Disember 27, 2024

Menginovasi penyelesaian demi keselamatan pemain dan peminat sukan

Konsep keselamatan merujuk kepada langkah-langkah yang dilaksanakan oleh individu atau kumpulan untuk mengelakkan kemudaratan seperti kemalangan, kematian atau kecederaan. Aspek keselamatan amatlah penting semasa bersukan. Ini bagi menjamin kejayaan sesuatu aktiviti sukan tersebut. Jika aspek keselamatan tidak dititikberatkan, kemalangan dan kecederaan boleh berlaku.

Dengan adanya aspek-aspek keselamatan perkara sedemikian boleh dielakkan. Sebagai contoh aspek keselamatan yang perlu diamalkan oleh pemain semasa bersukan adalah pemain mestilah melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti dan diakhiri dengan aktiviti menyejukkan badan. Dengan melakukan perkara sedemikian seseorang itu boleh mengelakkan daripada kekejangan otot dan mengurangkan risiko kecederaan. Pengurangan asid laktik selepas bersukan amat penting agar kita lebih produktif. Oleh yang demikian, langkah-langkah awal bagi mencegah tidak diamalkan ia akan menimbulkan keadaan yang membahayakan kepada pemain sukan.

Penglibatan dalam sukan mempunyai banyak aspek positif terhadap kehidupan seseorang. Namun, seseorang itu harus mengetahui dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan diri dari mengalami kemalangan semasa melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang diminati. Antara penyelesaian yang boleh dititikberatkan oleh pemain untuk menjaga keselamatan ketika bersukan adalah dari segi pakaian. Sebagai contoh atlet pelari memerlukan pakaian yang sesuai dengan keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya musim panas.  Hal ini kerana pakaian sukan harus selesa, sesuai dengan saiz tubuh badan dan membenarkan penyejatan peluh berlaku. Pakaian yang dibuat daripada kapas adalah yang paling sesuai digunakan dalam cuaca negara kita kerana baju seperti itu akan membenarkan peluh diserap dan disejatkan. Hal ini dapat mengelakkan peningkatan suhu badan atlet. Sekiranya pemain memakai pakaian yang terlalu ketat akan menjerutkan peredaran darah dan akan membawa kesan yang buruk kepada atlet tersebut.

Atlet memakai pakaian yang mempunyai teknologi “Coolswitch” yang mampu mengeluarkan haba dari kulit dengan cepat.

Selain itu, peralatan yang selamat digunakan oleh pemain juga merupakan penyelesaian bagi isu keselamatan pemain ketika bersukan. Hal ini dikatakan demikian kerana peralatan mestilah sesuai dengan umur, ketinggian dan keupayaan fizikal individu itu bukan sahaja dapat membolehkan individu itu menikmati aktiviti sukan yang diceburi malah dapat mengurangkan risiko kecederaan. Sebagai contoh peralatan sukan seperti kayu hoki, kasut bola, raket tenis yang dibuat khas mengikut saiz badan dan keupayaan fizikal harus digunakan pelbagai golongan terutamanya oleh kanak-kanak dan remaja. Selain itu, peralatan perlu sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan. Alatan yang tidak berkualiti mudah pecah dan boleh membahayakan seseorang individu. Di samping itu, semua pemain harus memakai peralatan keselamatan semasa bersukan  terutama sukan yang memerlukan ciri keselamatan yang tinggi seperti sukan hoki. Peralatan keselamatan yang diperlukan dalam sukan hoki seperti shin pad, abdominal guard, mouth guard, helmet dan sarung tangan yang dapat melindungi mereka daripada mengalami kecederaan.

 

Pemain hoki yang lengkap dengan peralatan keselematan dalam sukan hoki.  (Sumber: Google)

Penyelesaian bagi isu keselamatan diteruskan dengan keselamatan penonton. Penonton atau penyokong merupakan pencetus kemeriahan dan suasana gempita di dalam satu perlawanan dan suasana tersebut tidak akan wujud tanpa kehadiran mereka. Namun, kemeriahan dan kehangatan dalam sesuatu perlawanan tersebut perlu diselia dan dipantau dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku terutamannya penonton apatah lagi kanak-kanak. Beberapa tahun kebelakangan ini kita telah menyaksikan kejadian-kejadian yang telah mengakibatkan kecederaan penonton, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa semasa perlawanan bola sepak di dalam fasiliti stadium.

Oleh yang demikian, satu langkah khas atau kebiasaan kita dengar iaitu Standard Operation Procedure (SOP) adalah sangat penting bagi memastikan keselamatan penonton sentiasa terjamin. Antara langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah isu keselamatan peminat sukan yang juga penonton ini adalah dengan memperketatkan tahap kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk utama bagi mengekang kemasukan bahan-bahan terlarang seperti mercun, laser pointer dan senjata ke dalam fasiliti stadium.

Alat-alat pengesan yang canggih perlu digunakan seperti metal detector ataupun meletakkan anjing pengesan khas bagi mengesan bahan terlarang yang ingin dibawa masuk oleh penonton. Hal ini demikian kerana, SOP yang biasa digunakan seperti dengan hanya memeriksa beg yang dibawa penonton adalah tidak dijamin keselamatannya kerana terdapat sesetengah penonton yang sanggup membawa barang terlarang dengan menyembunyikannya di dalam pakaian mereka agar tidak dapat dikesan oleh pihak keselamatan.

Seterusnya, pihak penganjur haruslah menyediakan pelan pengosongan bangunan (building evacuation plan) untuk fasiliti stadium dengan jelas sebagai persediaan semasa kecemasan berlaku. Tidak hanya dengan itu, pihak stadium boleh mewujudkan pintu khas keluar yang sangat besar dengan anggaran mampu memuatkan separuh jumlah penonton untuk keluar sekali gus. Hal ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti penonton bersesak-sesak untuk keluar sehingga ada yang terjatuh lalu dipijak oleh penonton lain akibat laluan keluar yang kecil. Perkara ini mampu mendatangkan kecederaan yang serius sehingga mengorbankan nyawa penonton. Justeru itu, pembinaan pintu khas ini perlu diambil serius oleh pihak penganjur bagi memastikan keselamtan penonton sentiasa terjamin.

Penonton lari masuk ke dalam padang semasa rusuhan berlaku (Sumber: Astro Awani)

Selain itu, kita juga sering kali mendengar fasiliti sukan yang rosak sehingga membahayakan pengguna semasa bersukan seperti tiang gol menghempap pemain, bumbung stadium runtuh, baju kalis peluru tembus semasa latihan menembak dan lain-lain lagi. Semua ini melibatkan pengurusan risiko keselamatan semasa bersukan. Warga sukan kini perlu didedahkan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHE) dalam *fasiliti* sukan bagi menjamin keselamatan semua pihak. Pengurusan OSHE menitikberatkan SOP, Job Hazard Analysis (JHA), Hazard Identification, Risk Assessment & Risk Control (Hirarc Form), Ergonomik Pekerjaan dalam mengenal pasti risiko yang bakal berlaku. Tindakan awal ini dapat menyelamatkan nyawa seseorang, adalah tidak berbaloi kehilangan nyawa ketika bersukan.

(Sumber asal: Buletin TV3)

Kesimpulannya, pengurusan risiko dan keselamatan ialah perkara yang sangat penting dalam memastikan sekumpulan besar orang seperti penonton sentiasa selamat di sesebuah lokasi pertandingan. Perkataan selamat juga amat penting kepada atlet. Atlet juga perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana kita tidak dapat menjangka bencana ataupun situasi berbahaya boleh berlaku. Oleh itu, pelan pengurusan risiko dan keselamatan yang sistematik dan lengkap seperti penggunaan teknologi harus ada bagi persediaan awal mencegah perkara buruk yang akan terjadi bak kata pepatah melayu, “ Sediakan payung sebelum hujan”.

 

Oleh Mohamad Mustaqim Mohd Samadi, Muhammad Afif Syazani Hairol & Dr. Hadafi Fitri bin Mohd Latip

Explore More