November 22, 2024

Search
Close this search box.

UTM JTNCP perlu bergerak seiring dengan keperluan semasa – Prof. Dr Edy Tonnizam

Dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula 15 Mei 2023 yang lalu, Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad bertekad untuk menjadikan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atau JTNCP yang diterajuinya untuk menjadi lebih unggul dan selari dengan keperluan semasa.

Bercakap dalam wawancara bersama UTM Newshub di pejabatnya, Prof. Edy menegaskan bahawa peranan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atau JTNCP, tidak hanya terhad kepada pembangunan fasiliti dan fizikal tetapi sebaliknya perlu lebih berfungsi menyokong kepada segala aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), kegiatan mahasiswa di dalam kampus UTM ini, membangunkan kelestarian dan membina kemampanan sumber pendapatan universiti.

Mengulas lanjut mengenai perancangan atau hala tuju terkini yang telah direncanakan untuk memperkasakan JTNCP, Prof. Edy menegaskan jabatan itu kini perlu melihat kepada perspektif lebih luas berbanding fungsi tradisinya.

Memperkasa tadbir urus, responsif demi fungsi yang lebih berkesan

Buat masa ini JTNCP dibahagikan kepada beberapa seksyen yang terdiri daripada Bahagian Pemajuan, Bahagian Pengurusan Aset, Pejabat Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) serta Pejabat TNCP.

Bagi memberikan impak urus tadbir yang lebih kebertanggungjawaban dan efektif, keempat-empat komponen yang bernaung di bawah jabatan ini akan diteliti semula dan sekiranya terdapat keperluan untuk distrukturkan semula maka akan dilaksanakan bagi membolehkan bahagian-bahagian ini berfungsi dengan lebih terfokus dan lancar.

Menurut Prof. Edy, JTNCP juga akan meraikan kepakaran dan mempergiatkan libat sama pakar-pakar dalam universiti dalam pelbagai bidang bagi membantu memantapkan perancangan, pelaksanaan, pembangunan serta menyelesaikan masalah-masalah pembangunan dan penyelenggaraan yang sedang ditangani.

Sebahagian aktiviti pemantauan yang dilakukan di salah sebuah fakulti di UTM Johor Bahru.
(Sumber: Facebook Jabatan Timbalan Naib Canselor UTM)

“Kita berhasrat agar hasil penyelidikan dan kepakaran dapat diintegrasikan dalam pembangunan universiti. Justeru, inilah yang membezakan kita sebagai sebuah universiti penyelidikan dengan organisasi pengurusan fasiliti lain.”

“Kita merancang pelbagai audit bagi memahami status semasa. Maklumat ini penting bagi merangka perancangan masa hadapan. Di samping itu, kita berhasrat menganjurkan pelbagai kempen terfokus seperti penjimatan tenaga dan kempen penyelenggaraan minor. Kita sedar bahawa aspek pembaikian dan penyelenggaraan ini menjadi keutamaan kepada warga universiti.”

“Perancangan jangka sederhana dan panjang bagi mengoptimumkan dan membangunkan hartanah secara tersusun dan penyelenggaraan aset akan menjadi agenda penting. Penyelenggaraan dan pembaikan bukan sahaja perlu responsif kepada aduan tetapi juga perlu berkala dan mementingkan aspek pencegahan. Semua ini memerlukan pemantauan berkesan.” ujarnya.

Selain penyelenggaraan dan pembangunan fizikal kampus, JTNCP juga akan memberikan tumpuan kepada penjanaan pendapatan melalui hartanah serta aset-aset universiti yang berpotensi untuk dikomersialkan. Di samping itu, fokus akan diberikan untuk meminimumkan kos kontrak dan penyelenggaraan aset sedia ada melalui pemantauan bersistem ke atas prestasi dan kualiti pembinaan dari peringkat awal pembinaan sehingga selesai,” jelas Prof. Edy.

JTNCP turut mencari alternatif dalam memanfaatkan sumber semula jadi yang terdapat di dalam kampus. Langkah ini dilihat dapat membantu untuk mengurangkan perbelanjaan Universiti dalam memenuhi keperluan asas sedia ada seperti bekalan air.

“Pembangunan sistem air bawah tanah di kawasan UTM yang telah diterokai itu amat perlu bagi menyediakan sumber air bersih kepada warga kampus serta membantu universiti mengurangkan kadar penggunaan air berbayar di dalam kampus. Selain itu, pembangunan air bawah tanah ini juga berpotensi untuk industri hiliran yang boleh mendatangkan pendapatan yang lestari kepada universiti,” tambah Prof. Edy.

Dalam usaha menambah baik perkhidmatan JTNCP, pelbagai program dan kempen sedang dirancang. Contohnya, bagi mempertingkatkan pengurusan pengangkutan yang diselenggara oleh UTM Fleet, kempen ‘UTM Fleet TIP TOP’ sedang dirancang. Di samping itu, kempen ‘UTM Berseri’ yang diterajui oleh Unit Lanskap bertujuan mempercantikkan kawasan kampus dengan tema taman tropika.

Pemerkasaan dari aspek fungsi jabatan ini dilihat menjadi tumpuan utama selari dengan hasrat Universiti yang mahukan jentera pentadbiran dan pengurusan Universiti digerakkan dengan lebih bersepadu dan berfokus dengan berpaksikan tata kelola yang baik di samping menangani lakuna yang ada dalam menyokong pelaksanaan Pelan Strategi enVision UTM 2025.

Antara perkara lain yang dititikberatkan adalah untuk memelihara keselamatan aset agar sentiasa terjaga dan tidak merugikan universiti. Tatacara keselamatan sedia ada akan dinilai dan ditambah baik.

Mengangkat agenda kelestarian, kekal mampan menjana pendapatan

Pengiktirafan antarabangsa yang meletakkan UTM antara institusi teratas dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) baru-baru ini menjadi bukti JTNCP sentiasa mengangkat dan mementingkan agenda kelestarian dalam setiap dasar yang dilaksanakan.

“Sebagai langkah kehadapan, cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti bas dan motosikal elektrik untuk bergerak di dalam kampus sedang diperhalusi,” jelas Prof. Edy ketika ditemu bual.

Bagi mahasiswa, aplikasi perkongsian kenderaan, seperti “Kumpool” dilihat mampu menjadi satu lagi alternatif selain perkhidmatan bas sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan di dalam kawasan kampus. Inisiatif ini juga seterusnya mengurangkan jejak karbon di dalam kampus yang dilihat selari dengan matlamat pembangunan mampan dari sudut kelestarian alam.

Inisiatif warga UTM dalam mengurangkan jejak karbon.

Sementara itu, model perniagaan universiti berdasarkan aset ini perlu dilihat semula supaya UTM dapat menjana pendapatan dengan sumber yang lebih pelbagai tanpa bergantung kepada hasil sewaan aset sahaja.

Model perniagaan yang dicadangkan haruslah lebih komprehensif dan pada masa yang sama UTM sudah boleh menjalankan usaha niaga sendiri. Inisiatif ini boleh menjadi salah satu cara memastikan penjanaan kewangan Universiti ke arah yang lebih mampan.

Dalam pada itu, suasana tropika yang wujud di dalam kampus boleh dimanfaatkan sebaiknya dan wajar diperkasakan dengan pembangunan pelbagai tema, seperti geosite. Pendekatan pembangunan sebegini haruslah sesuai dengan peranan UTM sebagai gedung ilmu, yang akan memaparkan maklumat-maklumat ilmu untuk dipelajari.

“Perancangan hartanah UTM yang bukan sahaja terletak di Johor Bahru, malah di Kuala Lumpur, Pagoh dan Kota Tinggi akan menjadi agenda utama JTNCP. Bukan sahaja kita perlukan pelan induk guna tanah, malah setiap plot seperti ladang dan dusun juga memerlukan pelan yang komprehensif,” ujar Prof Edy.

Dalam merealisasikan kesemua inisiatif ini, setiap perubahan yang dicadangkan haruslah diteliti, dibincangkan dan dilihat dari perspektif yang konstruktif oleh semua warga UTM dan gemblengan tenaga semua pihak terutamanya warga kerja JTNCP dalam melaksanakan agenda besar ini sangatlah diperlukan.

———————————————————————————————————————————————————

Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad selain menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, beliau masih menjalankan tugas Dekan, Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, Pengarah, Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif (ISiiC) UTM dan menjadi pakar rujuk dalam bidang geokejuruteraan tropika dan geobencana.

Explore More