JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Minggu Sains Negara peringkat negeri Johor telah berlangsung pada 19 dan 20 Ogos 2023 di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru dengan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan. Kumpulan penyelidikan inovasi geomatik (GnG) bersama Makmal Geodesi dan Astronomi yang diketuai oleh ketua kumpulan iaitu Gs Sr Dr Othman bin Zainon telah diminta untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pameran Astronomi.
Pameran Astronomi telah mempamerkan peralatan astronomi seperti teleskop dan teodolit bagi pendedahan awal kepada para pengunjung yang melawat ke reruai pameran astronomi. Para pengunjung telah dapat merasai dan pengalaman untuk menggunakan teodolit dan teleskop bagi melihat sesuatu objek.
Selain itu, alat bantu mengajar juga ditunjukkan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih dekat ilmu astronomi. Antara bahan pengajaran dan pembelajaran yang dipamerkan adalah jam matahari, sistem suria, peta bintang, fasa bulan, replika matahari, bumi dan buruj.
Di samping itu, replika astronomi seperti sfera selestial, kedudukan matahari, bumi dan bumi, alat astrolab, alat sukuan, jam matahari turut dipamerkan bagi memberi maklumat tambahan kepada pengunjung dan menarik minta mereka kepada bidang sains dan teknologi.
Minggu Sains Negara 2023 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Chang Lih Kang, selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Yang Berhormat Menteri telah melawat semua reruai pameran termasuk reruai Astronomi. Ketika lawatan beliau di reruai Astronomi, Sr Dr Othman Zainon telah memberi penerangan berkaitan pameran dan menyampaikan cenderamata kepada Yang Berhormat Menteri.
Pempamer ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pengajur iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia di atas jemputan menyertai Minggu Sains Negara 2023. Semoga semua peserta menambah kefahaman dan meningkatkan pengetahuan mereka berkaitan astronomi.
Oleh: Othman Zainon, Kelvin Tang Kang Wee, Muhammad Hafiz Mohd Yatim