Disember 27, 2024

KALAM tandatangani perjanjian MoU dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Selatan

JOHOR BAHRU, 20 April– Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoU) antara Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan Pertubuhan Akitek Malaysia Cawangan Selatan (PAMso) telah diadakan di Hotel Hyatt Place. KALAM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diwakili oleh Pengarah KALAM, Ar. IDr. Ts. Dr. Noraslinda Abdul Rahman; Felo-felo Penyelidik, Prof. Madya. Ar. Dr. Lim Yaik Wah dan Dr. Aiman Mohd Rashid; Penyelidik-Penyelidik UTM; Ar. Chan Wai Lai manakala pihak PAMso diwakili oleh Ar. Ahmad Farik Abd Ghaffar selaku Pengerusi PAMso dan Arkitek-Arkitek Profesional lain yang berdaftar dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia.

Pertukaran MoU antara KALAM dan PAMso. KALAM diwakili oleh Ar. IDr. Ts. Dr. Noraslinda Abdul Rahman, Pengarah KALAM serta Ar Ahmad Farik Abd Ghaffar, Pengerusi PAMso

KALAM yang merupakan sebuah pusat penyelidikan dan rujukan tempatan serta antarabangsa yang memartabatkan warisan bangsa. Dokumentasi warisan di KALAM bermula sejak tahun 1975 di atas landasan lukisan terukur (measured drawing) yang dihasilkan oleh pelajar Seni bina UTM. Pada 1996 KALAM secara rasminya telah diangkat sebagai sebuah Pusat Penyelidikan Universiti yang berperanan untuk menyediakan data yang komprehensif berkaitan seni bina. Sehingga kini, KALAM telah merekod dan mendokumentasikan lebih 600 buah bangunan yang terdiri daripada rumah tradisional, masjid, rumah ibadat, institusi, istana, bangunan awam, rumah kedai, inventori serta binaan kecil dari seluruh pelusuk Kepulauan Melayu termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja. Tidak hanya itu, KALAM juga menyimpan pelbagai khazanah ketara seperti artifak, dokumen, perabot, gambar, arca serta lain-lain yang diterima sewaktu proses penyelidikan dijalankan.

PAMso bersama-sama dengan Felo Penyelidik KALAM dan Penyelidik UTM. Dari kiri; Dr. Aiman Mohd Rashid, Prof. Madya. Ar. Dr. Lim Yaik Wah, Ar. Ahmad Farik Abd Ghaffar dan Penyelidik UTM, Ar Chan Wai Lai.

Objektif perjanjian ini ditandatangani adalah khusus untuk mencapai Petunjuk Prestasi (KPI) seperti yang dinyatakan dalam kerangka UTM enVision 2025 iaitu; TS 1, Bakat Holistik Bertaraf Dunia untuk Memperluaskan Bidang Pendidikan dan Penyelidikan; TS 3, Pengembangan Institusi Menerusi Kebitaraan yang Unik dan Khusus untuk Kelestarian Jangka Panjang; TS 4, Transformasi Pengalaman Hidup Menerusi Pemerkasaan Ilmu Pengetahuan dan Kepercayaan; dan TS 5, Keunggulan Global untuk Menjadi Universiti Penyelidikan Terkemuka di Malaysia pada 2025. Melalui perjanjian ini, ia bukan sahaja membentuk hubungan kolaborasi antara universiti dan agensi tetapi juga dengan komuniti.

Bersama-sama dengan Arkitek Profesional dan Alumni UTM.

Menerusi kerjasama ini, ia memberi peluang kepada para penyelidik UTM dalam mensinergikan kepakaran bersama pihak industri dan sekaligus mewujudkan peluang kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi melalui penyelesaian inovatif. Ianya sekaligus mampu mengukuhkan ekosistem kerjasama KALAM UTM melalui inovasi Quadruple Helix (GUCI- Government, University, Community, Industry) selaras dengan pendekatan enVision Moonshot yang menggariskan empat (4) fokus utama iaitu melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang strategik, mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi serta memanfaatkan teknologi tinggi dan menggunakan pendekatan quadruple helix.

Antara Arkitek-arkitek profesional dan Alumni UTM yang hadir sewaktu program tersebut

Jalinan kerjasama antara Pusat KALAM dan PAMso telah bermula dari tahun 2022 menerusi program perkongsian ilmu; Pre-Workshop 1, Johor Architectural Heritage Inventory Workshop 2023 pada bulan November 2022 dan Johor Architectural Heritage Inventory Workshop 2023 pada bulan Mac 2023. Program ini merupakan dapatan daripada Geran Penyelidikan Flagship COE/RG bertajuk Kajian Seni Bina Dan Tarikan Pelancongan Berasaskan Warisan Bandar Di Bandaraya Johor Bahru yang bernilai RM 350,00.00. Kerjasama antara pihak KALAM dan PAMso akan diteruskan melalui program RefleksiSEratus yang akan dilaksanakan pada bulan Mei 2024.

Explore More