JOHOR BAHRU, 22 Mei – Makmal Satelit Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah mengadakan Kolokium Makmal Satelit FABU, UTM-JTS Sarawak Bilangan 1 Tahun 2024 melibatkan kolaborasi bersama industri antarabangsa.
Lawatan ini telah disertai oleh lima belas (15) orang pegawai JTS Sarawak dan diketuai oleh Sr. Ramzi Abdillah, Penolong Pengarah Survei. Pegawai-pegawai dari JTS Sarawak yang terlibat dalam lawatan ini adalah terdiri daripada pegawai dalam bidang Ukur Tanah dan Perancang Bandar dan Wilayah. Delegasi jemputan ini telah disambut oleh Sr. Dr. Othman Zainon, Pengarah Geoinformasi; Profesor Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset UTM; Dr. Wan Anom Wan Aris, Sr. Dr. Norhadija Darwin, Dr. Nurul Izzati Abd Karim, Sr. Dr. Kelvin Tang Kang Wee dan Sr. Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim. Kolokium Makmal Satelit FABU, UTM-JTS Sarawak ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Profesor Sr. Dr. Kherun Nita Ali, Dekan FABU.
Kolokium telah disertai oleh dua (2) syarikat terkemuka dalam bidang Kejuruteraan Geomatik iaitu GPS Lands (M) Sdn. Bhd. dan RDG Supply Sdn. Bhd. Syarikat GPS Lands (M) Sdn. Bhd. telah memperkenalkan peralatan baharu Global Navigation Satellite System (GNSS) iaitu Trimble Real Time eXtended (RTX). Sesi penerangan telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Lim Chor Sheng, Pengarah Syarikat bersama-sama dengan pegawai dari Syarikat Trimble Singapura. Di samping itu, uji cuba di lapangan juga dijalankan bagi alat Trimble RTX ini bagi menguji kemampuan dan ketepatan cerapan yang dijalankan.
Syarikat RDG Supply Sdn. Bhd. pula menerangkan berkenaan teknologi dalam bidang pengukuran utiliti bawah tanah. Peralatan yang diperkenalkan adalah alat Pipe Cable Locator (PCL) dan Ground Penetrating Radar (GPR) dan selain pembentangan, uji cuba di lapangan juga turut dijalankan bersama pensyarah dan delegasi JTS Sarawak. Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Ricky Goh, Pengurus Besar Syarikat RDG Supply.
Secara kesimpulanya, sesi Kolokium Makmal Satelit yang diadakan secara berkala ini merupakan satu pendekatan untuk memperkenalkan teknologi terkini dalam bidang Kejuruteraan Geomatik. Melalui sesi kolokium ini, bukan sahaja delegasi jemputan dari luar dapat mengetahui berkenaan teknologi-teknologi ini, para pensyarah juga mendapat pendedahan secara terus dengan industri dalaman dan luar negara untuk disebarkan kepada para pelajar.