Disember 27, 2024

UTM Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

Oleh Nur’aina Binti Osman

PUTRAJAYA, 27 Feb.– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa menghargai golongan cendekiawan yang dilihat ibarat sebuah lantera ilmu buat dunia pendidikan. Lantaran itu, UTM mengambil inisiatif meneruskan tradisi mengangkat ketokohan dan sumbangan golongan ini melalui penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Alrabiah.

Majlis penganugerahan telah diadakan di Hotel Marriott Putrajaya dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, YBhg. Tan Sri Azman Mokhtar dan Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

 

Menurut Naib Canselor UTM, YBhg Prof Datuk Ahmad Fauzi, “Pemilihan TYT Dr. Tawfiq oleh UTM sebagai penerima anugerah ini adalah berdasarkan sumbangan besar beliau dalam penyelarasan agensi haji dan umrah seluruh dunia, termasuklah mentransformasikan perkhidmatan pengurusan jemaah, yang banyak membantu kelancaran proses pengurusan ibadah terbesar umat Islam terutamanya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Penganugerahan Ijazah Kehormat ini kepada TYT Dr. Tawfiq diharap dapat memacu kerjasama strategik dua hala antara UTM serta Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi dalam membangunkan program penyelidikan, inovasi serta akademik, di samping dapat memperkaya pengalaman melalui perkongsian kepakaran staf untuk mengangkat dan menambah baik pengurusan haji dan umrah selepas ini,” tambah beliau.

Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Muhammed Alrabiah

TYT Dr Tawfiq yang dilantik menjadi Menteri Haji dan Umrah oleh kerajaan Arab Saudi pada 15 Oktober 2021, sebelumnya merupakan Menteri Kesihatan selama lima tahun yang turut memainkan peranan penting dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

Semasa berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, beliau telah melaksanakan pelbagai agenda transformasi penyampaian perkhidmatan berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang Sains Komputer dan Sains Maklumat. Banyak aplikasi teknologi telah dibangunkan dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang inovatif dan peluasan akses kepada pengguna. Hasilnya, rakyat Arab Saudi mula mempercayai perkhidmatan kesihatan awam.

Sepanjang beliau memegang portfolio berkenaan juga pelbagai usaha proaktif dan sumbangan telah dilaksanakan dengan jayanya dalam mengawal dan membendung penularan wabak tersebut. Inisiatif ini termasuklah pemerkasaan kemudahan e-kesihatan, dan Arab Saudi turut menjadi salah sebuah negara pertama di dunia yang melancarkan kempen vaksinasi.

Hasil komitmen tinggi dan kepimpinan TYT Dr. Tawfiq dalam mengharungi gelombang pandemik ini, kerajaan Arab Saudi telah berjaya menganjurkan Haji pada tahun 2020 dengan selamat tanpa kes COVID-19.

Turut hadir ke majlis penganugerah Ijazah Kehormat ini ialah Datuk Bandar, Wilayah Almadinah Almunawara , TYT Eng. Fahad Albuliheshi, Duta Arab Saudi, TYT Mesaad Ibrahim A. Al Sulaim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT,  YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar.

Untuk rekod, UTM telah pun menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada 62 orang penerima sebelum ini dalam Majlis Konvokesyen yang lalu. Daripada jumlah 62 orang tersebut, sebanyak 25 penerima adalah penerima antarabangsa.

Explore More