Disember 22, 2024

UTM bersama Institut Sukan Negara meterai MoA simbolik penubuhan Pusat Satelit ISN

 

JOHOR BAHRU, 12 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Institut Sukan Negara (ISN) hari ini sebagai simbolik penubuhan Pusat Satelit ISN di UTM.

Perjanjian ini ditandatangani oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Pengarah Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn) yang mewakili Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bersama YBrs. Ahmad Faedzal, Ketua Pegawai Eksekutif ISN sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga ISN, YBhg Datuk Marina Chin, YBrs. Pn. Chiang Su Ping, Pengarah Bahagian Strategik dan Pengkomersialan ISN dan YBrs. Ts. Dr. Hadafi Fitri, Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC).

ISN adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan mandat untuk memimpin dan meningkatkan pembangunan sains sukan, perubatan sukan, dan teknologi sukan negara, dengan tujuan menjadikan perkembangan ini lebih efektif dan berkekalan, serta meningkatkan ekosistem sukan negara.

Menyedari permintaan yang semakin meningkat terhadap kepakaran dalam sains sukan, perubatan sukan, dan teknologi sukan di seluruh negara, ISN berpegang kepada pendekatan “keseluruhan negara” sebagai keperluan untuk memajukan disiplin ini.

Dalam konteks ini, ISN telah memperkenalkan program pengiktirafan Pusat Satelit ISN melalui perjanjian dengan organisasi yang layak.

Selain UTM, dua institusi pendidikan tinggi lain iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga telah diiktiraf sebagai Pusat Satelit ISN. Langkah ini bertujuan untuk merealisasikan aspirasi dan objektif dalam memperkukuhkan kerjasama serta memperluaskan kepakaran dan perkhidmatan dalam bidang sains sukan, perubatan sukan, dan teknologi sukan, termasuk inovasi, penyelidikan, pengkomersialan, serta pendidikan berkaitan sukan di semua peringkat.

Explore More