KUALA LUMPUR, 20 Mac – Persatuan Kejuruteraan Proses Kimia (CHEMPRO) telah berjaya merangkul Anugerah Khas Alumni melalui program NaSIC’24 sempena pertandingan Top Bidder 2024 yang telah diadakan di Event Space, Aras 1, Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Anugerah Khas Alumni ini berupa peruntukan tambahan untuk Program National Sustainability Innovation Challenge 2024 (NaSIC’24) berjumlah RM1,000.00 (satu ribu ringgit).
Program ini memperjuangkan inovasi dalam bahan-bahan kitar semula dengan kerjasama industri dan komuniti, termasuk sekolah dan peringkat Universiti. Program ini menyasarkan 150 sekolah, iaitu dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah harian, Kolej Tingkatan 6, Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sekolah Antarabangsa. NaSIC’24 telah berkolaborasi dengan Pasaraya terkemuka iaitu Lotus Sdn. Bhd. Program ini dijangka diadakan pada bulan Julai 2024 dan sekarang sedang memulakan proses pendaftaran dan penyerahan infografik kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat.
Sebanyak 18 program telah dipertandingkan dan 13 persatuan/kelab telah mengambil bahagian yang terdiri daripada Society of Automative Engineers Malaysia (SAEM), Persatuan Kejuruteraan Perisian (SOFEA), CHEMPRO, Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal Kejituan (PREMECH), Persatuan Mahasiswa Sains Komputer (COMSTAR), Persatuan Kejuruteraan Awam (PEMKA),Persatuan Mahasiswa Pengurusan Teknologi & Perakaunan (SMART), Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), Kelab Penyelidikan & Inovasi (RIC), serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Kuala Lumpur.
Juri yang terlibat dalam mengadili program-program yang dipertandingkan dalam Top Bidder 2024 ialah YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran, Presiden PAUTM; Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan; Encik Muhammad Tariq Ramlan, Timbalan Bendahari UTM; serta Puan Nurul Ain Mohd Yunos dari Pejabat Pendaftar UTM Kuala Lumpur.
Semua wakil persatuan dan kelab yang menyertai program Top Bidder 2024 telah menunjukkan komitmen dan daya saing yang tinggi melalui pembentangan dan hujah yang disampaikan dalam sesi pembentangan kertas kerja dan bersungguh-sungguh mempromosikan serta mempertahankan program masing-masing.