Disember 22, 2024

Sesi FGD dan pengumpulan maklumat berkaitan isu, potensi dan cadangan projek ekonomi kampung di Balai JKKR FELDA Adela

Mahasiswa FABU terlibat dalam penghasilan Pelan Tindakan Pembangunan Kampung Tanjung Serindit dan FELDA Adela

Oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid

KOTA TINGGI, 5 Mei – Sekumpulan 27 orang mahasiswa program Sarjana Muda Perancangan bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah melakukan kunjungan ke dua buah perkampungan luar bandar di daerah Kota Tinggi, Johor iaitu Kampung Tanjung Serindit dan FELDA Adela.

Kunjungan bertujuan bagi menjalankan kajian lapangan dan penghasilan Pelan Tindakan Pembangunan Kampung (PTKK) untuk kursus SBEW2443 Perancangan Wilayah dan Luar Bandar.

Kumpulan mahasiswa ini telah diiringi oleh dua pensyarah kursus iaitu Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid.

Pada hari pertama lawatan, para mahasiswa terlebih dahulu dibawa mengikuti program “Mangrove Edutour” di sekitar Tanjung Belungkor dan Tanjung Surat.

Pakej lawatan ini dikendalikan oleh operator pelancong tempatan dengan bimbingan pihak KEJORA.

Menerusi lawatan ini, mahasiswa dapat mempelajari kepentingan memelihara hutan paya bakau, aktiviti penduduk yang dikembangkan menerusi hubungan mereka dengan hutan paya bakau seperti perikanan dan pelancongan serta lawatan ke Galeri Warisan Alam di Pulau Tanjung Surat.

Para mahasiswa dibawa melawat sekitar perairan Tanjung Belungkor dan Pulau Tanjung Surat di bawah program “Mangrove Edutour”

Pada hari ke-2 pula, kumpulan mahasiswa telah dibahagi kepada dua kumpulan iaitu 14 orang untuk menjalankan kajian di Kampung Tanjung Serindit dan 13 orang di FELDA Adela.

Setiap kumpulan ditugaskan untuk menjalankan beberapa aktiviti sewaktu di lapangan antaranya, memudahcara Latihan Perbincangan Kumpulan Berfokus (Focus Group Discussions) bagi mengenal pasti isu dan potensi kampung, serta cadangan projek pembanguan sosioekonomi kampung yang sesuai dengan kehendak, kesediaan sumber alam dan manusia setempat.

Selanjutnya, ada yang ditugaskan untuk menjalankan kajian temubual berpandukan borang kaji-selidik isi rumah dan pemetaan sumber sekitar kampung. Perjumpaan Bersama peserta bengkel FGD dibuat di masjid (Tanjung Serindit) dan Balai JKKR (FELDA Adela).

Sesi FGD dan pengumpulan maklumat berkaitan isu, potensi dan cadangan projek ekonomi kampung di Masjid Kampung Tanjung Serindit

Sesi FGD dan pengumpulan maklumat berkaitan isu, potensi dan cadangan projek ekonomi kampung di Balai JKKR FELDA Adela

Pihak pengurusan kampung dan para peserta yang terlibat didalam aktiviti mahasiswa telah menunjukkan sokongan dan minat yang tinggi dari awal sehingga selesai program.

Mereka juga mengharapkan dapatan kajian ini dapat dikongsikan semula dengan mereka untuk diteliti dan tindakan lanjut dapat mereka ambil.

Setelah pulang ke kampus, para mahasiswa selanjutnya terlibat dengan bengkel pemurnian kajian lapangan.

Objektif bengkel adalah untuk memastikan semua data dan maklumat yang diperoleh dilapangan segera diproses, ditapis dan dimurnikan ke dalam bentuk penghasilan laporan PTKK.

Proses pemurnian PTKK

Menerusi latihan ini, para mahasiswa dapat mempelajari dengan lebih dekat pelbagai peringkat dan proses yang terlibat untuk menghasilkan PTKK bermula dengan kajian di lapangan, diikuti proses pemurnian yang dijalankan di makmal/bilik kuliah.

Menerusi bimbingan para pensyarah, para mahasiswa dilatih untuk menapis, menggabung, membuang dan menyusun segala dapatan kajian kedalam bentuk yang lebih bersistematik.

Hasil akhir projek bukan hanya bersifat akademik, malah perlu mampu dibaca dan fahami oleh masyarakat umum, kerana laporan ini kemudianya akan kembalikan kepada wakil penduduk untuk rujukan dan tindakan mereka di masa hadapan.

 

 

Explore More