November 5, 2024

Search
Close this search box.

UTM komited perkasa komuniti luar bandar menerusi Program Celik Digital

SEGAMAT, 5 Julai – Sepasukan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Fakulti Komputeran telah berjaya melaksanakan sebuah program pemindahan ilmu bertajuk Pengenalan dan Asas Baik Pulih Komputer. Program telah dilaksanakan di Makmal Komputer, Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Segamat.

Program yang diketuai oleh En. Hairudin Abdul Majid, penceramah Mohd Shamsul Fitri Sulaiman, serta barisan fasilitator; Mohd Idzham Iqbal Abdul Rani, Mohmad Azmi Latonak@Ismail, Nor Affendi Ahmad, Ts. Mohd Hazri Ishak, Ruzanah Sahudi dan Hasnah Musim, telahpun dihadiri oleh 14 orang peserta dalam kalangan lelaki dan wanita berumur antara 25 tahun hingga 55 tahun.

Majlis telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Melayu Raya, En. Johari bin Masran. Turut hadir menyertai program ini adalah 2 orang wakil dari Ladang KLK Berhad dan 2 orang wakil dari PIBG SK Melayu Raya. Program bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang.

Program ini adalah salah satu sub-program dari program induk yang bertajuk Celik Digital Komuniti Johor Luar Bandar, yang diketuai oleh Dr. Azurah binti A Samah. Ianya memfokuskan komuniti luar bandar sebagai penerima menfaat. Program yang berkonsepkan bengkel hands-on ini dilaksanakan bagi memperkenalkan peserta terhadap sebahagian dari eleman teknologi perkomputeran.

Sementara itu, bengkel ini juga turut menyuntik pengalaman baharu kepada para fasilitator program. Pengisian program lebih kepada aktiviti berbentuk praktikal dan dilaksanakan secara fizikal.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil, yang mana sebuah komputer akan dikendalikan oleh 2 orang peserta. Ini bagi memberikan keyakinan dan peluang kemahiran yang lebih kepada peserta sewaktu aktiviti dijalankan.

Kesemua peserta juga turut menerima sijil penyertaan dari pihak Fakulti Komputeran UTM.

Hasil dari kajian soal selidik yang dijalankan ke atas para peserta menunjukkan bahawa program ini telah memberikan impak ke atas mereka bukan sahaja daripada sudut upskilling dan reskilling, malah mempertingkat keyakinan mereka dalam aktiviti baik pulih komputer di rumah.

Pihak UTM sentiasa berharap agar ilmu yang disampaikan dalam bengkel ini bermanfaat kepada peserta dan seterusnya kerjasama bersama SK Melayu Raya akan terus terjalin dari semasa ke semasa.

Fasilitator menerangkan tentang fungsi Power Supply Unit.
Fasilitator menerangkan berkenaan komponen di Mainboard.
Peserta mencuba sendiri memasang komponen komputer setelah dileraikan.
Peserta memasang komponen ke dalam slot komputer yang tertentu.

Explore More