November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Dis. – Kepesatan teknologi dalam pelbagai aspek kehidupan kini dilihat semakin menguasai perubahan gaya hidup dan cara masyarakat dunia memperoleh ilmu dan pengetahuan. Situasi ini sekali gus mempengaruhi corak pembelajaran dan pengajaran di kebanyakan institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia agar selari dengan kerancakan kemajuan teknologi yang sedang berkembang.

Cakna dengan situasi ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTMSPACE merintis langkah proaktif menjadi Universiti Awam pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi VR dalam kelompok pelajar yang besar bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Inisiatif ini menyuntik eleman realiti maya (virtual reality atau VR) ke dalam proses pengajaran dan pembelajarannya (PnP) bagi memberi pengalaman yang lebih kehadapan kepada penuntut di institusi ini.

Bermula dengan pemerolehan Geran Quick-win Fasa II pada Mac yang lalu, projek penyelidikan Development of Virtual Reality Educational Environment in UTMSPACE ini telah membuka jalan bagi melihat prestasi persekitaran pembelajaran menggunakan teknologi realiti maya, terutamanya bagi kursus-kursus di bawah Program Asasi UTM.

Bagi fasa pertama, penerapan teknologi maya dalam proses P&P memberi tumpuan kepada kursus Literasi Komputer yang melibatkan pelajar Program Asasi.

Kelompok pelajar Program Asasi UTM yang terlibat merasai pengalaman pertama menggunakan teknologi AI dalam pembelajaran.

Pengaplikasian ini membolehkan penggunaan sebanyak 41 VR headset dan untuk kegunaan setiap pelajar dan seorang pensyarah bagi satu-satu masa.

Kebiasaanya, teknologi VR ini lebih banyak digunakan bagi tujuan penyelidikan berbanding dengan proses PnP, serta penggunaanya amat terhad dari sudut bilangannya pada masa tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Prof. Ts Dr. Nazri Ali, yang juga Ketua Projek ketika ditemui berkata “pengaplikasian teknologi VR ini merupakan suatu pencapaian penting bagi UTM dan juga UTMSPACE.”

“Inisiatif rintis menggunakan teknologi VR adalah perkembangan yang sihat dalam dunia pendidikan tinggi dan seharusnya lebih diteroka untuk memberi pengalaman pembelajaran yang terbaik kepada pelajar,” katanya.

Prof. Dr, Nazri ketika ditemui wartawan pada program berkenaan.

Dalam membangunkan persekitaran pembelajaran VR, pelajar akan menyelesaikan pelbagai tugasan dalam persekitaran pembelajaran berkenaan dan diikuti dengan beberapa siri ujian. Inisiatif ini akan dapat membantu mempertingkat keberkesanan penggunaan VR dalam proses PnP yang dilaksanakan.

Potensi realiti maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran melibatkan keupayaan untuk mempersembahkan bahan pembelajaran dalam bentuk tiga dimensi (3D), visualisasi konsep yang abstrak, menyokong persembahan bahan pembelajaran dalam pelbagai dimensi, menyokong pembelajaran aktif dan menyokong pembelajaran penerokaan.

Prof. Dr. Nazri bersama pasukan penyelidiknya membantu pelajar dalam menggunakan headset yang dibekalkan.

Tambah Prof. Dr. Nazri, “Saya percaya pelajar bukan sahaja boleh menimba dan memperoleh pembelajaran di dalam kelas, bahkan dengan adanya teknologi VR ini mereka boleh meneroka pembelajaran realiti maya di luar kelas.”

Menerusi pelaksanaan teknologi seperti akan dapat menghasilkan proses pembelajaran yang berkesan melalui pengalaman. Pelajar boleh merasai sendiri pengalaman melalui penggunaan teknologi realiti maya semasa proses pembelajaran dan mereka tidak terbatas dengan hanya membaca dan melihat.

Dalam pada masa yang sama, kemudahan seperti ini akan mengurangkan risiko keciciran maklumat lantaran pelajar boleh melakukan proses amali dengan melihat dan merasai setiap aspek bahan pembelajaran dalam bentuk tiga dimensi (3D). Pengaplikasian teknologi VR ini juga dapat mengasah dan meningkatkan kreativiti pelajar dalam menghasilkan idea-idea baharu dan unik dalam tempoh pembelajaran.

Ong Loke Hao, 18 tahun, pelajar Program Asasi (Sains Fizikal) di UTMSPACE, berkata “Penggunaan VR ini adalah lebih baik dan membolehkan setiap pelajar di dalam kelas dapat mengikuti pembelajaran secara amali dengan lebih berkesan.”

Ong Loke Hao (berbaju merah jambu) merasai pengalaman menggunakan VR headset bersama rakan sekuliah.

Hadir sama sewaktu perasmian dan sesi demonstrasi ialah Pengurus Besar Pusat Pengajian Ijazah dan Asasi, En. Azri Johan, Pengurus Bahagian Penyelidikan dan Sumber Pembelajaran SPACE, Dr. Siti Munira Jamil, TS. Dr. Mohd Nur Asmawisham Alel dari Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, Dr Noor Asma Husain, dan En. Muhammad Ismail Mat Isham dari Pusat Pengajian Ijazah dan Asasi, SPACE.

Untuk rekod UTMSPACE merupakan anak syarikat UTM yang menawarkan pengajian di peringkat asasi  kepada pelajar tempatan dan luar negara. Sehingga kini, seramai 2119 orang pelajar mengikuti Program Asasi di UTM semenjak 2018.

Explore More