dan para pegawai selepas majlis pemeteraian MOU
Lawatan ke Smart Factory KIT, salah satu bangunan pintar yang menjadi rujukan institusi dan industri khususnya di Gumi, Korea Selatan

UTM turut memeterai MOU dengan Jeonbuk National University (JBNU) yang menyaksikan Prof. Datuk Ahmad Fauzi dan Presiden JBNU, Profesor Kim Dong-Won menyempurnakan penandatanganan berkenaan. Kerjasama dengan JBNU mencakupi pelbagai bidang  seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, dan sains sosial. Inisiatif pemeteraian ini merupakan wahana bagi meningkatkan kualiti akademik dan penyelidikan di kedua-dua universiti yang bakal memanfaatkan staf dan pelajar khasnya.

Sesi perbincangan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang kepakaran dan pemeteraian MOU UTM-JBNU

Tahun lalu, seramai empat  orang pelajar prasiswazah UTM telah berjaya melaksanakan International Internship selama tiga bulan di JBNU, manakala pada tahun ini JBNU berhasrat membuka peluang kepada lebih ramai pelajar prasiswazah UTM untuk mendapat tempat di JBNU.

Majlis pemeteraian MOU ini menandakan satu detik permulaan kepada pelbagai inisiatif dan program pertukaran yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan UTM, di samping menjalin hubungan Diplomasi Akademik demi memperkukuh Kesohoran Global UTM di pentas dunia.

Hubungan baik dan kerjasama erat antara UTM dengan institusi-institusi pendidikan tinggi di Korea Selatan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk pertukaran serta perpindahan ilmu, penyelidikan bersama, dan pembangunan teknologi. Ini seterusnya bakal mencipta manfaat besar kepada kedua-dua buah negara, Malaysia dan Korea Selatan, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur yang telah Malaysia rekayasakan sejak era 1980-an.

 

Artikel ini disediakan dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor dan Sekolah Pengajian Prasiswazah sempena lawatan kerja Korea Selatan melalui siri jelajah Vice Chancellor Asia Tour@Korea.

Explore More