JOHOR BAHRU, 13 Feb. – Revolusi Perindustrian 4.0 atau Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) mula diperkenalkan pada tahun 2011 dengan kemunculan pendigitalan yang diterajui oleh teknologi seperti Internet of Things (IoT), cognitive computing, Big Data, Artificial Intelligences (AI) dan sebagainya.
Belum sempat kita membudayakan IR 4.0 dengan efektif, kini Revolusi Perindustrian 5.0 atau Industrial Revolution 5.0 (IR 5.0) mulai diperkenalkan. IR 5.0 telah menambah sentuhan peribadi manusia kepada dua tonggak utama IR 4.0 iaitu automasi dan kecekapan, dimana ia merujuk kepada orang yang bekerja bersama robot, mesin pintar dan teknologi.
Sentuhan peribadi ini adalah elemen teras kerana teknologi tidak akan menggantikan tenaga kerja manusia sepenuhnya.
Dengan kewujudan IR 4.0 dan IR 5.0 ini, pemimpin sesebuah organisasi tidak boleh berdiam diri dan hanya mengimplementasi pendekatan kepimpinan yang tradisional semata-mata.
Mereka perlu peka dan mengambil langkah yang bijak untuk menyediakan diri mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan atitud yang betul untuk memainkan peranan kepimpinan yang efektif mengikut era terkini.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menjadi pemimpin yang relevan dan berwibawa untuk menghadapai era IR 5.0.
- Memahami dan membudaya penggunaan teknologi
Dengan kewujudan IR 4.0 dan 5.0, pemimpin yang dilantik mestilah memahami asas teknologi, ini termasuklah bagaimana cara ia berfungsi, terma dan istilah teknologi dan perkara yang boleh dilakukannya. Mereka tidak semestinya perlu menjadi pengguna yang cekap dengan pelbagai gadget yang canggih, tetapi pemimpin masa depan mesti mempunyai kefahaman dan membudayakan penggunaan teknologi.
Dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki berkaitan teknologi itu membolehkan mereka mengurus pasukan mereka dan memahami implikasi strategik. Pelbagai kursus teknologi digital pendek tentang keselamatan siber, Internet of Things (IoT), cognitive computing, Big Data, Artificial Intelligences (AI) dan sebagainya serta pengekodan boleh diikuti daripada dalam talian secara percuma dan berbayar.
- Memahami Sustainable Development Goals (SDG) (Matlamat Pembangunan Mampan)
SDG ialah tujuh belas matlamat global yang direka sebagai rangka kerja untuk masa depan yang lebih baik dan lebih mampan untuk manusia sejagat. SDG telah ditubuhkan pada 2015 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikenali sebagai Agenda 2030.
Terdapat 17 SDG iaitu tiada kemiskinan, sifar kelaparan, kesihatan baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan gender, air bersih dan sanitasi, tenaga berpatutan dan bersih, pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi, industri, inovasi dan infrastruktur, mengurangkan ketidaksamaan, bandar dan masayarakat mampan, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab , tindakan iklim, kehidupan dalam air, kehidupan di darat, keamanan, keadilan, dan pertubuhan kukuh dan kerjasama demi matlamat.
Pemimpin mestilah peka dan memastikan organisasi yang dipimpin menyumbang kepada SDG ini. Pemimpin mestilah bijak memimpin dan mengurus organisasi mereka secara bertanggungjawab dan membantu menyelesaikan cabaran masyarakat dan alam sekitar melalui inovasi dan kerjasama organisasi.
- Memahami isu jantina
Pemimpin perlu peka terhadap isu jantina di tempat kerja, terutamanya cabaran yang dihadapi oleh wanita. Terdapat pelbagai cabaran yang di hadapi dalam kalangan wanita di tempat kerja antaranya gangguan seksual, buli, tidak menerima imbuhan yang sama seperti lelaki walaupun mereka melakukan kerja yang sama, tidak diwakili secara proporsional dalam pengurusan kanan, tidak mendapat peluang pembelajaran dan lain-lain lagi.
Sebagai pemimpin di era masa kini, cabaran berkaitan isu jantina tidak boleh dipandang remeh dan mestilah di selesaikan dengan adil dan saksama. Pemimpin yang bijak dan organisasi yang sensitif dengan isu jantina akan dapat menarik bakat yang terbaik untuk menyertai organisasi dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
- Memahami penglibatan pihak berkepentingan
Penglibatan pihak berkepentingan membantu organisasi untuk mempertimbangkan secara proaktif keperluan dan keinginan sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan dalam organisasi, yang boleh memupuk hubungan, kepercayaan dan keyakinan. Penglibatan pihak berkepentingan adalah satu proses untuk mendengar, bekerjasama dan memaklumkan kepada pihak berkepentingan.
Proses ini memerlukan langkah-langkah seperti mengenal pasti, memetakan dan mengutamakan pihak berkepentingan untuk menentukan taktik terbaik untuk komunikasi yang berkesan sambil menggunakan sumber secara optimum dan sebaik mungkin. Memahami pihak berkepentingan ini boleh mengurangkan potensi risiko dan konflik dengan kumpulan berkepentingan, termasuk ketidakpastian, ketidakpuasan hati, salah andaian, pengasingan dan penentangan terhadap perubahan.
- Menjelaskan matlamat, strategi dan nilai
Dunia IR 4.0 dan 5.0 adalah sangat bergelora dan sukar untuk meramalkan sesuatu perkara atau keputusan. Pemimpin dan organisasi tidak boleh menolak perubahan dalam menghadapi era ini, tetapi mereka boleh menentukan cara mereka memilih strategi untuk menghadapinya dan berpegang teguh pada nilai yang tinggi. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mereka menetapkan dan menjelaskan matlamat, strategi dan nilai bagi sesebuah organisasi.
Dengan adanya matlamat, strategi dan nilai yang tinggi, pemimpin berupaya mendorong subordinatnya ke arah masa depan yang memuaskan, memotivasikan mereka dan mengubah cara mereka bertindak, merasa dan berfikir. Ia juga membantu warga organisasi untuk menetapkan keutamaan dan mengejar perkara yang penting selari dengan matlamat yang ingin dicapai tanpa mengenepikan nilai-nilai murni.
- Menilai gaya pengurusan
IR 4.0 dan 5.0 telah mengubah banyak cara untuk memahami dunia dan ada gaya kepimpinan arahan dan kawalan yang lama sudah menjadi tidak relevan dan tidak masuk akal di dalam dunia digital berteknologi tinggi.
Perubahan pesat dalam teknologi telah menjadikan dunia sebuah perkampungan global, sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19 manusia berkomunikasi, bermesyuarat dan menjalankan organisasi mereka dengan cara yang berbeza dan secara online tanpa mengira dimana mereka berada di pelusuk dunia dan perintah dan kawalan hierarki sudah tidak lagi berfungsi.
Pemimpin perlu memikirkan gaya kepimpinan yang sesuai untuk menerajui organisasi di era IR4.0 dan 5.0. Selain mempunyai pengetahuan, kemahiran dan atitud yang terbaik, mereka juga mestilah literasi kepada teknologi dan terbuka untuk menerima sebarang perubahan yang bermanfaat kepada organisasi yang dipimpin.
Kepimpinan yang tegas tetapi menggunakan teknik pengaruh, pujukan, perundingan, motivasi, pengiktirafan, penghargaan, dan kerjasama untuk kebaikan kolektif adalah amat diperlukan.
Mereka tidak mementingkan diri sendiri tetapi berpusat pada subordinatnya. Pemimpin IR 4.0 dan 5.0 berupaya memberi sentuhan peribadi kepada subordinatnya dan seterusnya memberi sentuhan sebenar kepada pelanggan melalui dedikasi dan disiplin.
Pemimpin masa kini mestilah peka dan bersedia dengan strategi yang bijak dan berkesan untuk menyiapkan diri dalam menghadapi dunia di era IR 4.0 dan IR 5.0. Mereka tidak boleh berada di zon selesa dan hanya menggunakan satu gaya kepimpinan sahaja atau strategi yang tidak relevan.
Pemimpin mestilah membiasakan diri, memahami dan membudayakan IR 4.0 dan IR 5.0 supaya mereka tidak ketinggalan di belakang dan hilang kepercayaan dalam kalangan subordinatnya yang jauh lebih hebat daripada mereka.