Disember 22, 2024

Disediakan oleh: Amirul Irfan Shahrul Izar (JKM KTHO) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)

TANJUNG BALAI, 2 Mac. – Dikala mahasiswa lain sedang meluangkan masa bersama keluarga tercinta bersempena cuti semester yang kini berlangsung, lain pula ceritanya bagi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) yang giat membuat persiapan bagi menghadapi program Mark Indonesia 2023 (MARINA ‘23).

MARINA ‘23 merupakan sebuah program yang memberi tumpuan kepada pertukaran ilmu dan silang budaya yang melibatkan dua buah negara, Indonesia dan Malaysia. Aktiviti yang merupakan Program Top Bidder KTHO ini telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada mahasiswa, malah kepada universiti dan negara. Program yang mendapat sokongan padu Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) ini juga merupakan sebahagian daripada modul Pemantapan JKM KTHO sesi 2022/2023. Program telah berlangsung dari 27 Februari sehingga 2 Mac 2023.

Delegasi UTM terdiri daripada Pengetua KTHO yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim, 9 orang Felo dan Pembantu Felo serta 22 orang JKM KTHO sesi 2022/2023. MARINA ’23 yang diterajui oleh saudari Nur Abidah Ishak turut menerima bantuan dan sokongan jitu daripada Alumni UTM 2022 (Sains Komputer-Kejuruteraan Perisian) yang berasal dari Karimun, Faaiq Fajari Fauzan dan Cahaya Karimun Tour kelolaan Pak Mohamad Rizal.

Sesi pertukaran ilmu telah berjaya dilaksanakan di sebuah sekolah tempatan iaitu SMK Negeri 2 Karimun. Aktiviti yang memakan masa selama dua hari di sekolah tersebut telah menyaksikan pelbagai informasi dan ilmu pengetahuan dikongsi antara mahasiswa universiti dan pelajar sekolah. 

Delegasi UTM bergambar bersama warga SMK Negeri 2 Karimun

Antara perkongsian yang disampaikan termasuklah berkaitan dengan pelepasan rendah karbon serta pengurusan sisa organik yang betul. Bagi meningkatkan kefahaman mereka berkaitan perkongsian dua hala yang telah diberikan, delegasi UTM berkesempatan melakukan aktiviti praktikal bersama warga sekolah. Selain menambah ilmu pengetahuan dan bertukar pendapat, hubungan yang terjalin antara warga UTM dan sekolah juga menjadi lebih erat.

Sesi pengurusan sisa organik bersama pelajar SMK Negeri 2 Karimun

Sementara itu, peserta-peserta program juga diberikan tugasan khas membuat penggambaran dokumentari mini. Tugasan ini memberi ruang dan peluang kepada peserta menonjolkan bakat masing-masing dalam mempromosi tempat-tempat menarik dengan cara dan gaya mereka tersendiri. 

MARINA ‘23 ini juga turut dihiasi dengan program keluarga angkat bersama penduduk setempat di Kampung Desa Parit. Rombongan UTM telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk ditempatkan di beberapa buah rumah bagi merasai suasana dan kehidupan penduduk di sana. Sambutan dan layanan yang sangat baik diberikan oleh warga kampung telah membuktikan tahap kegembiraan mereka yang tinggi apabila menerima kunjungan daripada warga UTM.

Setiap waktu dan saat bersama penduduk kampung tidak disiakan begitu sahaja. Suasana petang dipenuhi dengan aktiviti riadah bersama penduduk tempatan dan anak-anak kecil di sana. Malam terakhir juga turut diwarnai dengan malam kebudayaan antara dua negara. Persembahan yang telah dilakukan oleh warga kampung nyata menyerikan malam tersebut. JKM KTHO juga turut tidak melepaskan peluang menyajikan tiga buah tarian yang melambangkan identiti Malaysia. 

JKM KTHO bersama warga Kampung Desa Parit semasa malam kebudayaan

Sejajar dengan Pelan Strategik enVision UTM 2025 yang menitikberatkan kepada pembangunan mahasiswa yang holistik serta pengukuhan kerjasama industri dan masyarakat, program seperti ini wajar dilakukan dengan lebih kerap. Bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran insaniah dan kepimpinan mahasiswa, melalui program ini juga secara tidak langsung mempromosikan dan menjadikan UTM sebagai universiti yang aktif menjalankan program kolaborasi antarabangsa.

Sesungguhnya, MARINA ’23 merupakan sebuah manifestasi bagaimana cendekiawan universiti meredah lautan merentas sempadan menyampaikan ilmu demi kemaslahatan bersama. Semuanya demi secebis ilmu dalam memanusiakan manusia. Semoga impaknya mensejahtera Bumi, selagi belum berakhir hayatnya. Semuanya ‘Kerana Tuhan, untuk manusia’.

Explore More