JOHOR BAHRU, 22 Mac – Pada bulan Ramadhan yang mulia, membantu sesama insan merupakan perkara yang baik untuk dilakukan agar dapat menanamkan sifat keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan mahasiswa UTM.
Disebabkan itu Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dengan kerjasama Kelab Sekretariat Rukun Negara UTM mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Ihya Ramadhan yang bertujuan untuk berkongsi rezeki sesama mahasiswa serta kakitangan UTM melalui agihan bubur lambuk.
Program ini berjalan selama sehari, yang bermula pada jam 4.00 petang. Kesemua ahli jawatankuasa telah diarahkan untuk berkumpul di Masjid Sultan Ismail untuk memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar. Kesemua ahli jawatankuasa menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh disiplin dengan menunjukkan semangat kerjasama dan keterujaan mereka untuk berbagi rezeki kepada komuniti UTM.
Agihan bubur lambuk disekitar Masjid Sultan Ismail
Kemuncak program ini adalah pada pukul 4.30 petang, dimana edaran bubur lambuk mula dilaksanakan. Terserlah raut kesyukuran dan kegembiraan pada wajah-wajah penerima agihan bubur lambuk yang terdiri daripada kalangan mahasiswa dan kakitangan UTM.
Dalam usaha untuk menjayakan program Ihya Ramadhan, ahli jawatankuasa program telah berjaya membuat agihan sebanyak 200 bekas bubur lambuk yang dilihat berjaya memenuhi objektif utama program dalam usaha untuk berbagi rezeki sesama komuniti UTM.
Sesi bergambar AJK Ihya Ramadan dari Kelab GPS dan Kelab SRN
Usaha-usaha yang dirancang oleh Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM dan Kelab Sekretariat Rukun Negara UTM diharapkan mampu mengimarahkan kedatangan bulan Ramadhan dan memupuk sifat-sifat mulia dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTM.