November 22, 2024

Search
Close this search box.

Inspirasi Dr. ‘Adila Zakaria: Mujahadah Suri Rumah ke Suri Ummah

Perjalanan menempuh pengajian PhD bagi setiap individu adalah unik, namun, kisah Dr. ‘Adila Zakaria ini sungguh luar biasa. 

Beliau yang merupakan salah seorang staf akademik fleksibel di Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) rela meninggalkan peranannya sebagai arkitek untuk menjadi suri rumah selama 9 tahun bagi menyokong kerjaya suaminya di United Kingdom (UK), menjalani pengajian PhD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) secara penyeliaan jarak jauh. 

“Perjalanan ini penuh cabaran, kadang kala rasa diri ini tidak mampu bertahan. Bayangkanlah selepas empat hari mendaftar PhD, saya dikejutkan dengan berita pemergian ayah tersayang. Kehilangan ini diubati dengan berita kehamilan saya yang kedua, namun diuji pula dengan hypermesis gravidarum yang teruk.

Tidak lama kemudian, di semester berikutnya, beliau melahirkan anaknya di UK, melalui proses bersalin dan berpantang sendirian di tanah asing yang jauh dari keluarga.

Pengajian tahun pertama diwarnai dengan kesulitan untuk memahami kajian yang mendalam, namun, semangatnya tidak sama sekali luntur. 

Di tahun kedua pengajian, pandemik COVID-19 menambahkan kekusutan, menghambat pengumpulan data kajiannya yang berkait rapat dengan rekabentuk hospital. Namun, beliau tetap gigih mengumpulkan data dengan bantuan pelbagai pihak.

Tahun ketiga pengajian menjadi antara tempoh getir yang terpaksa dihadapi apabila diuji dengan perhubungan jarak jauh setelah visa tamat tempoh. Dr. ‘Adila pulang ke Malaysia bersama anak-anak sementara suaminya pula tinggal di UK. 

Anak-anak mengalami kesukaran menyesuaikan diri, sehingga menyebabkan anak sulungnya itu diserang anxiety dan separation trauma, menyebabkan fokusnya terbahagi antara keluarga dan pengajian. 

Onak dan duri paling berliku dihadapi sewaktu semester terakhir, tatkala rumah tangganya dilanda badai dan beliau mengalami kemurungan berat, Major Depression Disorder (MDD). 

Dalam pada menghadapi ujian yang tidak pernah diduga, beliau tetap tidak mengalah. Berpeluang membentangkan kajian tentang rekabentuk hospital Islamik di hadapan Lembaga Pengarah Hospital Islam Kuala Lumpur dan dijemput berkongsi pengalaman di UK dalam rancangan Nona TV3 merupakan antara kenangan manis yang memeriahkan lagi perjalanan hidupnya.

Jemputan Rancangan Nona TV3 Slot ‘Sana Sini Nona’, September 2021

“Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang sentiasa memberikan dorongan, Dr. Norliza Mohd Isa selaku Penyelia yang tanpa jemu memberikan motivasi dan bantuan, ditambah sokongan rakan-rakan, saya akhirnya berjaya menyelesaikan penulisan tesis dalam tempoh 3 tahun walaupun menghadapi kesulitan perjalanan hidup yang luar biasa.

Dalam merancang masa depan, beliau mempunyai hasrat untuk “terbang lebih tinggi”. Keazamannya untuk merealisasikan impian ini bukan sekadar untuk dirinya sendiri, tetapi juga sebagai inspirasi untuk anak-anaknya. 

“Adalah menjadi hasrat saya untuk berkongsi ilmunya dan berbakti kepada anak bangsa. Saya percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada pembangunan masyarakat, dan saya ingin memberi sumbangan dalam memupuk kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan generasi muda. Menjadi harapan saya juga agar generasi muda terus menghormati dan mengutamakan ilmu.

Majlis Konvokesyen ke-67 UTM menjadi bukti kejayaannya dan lebih manis lagi, beliau dan ibu saudaranya, Dr. Haidaliza Masram, kini pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal bergraduasi dalam sesi yang sama. 

Dr ‘Adila Zakaria (kiri) bersama ibu saudaranya, Dr. Haidaliza Masram (kanan)

Kisahnya adalah sumber inspirasi bahawa dengan semangat yang kuat, ketekunan dan tawakkal pada Allah, pasti kita dapat mengatasi segala rintangan, membawa kebahagiaan yang sangat bermakna setelah dilanda badai. 

Dengan doa dan sokongan dari masyarakat, beliau bercita-cita untuk menjadi “suri ummah” yang berjaya, memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara.

Dr ‘Adila bersama ahli keluarga tercinta

Explore More