Disember 22, 2024

“Perkhidmatan berprestasi tinggi antara teras kompetensi sesebuah organisasi”- Pro-Canselor UTM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Setiap organisasi amat bergantung harap kepada warganya yang bekerja keras dan mempamerkan prestasi kerja cemerlang dalam meningkatkan imej organisasi berkenaan.

Tanpa staf yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasan, segala perancangan yang diatur tidak akan dapat dilaksanakan malah operasi tugas harian juga pasti tidak akan menjadi lancar.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor dalam ucapannya telah menggariskan empat nilai murni utama dalam menghasilkan ’output’ yang positif dalam sesebuah organisasi itu iaitu Sifat Produktif dalam Bekerja,  Kompeten dalam bekerja, Adaptasi dan Mengangkat Teknologi serta Perkhidmatan Berprestasi Tinggi (High Performance Delivery).

”Untuk menjadi produktif, kita hendaklah sentiasa bersedia dalam menambahbaik tadbir urus, mempercepat inovasi, berhadapan dengan perubahan yang lebih mencabar dan proaktif dalam mengambil segala tindakan.

”Menurut Islam, sifat ini dikenali sebagai ‘Itqan’ iaitu sifat tekun dan penuh komited dalam melaksanakan kerja, tugasan, amalan dengan sungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan serta disiplin yang ditetapkan,” katanya lagi.

Dr. Salleh berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan Staf Citra Karisma 2023 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Beliau selanjutnya menyentuh mengenai kompeten (kecekapan) dalam bekerja yang menurutnya staf terlibat perlu diberikan latihan yang secukupnya bagi melahirkan kakitangan yang profesional, berkemahiran dan cemerlang.

”Pendedahan terhadap ilmu dan perkembangan terbaharu mesti dijadikan budaya kerana dunia kini berubah dengan pantas. Apa yang kita tahu pada hari ini dan semalam belum tentu relevan digunakan pada hari esok.

”Kakitangan yang bertugas dalam sesebuah organisasi itu juga hendaklah mengadaptasi dan mengangkat teknologi kerana kehidupan dalam zaman teknologi pada masa kini tidak memungkinkan organisasi bergerak dan bekerja dengan cara lama.

”Jika teknologi digunakan dengan penuh manfaat, kita pasti akan dapat memberikan mutu perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada pemegang taruh dan masyarakat,” katanya lagi.

UTM perlu mempunyai sistem penyampaian berkualiti tinggi demi menjaga imej dan prestij universiti yang sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat luar.

”Kita hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang cepat, tiada kesilapan, mudah diperolehi, tidak membebankan pelanggan serta melayani mereka dengan mesra dan sopan.

”Hanya dengan cara ini UTM akan terus menjadi sanjungan bangsa dengan meneruskan budaya menginovasi penyelesaian,” katanya lagi.

Turut menghadiri majlis adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan Pendaftar, Nur Azizah Ismail.

Antara anugerah paling berprestij sempena majlis ini adalah Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) yang menyaksikan projek bertajuk Iskandar Malaysia Ecolife Challenge mengungguli anugerah ini.

Projek inovasi yang diketuai oleh Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah ini merupakan projek berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013 bagi memupuk kesedaran dan menanam pengetahuan tentang Masyarakat Rendah Karbon (MRK) melalui pendidikan di sekolah. Pemenang menerima sijil, trofi serta hadiah kemenangan berjumlah RM10,000.

Untuk rekod, majlis Citra Karisma telah pun mula diadakan semenjak 1994 dan kini memasuki tahun ke-29 penganjurannya.

Projek bertajuk Iskandar Malaysia Ecolife Challenge yang diketuai oleh Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah (berbaju melayu merah hati)  mengungguli anugerah ini.
Projek inovasi  berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013 bagi memupuk kesedaran dan menanam pengetahuan tentang Masyarakat Rendah Karbon (MRK) melalui pendidikan di sekolah. Pemenang menerima sijil, trofi serta hadiah kemenangan berjumlah RM10,000.

 

 

Explore More