November 26, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi penyelesaian dalam konteks aktiviti rekreasi sukan luar di Malaysia

Sejak sedekad yang lalu, sukan rekreasi luar telah menjadi suatu tarikan utama kepada penggiat sukan dan individu yang aktif dalam aktiviti-aktiviti lasak terutamanya di negara Malaysia. Sukan ini mendapat sambutan yang baik dari semua golongan masyarakat termasuklah dari segi usia, pangkat, jantina, bangsa dan agama.

Hal ini di katakan demikian kerana sukan rekreasi luar tidak terhad kepada satu jenis aktiviti sahaja di mana ia meliputi sukan-sukan luar yang melibatkan alam semula jadi dan berkaitan dengan kehidupan seharian manusia.

Mengikut Ford (1981), rekreasi ialah program yang meliputi penggunaan persekitaran semula jadi bagi tujuan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran kurikulum yang sedia ada. Ini merangkumi perkembangan pengetahuan, kemahiran dan sikap khususnya penggunaan masa senggang. Sukan rekreasi secara umumnya terbahagi kepada empat jenis, iaitu tahap aktif, tahap pasif, sukan luar bilik (outdoor) dan sukan dalam bilik (indoor).

Contoh sukan rekreasi luar ialah perkhemahan, mendaki gunung, rock climbing, scuba diving, abseiling dan jungle tracking. Pengurusan sukan rekreasi luar pula merangkumi kursus asas sukan luar, panduan am pelaksanaan aktiviti sukan rekreasi luar, protokol khusus mengikut kategori sukan dan alatan kelengkapan sukan-sukan tersebut.

Di Malaysia, pengurusan sukan rekreasi luar sangat ketat dan perlu menepati prosedur operasi standard yang betul. Kementerian Belia dan Sukan memantau sebarang aktiviti rekreasi luar di Malaysia kerana KBS sahaja yang boleh mengeluarkan sijil jurulatih rekreasi luar.

Peralatan yang lengkap dan pengurusan yang mantap  dapat kita lihat terutamanya di Asia Camp. Hal ini kerana di Asia Camp, mereka memiliki kelengkapan outdoor seperti obstacle run, water rafting, water confident, campfire, obstacle race dan survival cooking yang baik.

Pengurusan sukan rekreasi luar yang di anjurkan juga sangat menjamin keselamatan kerana mereka mempunyai modul team building yang lengkap dan di setiap stesen mempunyai staf yang cukup dan berpengalaman.

Manakala di Johor pula, pengurusan sukan rekreasi luar yang baik dan lengkap dapat kita lihat di X Park Sunway Iskandar, Iskandar Puteri. Antara aktiviti yang ditawarkan ialah glamping, go kart, atv, extreme park dan banyak lagi.

Segala peralatan dan kemudahan di jaga dengan sangat rapi di mana dapat kita lihat bahawa setiap peralatan dan aktiviti mempunyai ciri keselamatan, peralatan yang lengkap dan terjamin. Mereka juga mempunyai staf-staf yang terlatih dan berpengetahuan tinggi dalam bidang rekreasi sukan luar serta berpengalaman luas dalam aktiviti lasak.

Aktiviti sukan rekreasi luar kini menjadi tumpuan utama bagi aktiviti percutian dan family day, maka dengan itu Universiti Teknologi Malaysia juga turut menyediakan pelbagai  kemudahan rekreasi sukan luar yang baik seperti Hutan Rekreasi, Balai Cerap, Tasik UTM, Obstacle Run, Gelanggang Paintball dan banyak lagi.

Selain itu, UTM juga menawarkan Kos Program Pendidikan serta Sains Sukan di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang mana program ini menawarkan graduan yang berkelayakan dari semua aspek sains sukan termasuklah aktiviti rekreasi sukan luar.

Justeru itu, graduan sains sukan ini diberi pendedahan yang menyeluruh dari segi pengurusan, peralatan, keselamatan dan kemahiran asas dalam semua aspek termasuklah aspek rekreasi sukan luar.

Oleh itu, kemudahan yang baik ini sangat penting bagi proses pembelajaran dan pendedahan kepada pelajar dalam mengendalikan aktiviti dan program sukan rekreasi luar.

Tambahan, kemudahan sukan rekreasi luar ini bukan sahaja memberikan kelebihan kepada pelajar sains sukan, malah dapat memberikan manfaat kepada pelajar lain dan orang awam dalam menjalani aktiviti sukan luar di UTM. Ia adalah salah satu tempat strategik untuk mencari kedamaian dan ketenangan dalam UTM.

Fasiliti Sukan Rekreasi Luar ini dapat memberi ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk manfaatkan keindahan alam semula jadi. Selain itu, kemudahan sukan rekreasi luar ini juga dapat memberikan tarikan kepada orang luar untuk datang ke Universiti Teknologi Malaysia sekaligus menjana pendapatan universiti serta menjadi tarikan utama kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang ingin menyambung pelajaran ke universiti awam seperti UTM SKUDAI.

Jika kita menelusuri dengan lebih mendalam banyak manfaat yang dapat diperolehi bukan sahaja bagi individu yang bergiat aktif dalam sukan rekreasi luar, malah individu yang menguruskan dan bertanggungjawab dalam pengurusan sukan rekreasi luar.

Hal ini dikatakan demikian kerana sukan rekreasi luar bukan sahaja dirancang untuk memupuk nilai gaya hidup sihat di kalangan pelajar dan malahan untuk menghayati dan mencintai alam sekitar.

Bagi pengurusan sukan rekreasi luar, peserta atau graduan yang menceburi bidang ini semestinya akan mendapat lebih manfaat seperti nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Selain itu, pelajar yang terlibat dalam aktiviti pengurusan rekreasi sukan luar juga dapat mengasah bakat kepimpinan dan daya tahan fizikal yang tinggi.

Aktiviti rekreasi sukan luar seperti modul pertolongan cemas, perkhemahan, navigasi, penjejakan, keusahawanan rekreasi sukan luar, cabaran aras tinggi serta pengurusan acara adalah aktiviti yang melatih diri untuk bijak dalam menginovasi penyelesaian masalah di zaman moden kini.

Tidak ketinggalan, aktiviti ikhtiar hidup juga dapat melatih kesabaran, kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal setiap individu. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sukan rekreasi luar semakin mendapat tempat dalam hati setiap golongan masyarakat.

Kesimpulannya, pengurusan sukan rekreasi luar sangat penting bagi menjamin keselamatan pengguna atau peserta yang menyertai aktiviti ini serta melatih nilai positif untuk dibawa dalam kehidupan. Pengurusan sukan rekreasi luar ini bukan sahaja meliputi tenaga pekerja ketika hari kejadian namun turut meliputi pengurusan peralatan dan keselamatan.

Tambahan pula, peserta yang menjalani aktiviti sukan luar ini pada kebiasaannya bukan dalam bilangan yang sedikit akan tetapi sentiasa secara berkumpulan atau berkelompok seperti rombongan pelajar sekolah, pelajar universiti, kursus-kursus korporat, jabatan, program sekolah atau kem badan beruniform ataupun kumpulan 4-5 ahli keluarga.

Oleh itu, pengurusan sukan rekreasi luar perlu dijalankan secara teliti dan sistematik bagi menjamin keselamatan pengguna dan pada masa yang sama melatih menginovasi penyelesaian masalah dalam kehidupan menggunakan aplikasi rekreasi sukan luar.

Oleh: Nursyazreen Natasha binti Jafri dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (Pengarah Sports Innovation Technology Centre UTM)

Explore More