JOHOR BAHRU, 31 Mac – Persatuan Anak Johor, Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2022/2023 telah menganjurkan SEJATI KONGSI Siri 1, satu program berbentuk kesukarelawan bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Sultan Ismail UTM iaitu program gotong-royong dan bakul makanan.
Program ini dijalankan bertujuan untuk membantu para pelajar yang menghadapi masalah kewangan terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.
Di samping itu, ia merupakan salah satu inisiatif SEJATI bagi memastikan golongan pelajar ini mendapat bantuan makanan tambahan dan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara.
Bagi tujuan ini, Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim telah kerjasama pihak Pusat Islam UTM bagi meringankan beban pelajar-pelajar ini.
Melalui konsep bakul makanan, sebanyak 40 pelajar UTM yang disenarai pendek oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) telah menerima bakul makanan yang mengandungi beberapa jenis makanan kering dan sedikit wang saku untuk perbelanjaan harian mereka.
Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim percaya bahawa perancangan inisiatif ini untuk dijalankan secara bersiri akan memberikan impak besar kepada pelajar-pelajar UTM melalui aktiviti yang menyantuni kebajikan pelajar seterusnya mewujudkan suasana kampus yang lebih baik.