Disember 19, 2024

UTM, Kamarizs Medicare bangunkan dwiformulasi tingkat penyerapan CoQ10

JOHOR BAHRU, 10 Okt. – Jalinan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia dengan pihak industri dalam membangunkan formulasi dan teknologi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat bukanlah perkara baharu.

Hal ini dibuktikan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) dengan pihak Kamarizs Medicare Sdn. Bhd. dalam menghasilkan formulasi meningkatkan kecekapan penyerapan koenzim Q10 (CoQ10).

Projek kerjasama ini dimeterai secara rasmi melalui memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM 100,000.00 antara UTM dengan Kamarizs Medicare Sdn. Bhd. hari ini di UTM Johor Bahru.

Majlis penandatanganan MoA disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias bersama dengan Pengarah Kamarizs Medicare Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Dr. Zahir Husain Kamari.

Dato’ Dr. Zahir (kiri) dan Prof. Dr Rosli (kanan) sewaktu menandatangani MoA pagi tadi.

Menurut Prof. Rosli, jalinan kerjasama ini adalah salah satu inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan institusi pendidikan dengan industri dan memantapkan budaya penyelidikan dalam pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

“UTM menjadi aspirasi negara sebagai sebuah universiti yang membangunkan teknologi watan dan memberi sumbangan melalui bidang penyelidikan berimpak tinggi bagi membina kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negara,” kata Prof. Rosli.

Melalui kolaborasi ini, penghasilan produk ini oleh Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) yang diketuai oleh Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas, merupakan gabungan formulasi penghantaran utama, “Dual-Lipid Delivery System with Triplex Antioxidants Formulation” dan “Molecular Encapsulation for Water Soluble Formulation” yang menjadikannya teknologi watan pertama yang dibangunkan seumpamanya di Malaysia.

Dr Nor Hasmaliana selaku ketua projek pembangunan formulasi penyerapan CoQ10 UTM.

Dua formulasi ini akan dapat meningkatkan daya penyerapan CoQ10 seterusnya mengoptimumkan penggunaan CoQ10 dalam tubuh.

Sementara itu, projek pembangunan suplemen CoQ10 ini memberi penekanan kepada formulasi semula jadi dan bebas bahan kimia berbahaya serta mengutamakan konsep halalan toyyiban dalam penghasilannya.

Turut hadir dalam upacara ini adalah wakil-wakil dari UTM termasuk Pengarah IBD, Profesor Dr. Hesham Ali El-Enshasy, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT), Prof. Ir. Dr. Rahmat Mohsin, Prof. Dr. Mat Uzir Wahid dan wakil-wakil dari IBD dan fakulti.

Explore More