September 8, 2024

Search
Close this search box.
kru rome

ROME ’24 manifestasi komitmen universiti dalam pembangunan masyarakat

SRI AMAN, SARAWAK, 22 Feb. – Kolej Tun Fatimah (KTF) , Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Institute of Engineers Malaysia-Student Association Faculty of Engineering (IEM-SAFE) – UNIMAS Student Section, Institusi Jurutera Malaysia-Persatuan Pelajar Fakulti Kejuruteraan (IEM-SAFE) – Seksyen Pelajar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan program khidmat masyarakat, Rural Outreach & Multicultural Exchange 2024 (ROME ’24) pada 22-26 Februari 2024 di Kampung Pangkat, Sri Aman. 

Pengarah program, Anis Suzziani berkata, program ini merupakan salah satu usaha program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk menggalakkan pembangunan berteraskan masyarakat di luar bandar Sarawak melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti yang membawa impak positif kepada komuniti yang terlibat. 

Sinergi yang baik daripada rakan-rakan penaja dan kolaborasi dapat dilihat melalui libatsama UTM Alumni, Pusat Islam UTM, Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UTM, Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Stasuria Enterprise Sdn. Bhd. (Adabi) dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC). 

Berdasarkan matlamat ROME ‘24, beberapa aktiviti telah dijalankan seperti slot amali pengurusan jenazah, slot amali penyembelihan dan ceramah Nisfu Syaaban yang telah dikendalikan oleh penceramah-penceramah dari Pejabat Agama Islam Sri Aman. 

slot amali
Slot amali pengurusan jenazah.
slot penyembelihan
Slot amali penyembelihan.
ceramah nisfu
Ceramah Nisfu Syaaban

Selain itu, pada hari yang sama telah berlangsungnya aktiviti Juh Rewang, di mana kru ROME ‘24 serta penduduk kampung Pangkat bergotong-royong memasak hidangan tradisional negeri Sarawak seperti ayam pansuh, bubur pedas dan daging masak hitam.

rewang
Aktiviti merewang bersama penduduk Kampung Pangkat

Wakil daripada Stasuria Enterprise Sdn. Bhd. (Adabi Sarawak) turut hadir bagi memeriahkan program dan menyediakan jamuan minum petang. 

adabi sarawak
Adabi Sarawak menyediakan jamuan minum petang.

Majlis perasmian program ROME ‘24 yang berlangsung di Dewan Nangkai telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Kepimpinan & Pembangunan) UNIMAS, YBhg. Profesor Datu Mohd Fadzil Abd Rahman dan dihadiri rakan-rakan kolaborasi serta penaja seperti Alumni UTM, IEM-SAFE UNIMAS, JAIS, SEDC, PPD Sri Aman, Hospital Pengajar & Pusat Kesihatan Prima UNIMAS serta UiTM Sarawak.

majlis perasmian
Majlis Perasmian program ROME ’24

Beberapa reruai pameran dan pertandingan yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut dijalankan di lokasi yang sama di mana seramai 112 orang pelajar sekolah dan guru pengiring daripada sekolah-sekolah sekitar Sri Aman termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Gran Stumbin, SK Tanjung Bijat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, SMK Simanggang dan SMK Lingga telah hadir bagi memeriahkan program tersebut.

pameran stem
Pameran sempena STEM & Campus Connect.

Reruai pameran (booth) daripada beberapa agensi pendidikan turut dibuka bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah mengenai hala tuju melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Saringan kesihatan secara percuma oleh Hospital Pengajar & Pusat Kesihatan Prima UNIMAS juga telah diadakan di Dewan Nangkai dan dibuka kepada semua pengunjung. Aktiviti Sukan Rakyat yang melibatkan penduduk kampung Pangkat serta kru ROME ‘24 juga telah diadakan bagi merapatkan hubungan silaturahim di samping membudayakan amalan gaya hidup sihat. 

sukan rakyat
Aktiviti sukan rakyat bersama penduduk setempat

Program ROME 2024 ini dimeriahkan lagi dengan slot Cultural Exchange di mana pelbagai tarian dipersembahkan oleh kru ROME ‘24 seperti tarian Zapin dari negeri Johor, Dikir Barat dari negeri Kelantan dan tarian Ngajat dari negeri Sarawak. Penduduk kampung juga turut mempersembahkan beberapa tarian bagi menghiburkan semua hadirin pada malam tersebut. Pertukaran budaya antara penduduk kampung dan kru ROME ‘24 ini telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka. 

cultural night
Cultural Night bersama penduduk kampung Pangkat.

Kru ROME ‘24 juga telah dijemput oleh rakan kolaborasi program iaitu UTM Alumni bagi menghadiri majlis hi-tea bersama Alumni UTM Sarawak yang bertempat di Grand Margherita Hotel, Kuching. Majlis tersebut merupakan penghargaan daripada UTM Alumni di atas kerjasama yang terjalin serta sebagai tanda terima kasih atas usaha kru ROME ‘24 menjayakan program ini. 

majlis hi tea
Majlis Hi-tea bersama UTM Alumni.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada rakan kolaborasi dan penaja program ROME ‘24 atas sumbangan, kerjasama dan khidmat yang telah diberikan.

Melalui program ini, para mahasiswa yang terlibat dapat meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran berkomunikasi yang berkesan serta kerja berpasukan dalam usaha meningkatkan semangat kepimpinan antara satu sama lain.

Program CSR ini juga mampu membawa nilai ihsan yang tinggi dan menjalin hubungan sosial yang baik demi kesejahteraan masyarakat, sejajar dengan seruan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memajukan dan memantapkan pendidikan STEM.

kru rome
Kru ROME ’24 bersama perasmi program.

 

Explore More