November 22, 2024

Search
Close this search box.

Tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik: Alternatif yang baik atau sebaliknya?

Keputusan kerajaan untuk menarik subsidi elektrik pada Mei lalu dijangkakan memberikan impak besar kepada rakyat di negara ini.

Langkah ini adalah untuk menghapuskan subsidi elektrik bagi golongan T20  manakala subsidi masih dikekalkan bagi golongan M40 dan B40.

Jika benar krisis penjanaan tenaga elektrik di Malaysia yang menjadi antara salah satu sebab penarikan subsidi lantaran kerajaan tidak lagi mampu untuk menjana tenaga elektrik dengan kaedah konvensional, iaitu bahan api fosil, terdapat pilihan sumber tenaga yang lain seperti angin, matahari, air atau tenaga nuklear boleh diteroka bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik.

Sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga elektrik di Malaysia bagi menggantikan tenaga konvensional yang sedia ada, maka terdapat beberapa isu yang perlu dilihat semula.

Bagi melihat isu ini dengan lebih mendalam, satu wawancara ekslusif bersama dengan Ketua Program Kejuruteraan Nuklear , Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohsin Mohd Sies.  Berikut adalah butiran wawancara dengan beliau oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM (OSCA).

Apakah kelebihan penggunaan tenaga nuklear berbanding dengan penjanaan tenaga berasaskan bahan api fosil (minyak dan gas) sepertimana yang kita lakukan kini?

Sebelum kita bincangkan kelebihan tenaga nuklear berbanding bahan api fosil, elok kita lihat pelbagai sumber tenaga secara keseluruhan. Sebagaimana kita maklum, keburukan bahan api fosil ialah ia menghasilkan pencemaran dari segi pelepasan gas karbon dioksida yang merupakan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global.

Pun begitu, kelebihannya ialah bekalannya banyak dan ia mudah digunakan dan mudah dikendalikan. Kepadatan tenaganya juga tinggi menjadikan ia sumber tenaga yang utama untuk pengangkutan.

Atas kesedaran terhadap kesan buruk pencemaran bahan api fosil kepada iklim, tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti suria dan angin semakin digunapakai bagi menggantikan bahan api fosil. Di Malaysia, tenaga suria semakin banyak dipasang dan digunakan bagi tujuan ini.

Tenaga hidro yang juga salah satu jenis renewable energy memang telah sedia digunakan sejak dulu lagi cuma kapasiti dan bekalannya telah digunakan sepenuhnya. Tenaga angin pula kurang sesuai bagi Malaysia kerana keadaan angin yang lemah di rantau Khatulistiwa.

Bagi memastikan sekuriti tenaga untuk negara, adalah penting untuk dipelbagaikan jenis sumber tenaga. Kesemua jenis sumber samada hidrokarbon, suria, hidro, biojisim, malah nuklear juga harus digunapakai bagi saling mengimbangi kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Mungkin kita harus mengambil iktibar dari amalan negara-negara pengeluar minyak utama seperti UAE yang menggunakan tenaga nuklear walaupun ia dikurniakan dengan hasil minyak yang amat banyak. Arab Saudi juga mempunyai rancangan kukuh untuk membina 16 loji kuasa nuklear. Negara membangun seperti Bangladesh juga sedang dalam proses pembinaan loji nuklearnya yang pertama.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kelebihan utama tenaga nuklear adalah kepadatan tenaganya yang tinggi berbanding sumber tenaga lain. Kepadatan tenaganya adalah 16,000 kali jika dibandingkan dengan bahan api fosil.

Untuk perbandingan, sebuah loji janakuasa nuklear boleh beroperasi selama dua tahun dengan bekalan bahan api sekitar 200 tan sedangkan loji kuasa arang batu memerlukan bekalan bahan api 9000 tan sehari bagi kapasiti loji yang setara.

Berbanding bahan api fosil, loji nuklear tidak menghasilkan gas pencemaran seperti karbon dioksida. Inilah dorongan utama untuk menggantikan bahan api fosil dengan nuklear kerana kuasa nuklear boleh menjana kuasa secara besar-besaran dan stabil seperti bahan api fosil tetapi tanpa diiringi pencemaran.

Walaupun kuasa solar dan angin juga tidak menghasilkan pencemaran, ia tidaklah stabil dan terputus-putus kerana bergantung kepada waktu dan cuaca dan ia memerlukan kawasan yang amat luas bagi keluaran hasil yang setara.

Ladang tenaga suria memerlukan fasiliti bateri yang besar untuk memberi bekalan yang stabil, ataupun ia ditampung oleh loji kuasa gas untuk tujuan ini.

Ramai orang bercakap mengenai kos penjanaan tenaga nuklear yang lebih mahal berbanding tenaga konvensional (pembinaan loji janakuasa nuklear). Bagaimana anda melihat perkara ini?

Kos penjanaan tenaga nuklear adalah kompleks  dan perlu dilihat dari berbagai sudut. Kos utamanya adalah kos pembinaan yang boleh diistilahkan sebagai kos modal pendahuluan atau capital cost.

Ia boleh mencapai sehingga 70% kos keseluruhan hayat loji. Ini berdasarkan data dari pengalaman dan amalan negara-ngara barat seperti Amerika Syarikat dan Perancis. Bagaimanapun, Korea Selatan dan China berjaya membina loji nuklear dengan kos yang terkawal.

Kedua ialah kos operasi dan penyelenggaraan. Komponen-komponen utama kos ini ialah kos bahan api, kos penyahtauliahan (decommissioning) dan kos pelupusan sisa. Berbanding bahan api fosil, kos bahan api nuklear merupakan sebahagian kecil dari kos keseluruhan loji.

Pengendali loji nuklear juga perlu memperuntukkan dana bagi kos pelupusan sisa nuklear yang tidak boleh dilepaskan begitu saja ke sekitaran. Loji bahan api fosil pula boleh melepaskan sisa karbon dioksida ke udara yang mana kos dari kesan akibatnya ditanggung oleh masyarakat awam dalam bentuk perubahan iklim.

Apapun, secara kasarnya, rangka kerja undang-undang negara barat banyak menyumbang kepada kos yang besar dan juga kenaikan kos semasa pembinaan.

Ketika ini, banyak usaha terutama dari syarikat-syarikat kecil dan startups ke arah pengurangan kos pembinaan loji nuklear terutama dengan pendekatan rekabentuk loji bersaiz kecil seperti SMR yang bertujuan membina loji secara seragam di kilang bagi mencapai skala ekonomi, keselamatan pasif dan piawaian.

Hayat loji nuklear yang panjang sekitar 60 tahun dan ke atas pada asalnya menjadi asas membolehkan ia mengatasi kos pembinaan yang tinggi. Hayat operasi yang panjang membolehkan ia memberikan pulangan kos dan menjana keuntungan.

Bagaimanapun ia  tidak dapat bersaing dalam liberalized energy market di mana syarikat utiliti membeli bekalan elektrik dari pengeluar yang memberikan harga semasa (spot price) yang termurah berdasarkan kos pasaran yang berubah-ubah secara harian dan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Ini merupakan realiti pasaran di negara barat ketika ini.

Bagaimanapun, di negara-negara di mana utiliti dimiliki oleh kerajaan dan pasaran tenaga adalah dikawal (regulated market) seperti China, India, Korea Selatan dan UAE, masalah ini tidak timbul. Oleh itu, kerajaan perlu memberikan perlindungan kepada industri nuklear demi penjimatan jangka panjang dan perlindungan iklim.

Sesuatu dasar atau polisi itu boleh digerakkan dengan jayanya hanya jika Malaysia mempunyai sumber-sumber yang mencukupi termasuk ketersediaan (availability) tenaga kerja yang berkelayakan. Apakah sudah mencukupi tenaga kerja berkelayakan dalam bidang sains/kejuruteraan nuklear ini?

Secara amnya Malaysia belum mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri nuklear ini dan jumlah ini perlu digandakan sekiranya kerajaan memilih untuk menjana tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga nuklear.

Bagaimanapun, graduan Kejuruteraan Nuklear yang telah dilahirkan dari UTM sehingga kini adalah kumpulan bakat yang cukup besar yang boleh mula memikul impian ini. Kepakaran tinggi yang sedia ada di Agensi Nuklear Malaysia juga amat bersedia untuk memikul cabaran ini.

Program kejuruteraan nuklear di UTM setakat ini sudah pun melahirkan kira-kira 200 orang graduan peringkat Pra-Siswazah (Sarjana Muda) dan jumlah yang sedang menuntut pula seramai kira-kira 70 orang mahasiswa.

Bagi benar-benar memenuhi keperluan industri nuklear sepertimana di luar negara, Malaysia perlu mempunyai pakar yang berkelulusan Sarjana ataupun Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi membimbing dan membentuk jurutera-jurutera mahu pun Pegawai Reaktor (Reactor Officer) yang bakal membina, merekabentuk (designing) dan mengoperasikan loji nuklear di masa hadapan.

Jika kerajaan memilih untuk menggunakan tenaga nuklear ini maka tindakan konkrit perlulah diambil dalam mewujudkan kursus kejuruteraan/sains nuklear di Institusi-institusi pengajian tinggi di peringkat pra dan juga pasca siswazah.

Biasiswa dan pinjaman pengajian khas bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengambil kursus kejuruteraan nuklear ini juga boleh diwujudkan sebagai satu penggalak bagi mendapatkan penyertaan yang ramai bagi mengikuti kursus ini diperingkat yang lebih tinggi.

Peristiwa loji Chernobyl, Ukraine dan juga loji Fukushima, Jepun mencatat sejarah buruk dalam lapangan penggunaan tenaga nuklear. Jika ini berlaku sudah wujudkah langkah-langkah keselamatan bagi mengekang kemalangan nuklear yang lebih dahsyat?

Ya, soal keselamatan dan kemalangan nuklear merupakan perkara besar yang merungsingkan semua pihak. Pendekatan-pendekatan teknikal, perundangan dan sosial menjadi asas mengelak dan menangani soal keselamatan ini.

Peristiwa-peristiwa kemalangan yang besar sepert Three Mile Island pada tahun 1979, bencana Chernobyl pada tahun 1986 dan kemalangan Fukushima Daiichi pada tahun 2011, digunakan bagi memperbaiki langkah-langkah keselamatan secara menyeluruh.

Garis panduan ini dirumuskan oleh organisasi antarabangsa, badan kawal selia negara, dan kumpulan industri untuk mencegah dan mengurangkan akibat kemalangan nuklear. Berikut adalah beberapa langkah keselamatan dan garis panduan utama yang telah dilaksanakan:

Dari segi teknikal, rekabentuk reaktor nuklear meletakkan soal keselamatan sebagai objektif  utama. Pilihan bahan binaan, proses kerja dan kawalan dibuat bagi mengelak dan mengurangkan risiko kemalangan. Falsafah defense in depth menjadi pedoman dalam merekabentuk sesebuah loji nuklear.

Dalam proses rekabentuk, risiko kemalangan dan rantaian kegagalan juga diselidiki melalui proses-proses Probabilistic Risk Assessment dan Fault Tree Analysis. Ini dapat menyinari sudut-sudut yang boleh memberikan masalah supaya dapat dielak.

Kerajaan juga berperanan menggubal undang-undang bagi mengawal-selia industri tenaga nuklear dari sudut pematuhan Piawaian Rekabentuk dan Keselamatan, Proses Pelesenan dan Kelulusan, Penyelenggaraan dan Pemeriksaan Berkala. Ini bagi memastikan industri sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Kerjasama Antarabangsa terutama dengan IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) pengalaman negara-negara lain juga sememangnya sebahagian dari persediaan kita untuk menggunapakai tenaga nuklear dan ia memainkan peranan utama dalam kesediaan menghadapi situasi yang tidak diingini.

Dari aspek sosial, masyarakat perlu diberi informasi secukupnya mengenai isu keselamatan tenaga nuklear dan kempen-kempen berkala harus dibuat bagi memupuk kesedaran masyarakat. Latihan keselamatan berkala di komuniti berdekatan dengan loji nuklear juga perlu dibuat bagi meninggikan tahap kesiagaan. Kementerian-kementerian yang berkaitan juga harus diberi latihan dan persediaan materiel dan kakitangan bagi kemungkinan ini.

Di samping itu, teknologi-teknologi baru juga sedang diteroka untuk mengatasi masalah keselamatan yang dikenalpasti dari pengalaman-pengalaman sedunia. Konsep-konsep keselamatan seperti passive safety di mana bekalan kuasa dari luar tidak diperlukan untuk mengawal keadaan jika berlaku kemalangan dihidupkan dalam rekabentuk loji nuklear generasi baru seperti reaktor SMR.

Reaktor Breeder juga ada diselidiki oleh beberapa negara bagi mengurangkan jumlah sisa nuklear yang pada akhirnya dapat meningkatkan keselamatan secara keseluruhan.

Adalah penting untuk kita ketahui bahawa tiada teknologi yang sepenuhnya bebas risiko. Keselamatan nuklear ialah proses yang berterusan dan berkembang.

Industri nuklear, badan kawal selia dan organisasi antarabangsa terus bekerjasama untuk menambah baik langkah dan garis panduan keselamatan, bertujuan untuk meminimumkan risiko yang berkaitan dengan tenaga nuklear dan memastikan operasi loji nuklear yang selamat dan boleh dipercayai.

Walaupun bencana-bencana nuklear besar dan tidak hilang dari ingatan, berbagai-bagai ukuran menunjukkan yang tenaga nuklear adalah salah satu bentuk tenaga yang paling selamat digunakan.

Penjanaan tenaga nuklear ini berkait rapat dengan penggunaan reaktor. Sehingga kini terdapat beberapa teknologi reaktor yang digunakan untuk penjanaan tenaga nuklear. Dalam negara beriklim lembab dan panas seperti Malaysia, jenis reaktor manakah yang sesuai digunakan sekiranya ingin menggunakan teknologi nuklear dalam penjanaan tenaga elektrik negara?

Jenis reaktor yang digunakan bukanlah isu yang utama namun jika Malaysia memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear. Adalah disarankan supaya menggunapakai teknologi yang telah matang dan telah pun lama digunakan di negara-negara luar seperti teknologi PWR (Pressurized Water Reactor) atau BWR (Boiling Water Reactor).

Ini bagi memastikan bekalan dan kepakaran sudah tersedia dari serata dunia untuk melancarkan program ini dari segala segi.

Untuk jangka panjang pula, kita boleh melihat teknologi dan rekabentuk baru seperti SMR (Small Modular Reactor), MSR (Molten Salt Reactor), Breeder Reactor, Thorium Reactor dan juga GCR (Gas Cooled Reactor) berdasarkan pengalaman di negara-negara lain yang sedang giat meneroka dan membangunkan rekabentuk-rekabentuk baru ini.

Ini kerana teknologi-teknologi tersebut mempunyai beberapa kelebihan berbanding teknologi PWR dan BWR sedia ada.

Akhirnya, keputusan untuk mengguna pakai tenaga nuklear harus melibatkan penilaian menyeluruh tentang keperluan tenaga negara, kesan alam sekitar, pertimbangan keselamatan, kesediaan kawal selia, penerimaan awam dan matlamat kemampanan jangka panjang.

Negara yang berminat dengan tenaga nuklear sering bekerjasama rapat dengan organisasi antarabangsa dan pakar industri untuk membuat keputusan termaklum dan melaksanakan amalan terbaik.

Tenaga Nuklear merupakan pilihan tenaga terbaik yang ada bagi penjanaan tenaga di Malaysia di dalam keadaan harga bahan api fosil yang tidak menentu dan keperluan tenaga yang semakin meningkat – Gambar hiasan
Loji janakuasa nuklear yang meletup di Chernobyl, Ukraine , Kesatuan Soviet pada tahun 1986 merupakan tragedi buruk yang pernah berlaku dalam lapangan penggunaan tenaga nuklear. Peristiwa hitam ini seharusnya diambil iktibar untuk meningkatkan ilmu kejuruteraan nuklear yang lebih canggih pada masa kini dan hadapan.

Explore More