Disember 27, 2024

Sinergi UTM dan SMK Tanjung Adang angkat agenda kelestarian menerusi Project Low Carbon School @ Green Day

TANJUNG ADANG, 22 Jun – Seramai 45 orang pelajar tingkatan 4 dari SMK Tanjung Adang telah menunjukkan kecemerlangan mereka dalam Projek Low Carbon School @ Green Day yang berlangsung di sekolah pada 22 Jun.

Projek ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dan mendorong amalan gaya hidup rendah karbon di kalangan pelajar.

Meskipun hanya melibatkan pelajar tingkatan 4, antusiasme dan semangat mereka dalam menyertai projek ini begitu mengagumkan. Mereka turut menyatakan sokongan yang tinggi dalam usaha menjaga bumi dan menghadapi cabaran perubahan iklim.

Menerusi projek ini, pelajar telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang menarik dan informatif. Antaranya adalah aktiviti penapisan air kotor yang bertujuan untuk mengajar mereka tentang pentingnya menjaga kualiti air dan mengurangkan pencemaran air.

Mereka turut diberi peluang untuk mendekorasi tong sampah dengan menggunakan bahan buangan sebagai usaha mencari alternatif kreatif dalam menguruskan sampah.

Di samping itu, teknologi hidroponik juga diperkenalkan kepada pelajar sebagai satu kaedah bertani dengan lebih lestari dan menggunakan lebih sedikit sumber air. Pelajar diberi peluang untuk merasai bagaimana menguruskan pertanian dalam persekitaran yang terhad dan memahami konsep pertanian lestari.

Program ini adalah langkah awal yang positif dalam mencorakkan pelajar tingkatan 4 SMK Tanjung Adang sebagai agen perubahan dalam memelihara bumi.

Semangat dan komitmen mereka dalam menjaga alam sekitar diharapkan akan terus dikekalkan dan menjadi contoh teladan bagi pelajar lain di sekolah dan komuniti sekitar.

 

Explore More