November 5, 2024

Search
Close this search box.

Pembangunan bakat kepimpinan di Universiti Teknologi Malaysia

Beberapa hari lepas saya telah dijemput oleh Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Universiti (CTLD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk terlibat dalam program pembangunan bakat kepimpinan UTM, iaitu ‘Executive Onboarding Program’ Siri 1 bagi tahun 2023. Program melibatkan 30 orang peserta yang boleh dikategorikan sebagai baharu menjadi Pentadbir Akademik dan sebilangan kecil Pegawai Pengurusan UTM. Pengisian program meliputi perkongsian berkaitan kepimpinan, iaitu perkongsian pengalaman sebenar oleh mereka yang pernah melalui pengalaman sebagai pemimpin akademik, dan kajian kes yang direka bentuk berdasarkan isu sebenar dan perlu diselesaikan oleh pentadbir akademik berkaitan governan, kewangan dan pengurusan hal ehwal akademik.

Aspek kemanusiaan dalam pembangunan kepimpinan staf akademik

Sepuluh tahun lalu, pada hujung tahun 2013, UTM telah mewujudkan satu unit dikenali sebagai UTMLead. Antara tujuannya adalah untuk membangunkan aspek kepimpinan para staf akademik. Pembangunan kemahiran berkaitan pengajaran, penyeliaan dan tugas-tugas khusus seorang ahli akademik telah lama wujud dan dikendalikan oleh Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (CTL).

Namun daripada pemerhatian, saya berpandangan bahawa bagi ahli akademik, kemahiran teknikal berkaitan pengajaran, penyelidikan, penyeliaan dan sebagainya perlu diseimbangkan dengan kemahiran dalam aspek kemanusiaan, kepimpinan dan pengurusan. Seorang ahli akademik mempunyai peranan besar dalam membentuk aspek kemanusiaan seseorang pelajar. Kita bukan sekadar membina bakat yang mempunyai ilmu mendalam dan kemahiran yang tinggi dalam bidang profesional, tetapi turut bertanggungjawab untuk memperkukuh aspek nilai, jati diri dan visi kehidupan.

UTM sememangnya mempunyai unit khusus bagi pembangunan staf meliputi staf akademik dan bukan akademik. Saya sendiri pernah menyertai program pembangunan berkaitan pengurusan dan kepimpinan. Namun, cabaran menguruskan pembangunan staf akademik agak unik dan sering tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Sebenarnya, sewaktu idea menubuhkan UTMLead, saya lebih menumpukan kepada aspek pembangunan dan penyediaan bakat-bakat kepimpinan yang berupaya untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin di semua peringkat sama ada di peringkat unit, fakulti, universiti mahupun ke peringkat yang lebih tinggi.

Melihat kepada diri saya sendiri yang pernah diamanahkan untuk menerajui UTM sebagai Naib Canselor, dan sebelumnya sebagai Timbalan Dekan di fakulti, serta Pengarah Kerja, Pejabat Harta Bina, dan juga Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) tanpa melalui proses pembangunan kepimpinan yang tersusun. Banyak proses pembelajaran diperoleh adalah melalui pemerhatian dan pengalaman. Saya beruntung kerana fakulti saya melahirkan ramai pemimpin akademik yang hebat.

 

Penulis (kiri), bersama Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai, Prof Emeritus Dato Dr Ahmad Darus dan Prof Dr Salleh Abu yang turut menjayakan “Executive Onboarding Program”

 

Program kepimpinan berstruktur dan tersusun

Jika diamati, sekiranya ilmu kepimpinan dan pengurusan diterapkan melalui program yang lebih formal dan tersusun, saya yakin banyak cabaran yang dihadapi boleh diatasi dengan lebih teratur dan mungkin juga organisasi berada lebih jauh di hadapan.

Tidak boleh dinafikan, sememangnya mereka yang dilantik berkeupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. UTM sangat beruntung kerana mereka yang diberi tanggungjawab menerajui unit, fakulti malah peringkat tertinggi menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh dan menggunakan segala kepakaran yang ada. Tidak mungkin UTM berada pada tahap sekarang sekiranya barisan pemimpin tidak berkualiti, walaupun realitinya ilmu dan kemahiran kepimpinan agak terhad.

Namun, sikap berpuas hati tidak akan membawa kita lebih jauh ke hadapan. Tidak dapat disangkal, realitinya ada kes tertentu dalam kalangan pentadbir akademik menghadapi cabaran besar disebabkan aspek kepimpinan yang tidak mantap dan kelemahan dalam aspek kemahiran pengurusan. Keadaan ini menjadi suatu risiko kepada institusi.

 

Antara pentadbir akademik dałam kategori  lantikan baharu  yang terlibat dalam program ‘Executive Onboarding Program’ Siri 1 2023

 

Memimpin dalam kalangan rakan akademik

Kepimpinan institusi pengajian tinggi mempunyai elemen keunikan tersendiri. Satu keunikan paling mencabar ialah kita memimpin dalam kalangan rakan akademik (leading among academic peers) dan memerlukan pendekatan ‘collegiality’. Ini tidak mudah dilakukan. Selain itu, jawatan akademik digilirkan dan ada dalam kalangan mereka yang kita pimpin adalah berstatus lebih ‘kanan’ daripada kita. Ini memerlukan kemahiran kepimpinan aras tinggi yang unik juga.

Secara keseluruhannya, pengurusan dan governan Universiti sangat rencam dan kompleks. Ia melibatkan kepelbagaian pemegang taruh. Ia juga berdepan dengan cabaran yang sentiasa berubah sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Universiti perlu sentiasa ‘agile’ dan ‘resilient’ dan mampu berubah dengan pantas.

Kemahiran khusus meliputi aspek pengurusan akademik dan pelajar, pengurusan berkaitan kewangan, penyelidikan, governan keseluruhan unit dan universiti sangat diperlukan. Apa lagi kemahiran menguruskan manusia (people skills). Banyak lagi aspek kemahiran khusus, seperti hubungan dengan industri, pengantarabangsaan yang tidak boleh ditulis semuanya di sini.  Saya berpandangan adalah tidak adil kepada mereka yang dilantik menerajui Fakutil/PTJ tanpa dibantu membuat persediaan sewajarnya.

Sepanjang sedekad wujudnya UTMLead, dengan segala kekurangan dan cabaran, mereka telah melaksanakan pelbagai program pembangunan kepimpinan dan antaranya program meliputi pembangunan kepimpinan bakat ahli akademik muda.

 

Penulis menyampaikan sesi perkongsian pengalaman dan perjalanan beliau sebagai pemimpin.

Integrasi pembangunan bakat kepimpinan staf Akademik dan staf Pengurusan, Profesional dan Pelaksana (PPP)

Kini, UTM pergi lebih jauh dengan menggerakkan transformasi pengurusan sumber manusia (people governance) dan Jabatan Pendaftar mengambil alih pembangunan kepimpinan staf akademik. Justeru, diwujudkan satu entiti diberi nama Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (Center for Talent and Leadership Development atau CTLD). Ini dilihat lebih holistik kerana keseluruhan pembangunan bakat kepimpinan staf sama ada ahli akademik atau pengurusan, profesional dan pelaksana (PPP) kini di bawah tanggungjawab Jabatan Pendaftar. Integrasi ini sangat baik kerana staf akademik dan PPP akan seiringan dan bergandingan membina kemahiran kepimpinan dan pengurusan demi kecemerlangan organisasi.

Satu lagi keunikan UTM ialah berupaya menggali dan memanfaatkan pengalaman ‘orang lama’ seperti saya dan ramai rakan lain yang telah bersara bagi memberi sokongan idea dan tenaga memperkasakan program pembangunan kepimpinan ini. Saya sedar cabaran dahulu dan sekarang sangat berbeza. Namun sedikit sebanyak pengalaman ‘otai’ ini mungkin berguna untuk dikongsi dengan pemimpin akademik yang kini sedang menerajui UTM. Paling kurang belajar daripada ‘kelemahan dan kesilapan kami’.

Bagi saya, formula mudah untuk membentuk organisasi cemerlang adalah dengan memberikan fokus kepada pembangunan manusia yang mendukung organisasi. Saya percaya kepada kata-kata, “If we take care of our people, surely they will take care of the organisation”. Insya-Allah.

Penulis merupakan Profesor Amal Bakti di bawah Jabatan Pendaftar dan mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia ke-6 (2013-2020).

Explore More