Disember 27, 2024

Recycle N Play @ Fitrah Qaseh tingkat kesedaran kanak-kanak terhadap penjagaan alam sekitar

SKUDAI, 16 Jun – Dalam rangka merayakan Hari Alam Sekitar yang diadakan setiap 5 Jun, sebuah program inovatif, “Recycle N Play @ Rumah Kebajikan Fitrah Qaseh,” telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap alam sekitar di kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Program yang berlangsung selama dua hari ini diadakan dengan tujuan utama untuk menghargai bumi dan alam sekitar serta mengasah kemahiran insaniah mahasiswa dari pelbagai universiti.

Di bawah inisiatif yang dipelopori oleh Kumpulan Aktivis Alam Sekitar (KAAS), program ini berjaya menarik minat lebih 50 mahasiswa untuk turut serta membantu dalam pelaksanaannya.

Salah satu aspek utama program ini adalah melibatkan interaksi mahasiswa dengan kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Fitrah Qaseh.

Melalui aktiviti-aktiviti menarik dan edukatif, mahasiswa diajar untuk berkomunikasi dan bergaul dengan kanak-kanak. Mereka juga diajar untuk mencorak perilaku positif dalam hubungannya dengan alam sekitar serta pentingnya menjaga kelestarian bumi.

“Program ini adalah peluang terbaik untuk mendorong kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,” kata Puan Nurul, salah seorang pengarah program.

“Kami ingin melibatkan kanak-kanak sejak dini agar mereka dapat menyemai rasa cinta terhadap bumi dan menjadi warga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.”

Dalam program ini, kanak-kanak diajar tentang pentingnya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan amalan kitar semula untuk mengurangkan pencemaran bumi. Aktiviti seperti seni kitar semula dan pertandingan membuat kompos telah diadakan dengan penglibatan kanak-kanak secara aktif.

Selain daripada itu, penglibatan kanak-kanak dalam program ini turut memberi manfaat kepada mahasiswa. Mereka dapat memahami tanggungjawab sosial mereka sebagai warganegara dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

“Saya amat terkesan dengan antusiasme kanak-kanak untuk mempelajari mengenai alam sekitar dan bagaimana mereka dapat turut serta menjaga kelestarian bumi,” kata Amir, seorang mahasiswa sukarelawan.

Program ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam mencorakkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. Diharapkan, inisiatif seperti ini akan terus dilaksanakan untuk mencipta generasi yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi.

Dengan adanya kesedaran yang semakin tinggi mengenai isu-isu alam sekitar, diharapkan masyarakat akan bersama-sama berganding bahu dalam melindungi bumi kita yang indah ini bagi tatapan generasi akan datang.

Aktiviti menanam pokok menggunakan teknik hidroponik.
Aktiviti mewarna.
Aktiviti membuat pasu bunga menggunakan bahan kitar semula.

Explore More