JOHOR BAHRU, 18 Nov – Mempunyai kerjaya tetap sebagai pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menghalang Lt. Kdr Ir. Ts. Dr. Mohd Shah Rizal Samsudin untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Beliau telah berjaya menamatkan pengajian ini dan menggenggam segulung PhD di dalam bidang kejuruteraan elektrik di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-67 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pagi tadi.
Bercakap selepas sesi konvokesyen itu, Mohd Shah Rizal yang kini bertugas sebagai Pegawai Staf Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Maritim Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) berkata sifat ingin memajukan diri itu menjadi pendorong utama kejayaannya sehingga berjaya menamatkan pengajian PhD.
”Sebagai seorang ayah kepada empat orang anak dan suami sudah tentulah besar tanggungjawap yang terpaksa digalas dan menuntut saya untuk memberikan sepenuh perhatian kepada aspek rumahtangga.
”Dalam masa yang sama juga terpaksa membahagikan masa untuk mengikuti pengajian dan ini sudah tentulah menjadi cabaran yang besar kepada saya namun saya cekalkan hati dan tidak menganggap perkara ini menjadi batu penghalang dan teruskan pengajian hingga akhir,” katanya lagi.
Beliau yang sebelum itu berkhidmat sebagai Pegawai Kejuruteraan di Pangkalan TLDM Lumut itu juga terpaksa memindahkan keluarganya ke Johor Bahru sepanjang mengikuti pengajian bagi memudahkan pemantauan pembesaran anak-anaknya.
”Kami sekeluarga tinggal di Taman Pulai Indah. Ini lebih memudahkan saya untuk memantau pelajaran dan pembesaran anak-anak dan menyelesaikan segala keperluan mereka jika ada keperluan.
”Isteri yang bertugas sebagai guru agama juga boleh menjalankan aktiviti harian seperti menyampaikan kuliah agama dan mengajar kelas Al-Quran di sekitar taman perumahan itu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai cabaran ketika pengajian, Shah Rizal yang memulakan pengajiannya pada 2018 ini berkata rintangan terhebat adalah ketika negara di dalam keadaan pandemik akibat wabak COVID-19.
”Ketika pandemik melanda, kampus ditutup sehingga saya terpaksa menumpang belajar dan melaksanakan eksperimen di pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Pulai di Taman Pulai Perdana kerana tidak mahu mengganggu keluarga di rumah.
”Ketika pengajian juga, Ibu mertua saya yang tinggal di Ipoh juga telah jatuh sakit ketika itu dan saya terpaksa pulang ke sana selama sebulan bagi membantu menjaga beliau yang uzur ketika itu,” katanya.
Bercakap mengenai cabaran ketika belajar, Mohd. Shah Rizal tidak menafikan memang banyak cabaran yang terpaksa dilalui tetapi beliau tidak menganggap semua itu sebagai pemberat malah sebagai kelebihan yang dapat memotivasikan dirinya untuk terus berjuang hingga akhirnya.
”Saya tidak melihat status sebagai penjawat awam dan juga sebagai suami dan bapa sebagai sesuatu beban yang menghalang saya tetapi saya menganggap ianya sebagai satu pemangkin semangat untuk saya menyusun aktiviti harian dengan lebih sistematik,” katanya.
Mohd Shah Rizal berkata beliau menumpukan kepada aktiviti pembelajaran dan penyelidikan pada waktu siang (jam 8 pagi hingga 5 petang) manakala pada waktu malamnya pula digunakan untuk memantau pelajaran anak-anak dan hal ehwal rumahtangga.
”Saya membahagikan masa dengan cermat dan sistematik bagi membolehkan tumpuan yang sewajarnya diberikan kepada kedua-dua bidang tanpa mengabaikan matlamat utama.
Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan pula, Mohd Shah Rizal berkata beliau akan terus berkhidmat dengan TLDM hingga mencapai usia persaraan wajib di samping menjadi motivator terbaik kepada pasukan dan keluarga yang dicintainya.
”Saya akan terus berkhidmat dengan TLDM hingga bersara wajib di samping akan terus menyumbang bakti sebagai jurutera profesional dan juga sebagai motivator kepada rakan-rakan setugas, keluarga dan masyarakat sekitar untuk terus berusaha bagi memajukan diri sendiri.
”Nasihat saya kepada mana-mana individu yang telah berkeluarga agar tidak menjadikan status diri sebagai penghalang malah perlu melihat itu sebagai satu motivasi yang dapat memajukan diri kita kelak,” katanya.