Disember 22, 2024

Graduan harus berdaya saing dan cemerlang sepanjang hayat – Tan Sri Salleh

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – “Graduan harus berdaya saing dan cemerlang sepanjang hayat selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.” Demikian menurut Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor sewaktu berucap dalam istiadat Majlis Konvokesyen UTM kali ke-67 di sini, hari ini.

Graduan UTM pada dasarnya telah dibentuk secara holistik, bukan sekadar mengikuti pengajian akademik sebaliknya menjalani pelbagai aktiviti dan kemahiran insani sepanjang berada di institusi ini.

Pengijzazahan ini menjadi satu titik tolak kepada graduan untuk menggunakan kemahiran dan ilmu yang ada untuk bersaing dalam kehidupan sebenar dan dunia pekerjaan menempa pelbagai kejayaan.

Meskipun dewasa ini pasaran kerja menajdi semakin mencabar, namun pelajar disaran untuk terus kekal positif dalam mendapatkan kerjaya yang diidam-idamkan.

“Saya nasihatkan supaya bersabar, sentiasa berfikiran positif kerana peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelulusan sains dan teknologi ini tidak sukar dengan terlaksananya pelbagai inisiatif reformasi Kerajaan,” kata beliau.

Untuk rekod, UTM sememangnya menerajui kadar Kebolehpasaran Graduan Berkemahiran Tinggi dan Berpendapatan Premium yang menjadikan Universiti ini antara Universiti mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan paling tinggi sebanyak 99% bagi tahun 2022.

Sementara itu, keupayaan berdaya saing ini memerlukan graduan berminda keusahawanan (entrepreneurial) tanpa terlalu bergantung dengan inisiatif Kerajaan.

“Saudara dan saudari mesti berminda entrepreneurial dan mencipta peluang pekerjaan berasaskan kepada kemahiran, kebolehan dan kepakaran.”

Menceburkan diri dalam dunia keusahawanan memerlukan graduan berani mengambil risiko dan melakukan sendiri perkara-perkara yang boleh memajukan perniagaan dan melipatgandakan keuntungan.

“Saya galakkan anda semua berusaha mencuba menjalankan perniagaan sendiri “no matter how small for a start”. Jangan malu dan jangan segan!”

Tan Sri Salleh yang bakal menamatkan tempoh lantikan sebagai Pro-Canselor UTM tahun ini setelah bersama institut selama 10 tahun tahun turut menyentuh kesedaran terhadap kepentingan perubahan iklim dunia yang turut memberi kesan kepada negara.

UTM sendiri menurutnya telah melancarkan inisiatif melalui Pelan Perdana Kelestarian UTM 2030 dan mewartakan Polisi Pelestarian Kampus.

“Perubahan iklim juga akan ada kesan yang serius terhadap penghasilan bunga pokok-pokok termasuk pokok-pokok buah-buahan dan tanaman pertanian. Jika berlaku ia akan memberi kesan yang serius terhadap ekonomi Negara yang bergantung banyak kepada pertanian.

“Saya harap semua warga UTM akan mengambil isu kelestarian ini dengan serius,” ujarnya.

Explore More