November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kem Pemantapan Pulau Tioman tingkat jati diri JKM KTDI sesi 2022/2023

PULAU TIOMAN, 25 Mei – Kem Pemantapan JKM KTDI 2023 merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh JKM KTDI sesi 2022/2023 untuk meningkatkan jati diri dan kemahiran insaniah. Di sini, para peserta dilatih cara menguruskan perkara yang tidak diduga secara bersama.

Program ini disertai oleh 20 orang peserta dalam kalangan JKM KTDI. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Ketua puak telah dilantik bagi mewakili kumpulan masing-masing.

Program ini telah berlangsung selama tiga hari dan dua malam bertempat di Kg Juara, Pulau Tioman, Pahang. Program ini telah dirasmikan oleh Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Bin Hj. Ali Khan.

Kem Pemantapan ini dilaksanakan di kawasan hutan sekitar Kg Juara. Ahli JKM KTDI telah menunjukkan kerjasama dan semangat berpasukan yang sangat baik sepanjang kem ini dijalankan.

Ketika berada di dalam hutan, setiap kumpulan ditugaskan untuk mencari dan membersihkan kawasan kem. Setelah itu, setiap kumpulan perlu menyediakan masakan menggunakan bahan-bahan yang disediakan.

Setiap kumpulan telah diberikan dua ekor ayam hidup yang kemudian disembelih dan dijadikan menu utama bagi masakan tengah hari. Kumpulan yang dapat melaksanakan tugas dengan baik telah diberikan hadiah yang berupa bahan tambahan yang boleh digunakan dalam masakan mereka.

 

Setelah selesai Kem Pemantapan, keesokan harinya JKM KTDI bersama Barisan Pengurusan Kolej bergerak ke pantai Pasir Panjang di Pulau Tulai bagi membersihkan kawasan pantai. Setelah itu, mereka menjamu selera dan bergambar bersama-sama di pantai terbabit.

Di kesempatan itu, mereka dibawa ke beberapa lokasi bagi menjalankan aktiviti snorkeling. Di situ, mereka diberikan peluang melihat keindahan batu karang semula jadi dan pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni. Mereka juga telah mengambil kesempatan itu untuk memberi makan kepada ikan-ikan menggunakan roti.

Pada sebelah malam pula, JKM KTDI telah mengadakan Malam JKM. Pada malam itu, mereka mengadakan aktiviti Barbeque dan majlis penutup.

Orang kampung serta pengusaha chalet juga turut serta dalam aktiviti tersebut. Program yang dijalankan sungguh meriah dan memberi kegembiraan kepada penduduk kampung. 

Akhir sekali, selepas Kem Pemantapan ini, warga JKM KTDI mampu menunjukkan prestasi terbaik dan mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif dan berkesan. Pada masa yang sama, mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada warga KTDI.

 

Explore More