MELAKA, 25 Mei – Seramai 27 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai Himpunan Malam Solidariti Palestin Sempena Hari Belia Negara 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pelajar yang hadir terdiri daripada 14 pelajar tempatan dan 13 pelajar antarabangsa dari Palestin, Bangladesh, Pakistan, dan Iran. Aktiviti dimulakan dengan flashmob ‘Free Palestine’ di sekitar Kota A Famosa selama lebih 20 minit, sebelum mengikuti acara utama yang bermula pada jam 8.40 malam.
Tetamu kehormat yang turut hadir termasuk YB Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Datuk Khaidirah Dato’ Seri Abu Zahar, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM); En. Mohd Azhari Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; serta En. Mohd Izzat Afifi Haji Abdul Hamid, Presiden MBM. Program ini juga dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa universiti lain di seluruh negara.
Saudari Maysaa N Y Awad, Naib Presiden International Student Society (ISS) – UTM dijemput untuk berucap sebagai pembicara pertama. Beliau menyampaikan rasa syukur atas sokongan pelbagai organisasi kepada perjuangan Palestin, terutamanya KBS, MBM dan PKPIM. Ucapannya menekankan kepentingan dan kekuatan solidariti belia sempena Hari Belia Kebangsaan 2024.
Beliau menyoroti sokongan global untuk Palestin, menyebut usaha pelajar universiti di seluruh Amerika Syarikat, Eropah, Asia, dan Malaysia. Pelajar-pelajar ini telah menganjurkan acara, protes, kempen pendidikan, dan kutipan dana untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap hak-hak Palestin dan untuk mengakhiri pendudukan dan perang di Gaza.
Ucapan tersebut diakhiri dengan seruan untuk terus memperjuangkan hak dan keadilan bagi Palestin, menekankan bahawa perjuangan ini adalah sebahagian daripada gerakan global untuk keamanan dan kesaksamaan. Saudari Maysa turut mengutip kata-kata Nelson Mandela, ‘We know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians’, yang bermaksud kebebasan tidak lengkap tanpa kebebasan Palestin, dan menggesa usaha serta solidariti yang berterusan.
Selain ucapan dari wakil pelajar Palestin, turut berucap adalah Presiden MGBM, PKPIM, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Presiden MBM, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid dan Doa Qunut Nazilah oleh Kumpulan AWLA, di mana pelajar yang hadir turut dijemput naik ke pentas untuk sama-sama mengibarkan bendera Palestin.
Akhir kata, program solidariti Palestin ini sangat bermakna bagi pelajar yang hadir. Melalui program ini, wakil pelajar Palestin berjaya menyampaikan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat tempatan dan global. Pelajar tempatan dan antarabangsa turut merasakan semangat memperjuangkan kebebasan Palestin. Semoga program seperti ini diadakan lagi untuk menunjukkan kelantangan rakyat Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin dan memberi tekanan kepada kekejaman Zionis Israel. InsyaAllah, Palestin akan merdeka. Free Palestine.