JOHOR BAHRU, 22 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menjalani Audit Pematuhan Pengekalan Status Swaakreditasi 2023 oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang berlangsung selama lima hari yang berakhir hari ini.
Pengauditan bagi pengekalan status berkenaan bermula 15 Januari lalu yang berlangsung di ketiga-tiga buah kampusnya, di UTM Johor Bahru, UTM Pagoh dan UTM Kuala Lumpur merupakan kali kedua selepas sesi Audit Pematuhan Pengekalan Status Swaakreditasi buat pertama kali pada 2018.
Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, pengekalan status swaakreditasi ini penting buat UTM dan boleh dianggap sebagai maruah yang perlu dijaga yang mana boleh menjadi faktor tolakan dalam menguruskan penawaran program baharu dan akreditasi sejajar dengan keperluan dan kemampuan universiti.
Dengan status ini, UTM melalui Pusat Akreditasi UTM (UTM ACe) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Kualiti dan Pengurusan Risiko (UTM QRiM) menggalas tanggungjawab dalam menjalankan lebih 300 akreditasi dan audit yang meliputi akreditasi sementara, akreditasi penuh, audit pematuhan bagi pengekalan akreditasi penuh dan audit premis kepada program-program akademik UTM di peringkat program asas (foundation), Diploma, Diploma Eksekutif, Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.
Prof. Datuk Fauzi berkata, “Kualiti adalah perjalanan, bukan destinasi. Keprihatinan masyarakat dan senario semasa, menjadikan dunia pendidikan sangat mencabar dan semakin kompetitif akibat aruhan penggerak utama (driving forces) untuk merempuh perubahan globalisasi, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan digital dan ekspektasi pihak berkepentingan yang semakin meningkat.
“UTM sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan jaminan kualiti pendidikan tingginya selari dengan visi untuk meletakkan sistem pendidikan negara sebagai sistem pendidikan terbaik di dunia,” tambahnya.
Tiga program UTM, Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik – Mekatronik) dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian, dan Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian telah pun diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penilaian oleh Penilai daripada ASEAN University Network – Quality Assurance (AUN-QA) menggunakan kerangka AUN-QA dari negara Thailand, Filipina dan Indonesia.
Delegasi Panel Auditor MQA yang diketuai oleh Prof. Dr. M. Iqbal bin Saripan, dari Universiti Putra Malaysia (UPM) disertai oleh Prof. Dr. Maniam Kaliannam, selaku Setiausaha, Panel Auditor MQA dari Universiti of Nottingham Malaysia, termasuklah ahli panel lain yang terdiri daripada Prof. Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Nabishah binti Mohamad, (Mantan Profesor) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Prof. Madya. Ts. Dr. Zulkefli bin Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan para pegawai MQA.
Untuk rekod, UTM telah pun menerima status Swaakreditasi pada 29 Mac 2013.