JOHOR BAHRU, 21 Mac – Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Kolej Tun Fatimah (KTF), Universiti Teknologi Malaysia telah menyantuni dan mengagihkan Beg Kasih Ramadan kepada 50 Pelajar KTF yang terdiri daripada golongan B40. Program anjuran Jawatankuasa Mahasiswa KTF, UTM (JKMKTF) merupakan salah satu T dalam program Hubbun Ramadhan 2024:5T KTF yang merangkumi Program Solat Tarawih dan moreh; Tadarus Al-Quran; Sentuhan Pemberian (Touch of Giving); Pertandingan Tilawah Al-Quran, dan Iftar Perdana bersama ADABI (Taste of Blessing).
Proses pengagihan kepada 50 pelajar B40 ini dimulakan dengan mengenalpasti pelajar-pelajar yang layak menerima beg kasih Ramadan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) terdapat empat kumpulan (B1-B4) di bawah golongan B40. Program sentuhan pemberian ini memfokuskan pemberian kepada kumpulan B1 dimana had pendapatan seisi keluarga adalah kurang dari RM2500 sebulan. Hasil kerjasama dengan Pihak Kolej KTF, seramai 50 pelajar yang dikenalpasti layak menerima beg kasih Ramadan tersebut.
Kos sara hidup yang kian meningkat pada masa kini mendorong Pihak KTF untuk mengadakan inisiatif dan menunjukkan keperihatinan pihak pengurusan dengan membantu mahasiswa melalui agihan makanan kering lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu sedikit sebanyak pelajar menjimatkan perbelanjaan dari segi makanan kering untuk bersahur.
Majlis ringkas pengagihan ini telah disempurnakan oleh pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Noor Mala Ibrahim kepada 50 pelajar di Dewan Sri Alam KTF . Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan ini adalah penasihat biro kerohanian, Dr. Aminah Mohsin dan Majlis Felow KTF.
“Saya amat berterima kasih kepada Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tun Fatimah dapat menjayakan program ini dan bersyukur dengan sumbangan yang telah disempurnakan. Pengurusan Kolej sentiasa cakna dengan keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh para pelajar, lebih-lebih lagi kini di bulan Ramadan yang penuh barakahnya” ujar Penasihat Biro Kerohanian KTF.
Diharap program seperti ini dapat diteruskan bahkan perlu mendapat perhatian yang lebih mendalam demi menjaga kebajikan mahasiswa serta perlu dipandang serius oleh semua pihak demi menjaga kemaslahatan setiap mahasiswa.