November 5, 2024

Search
Close this search box.

UTMSPACE-JDT FC realisasikan hasrat kerjasama pembangunan pendidikan pemain

JOHOR BAHRU, 15 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTMSPACE bersama Johor Darul Ta’zim Football Club Sdn. Bhd. (JDT FC) merealisasikan hasrat bagi merintis kerjasama dalam pembangunan pendidikan pemain.

Perealisasian hasrat ini dilakukan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak yang berlangsung pagi tadi.

Pemeteraian ini merintis peluang bagi institusi pendidikan tinggi, khususnya UTM, dalam menjalin usaha sama bersama industri sukan negara dalam meningkatkan taraf pendidikan ahli sukan tanahair.

Majlis pemeteraian MoU ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Profesor Ts Dr. Nazri Ali dan Pemangku Pengurus Besar JDT FC, Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan,  dengan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif JDT FC, Encik Alistair Edwards, Pengurus Pembangunan JDT, Encik Sukumaran a/l Kunjappan, dan Ketua Projek Pembangunan Program, Dr. Lily Suriani Mohd Arif.

Sesi menandatangani MoU oleh kedua-dua pihak.

Pembangunan Program Akademik Baharu Diploma Sukan dan Kecergasan yang dipertanggungjawabkan kepada Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) bertujuan untuk menyediakan laluan akademik melanjutkan pengajian dalam bidang sukan dan kecergasan kepada masyarakat, khususnya pemain sukan.

Menurut Prof. Nazri, Program Diploma Sukan dan Kecergasan yang dibangunkan ini merupakan manifestasi kepada hasrat yang disuarakan oleh pihak pengurusan JDT FC yang amat prihatin kepada masa depan dan hala tuju para pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademik JDT.

Prof. Nazri sewaktu berucap dalam majlis berkenaan.

“Seramai 27 orang pelatih yang berusia 18 tahun ke atas dijangka bakal mendaftar sebagai pelajar UTM bagi mengikuti program ini secara sepenuh masa,” katanya.

“Program ini memberi peluang kepada pelatih Akademi JDT untuk melanjutkan pelajaran dan pada masa yang sama dapat meneruskan impian mereka untuk bergelar jurulatih atau atlet sukan profesional, ” tambahnya.

Sementara itu, Dato’ Haji Salehuddin berkata “Program kerjasama ini menjadikan JDT sebagai pasukan bola sepak pertama yang bekerjasama dengan universiti bagi menjalankan program pengajian sepenuh masa yang disertai pemain bola sepak sepenuhnya.”

“Semoga pihak UTM akan terus mendapat lebih perhatian daripada pihak Kerajaan dan pihak luar atas inisiatif Perjanjian Persefahaman ini dan akan sentiasa menjadi pilihan utama para bakal Mahasiswa dan Mahasiswi dengan adanya pemain JDT bersama-sama pelajar,” katanya lagi.

Dato’ Haji Salehuddin meletakkan harapan yang besar kepada program ini.

Tempoh pengajian bagi program ini selama dua setengah tahun dengan syarat kemasukan 3 kredit termasuklah mata pelajaran Bahasa Melayu, memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon. Pengakreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kredit (APEL.C) turut digunakan dalam memberi peluang dan manfaat kepada pelajar yang terlibat secara langsung dalam bidang sukan, seperti pelatih di Akademik JDT.

Menerusi APEL.C, proses penilaian pembelajaran berdasarkan pengalaman terkumpul melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi sepanjang berada di Akademik JDT digunakan untuk pemindahan kredit bagi kursus tertentu dalam Program Diploma Sukan dan Kecergasan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah pengurusan tertinggi JDT FC dan UTMSPACE.

Explore More