November 28, 2024

Search
Close this search box.

ChatGPT: Penggalak atau perencat kesarjanaan

Oleh Ts. Dr. Farhan Mohamed dan Nur ‘Aina Osman

Semenjak ChatGPT mula diperkenalkan pada November 2022 yang lalu, kecanggihan perisian pintar ini menerbitkan kegusaran banyak pihak termasuklah golongan sarjana terutamanya dalam bidang Pendidikan. Kegusaran ini timbul apabila penggunaannya buat masa ini boleh dilihat sebagai suatu jalan pintas untuk mendapatkan idea, bahkan memulakan kerja penulisan, terutamanya penulisan kritis, memandangkan naskhah ini adalah antara komponen utama dalam mengukur tingkat kesarjanaan. Keadaan ini dikhuatiri akan membuka peluang sesetengah pihak mengambil kesempatan dalam konteks yang negatif, yang akhirnya akan mengurangkan kemunculan idea dan ilmu baharu daripada para sarjana kita.

Bagi mengulas lebih lanjut isu ini, wartawan kami mendapatkan pandangan sarjana dari bidang komputeran, Ts. Dr. Farhan Mohamed, Pengarah Jabatan Komputeran Emergen, Fakulti Komputeran UTM, berkaitan perkara ini. Namun, temu bual ini telah disunting bagi tujuan kejelasan dan kepanjangan teks.

SOALAN & JAWAPAN

UTM NewsHub: Boleh Dr. kongsikan adakah kewujudan perisian pintar seperi ChatGPT ini amat diperlukan pada era ini lebih-lebih lagi dalam bidang Pendidikan dan mengapa?

Ts. Dr. Farhan: Kecerdasan buatan (AI) sebagaimana ChatGPT telah pun memainkan peranan penting dalam pelbagai urusan harian kita, daripada pengurusan kewangan, panduan trafik seperti penggunaan Waze, paparan hiburan seperti Netflix, sehinggalah penggunaan kecerdasan buatan ‘fuzzy logic’ pada mesin basuh. Tidak boleh dinafikan lagi, kecerdasan buatan akan terus berkembang dan semakin penting dalam kehidupan seharian.
Mengambil kira situasi kini, tidak dinafikan suatu masa nanti, wujudnya semakin banyak pekerjaan yang menggunakan kecerdasan buatan. Justeru, pentingnya untuk menerapkan pemahaman dan penggunaan kecerdasan buatan seperti ChatGPT dalam Pendidikan bagi membolehkan pelajar kita memiliki kemahiran kerja pada masa depan. Pembelajaran menggunakan kecerdasan buatan ini dilihat mampu merangsang pemikiran kritikal dan logik para pelajar sewaktu berinteraksi dengan perisian ini. Melaluinya, pembelajaran terukur berdasarkan kemampuan peribadi ataupun ‘personalised learning’ dapat juga dilaksanakan. Ini dapat menjadikan pembelajaran lebih mudah diterima oleh pelbagai peringkat berdasarkan kemampuan dan keperluan individu. Sekali gus meningkatkan dapatan pembelajaran dan mendemokrasikan pembelajaran untuk semua.

UTM NewsHub: Adakah ChatGPT boleh dilihat sebagai jalan pintas untuk menghasilkan penulisan kritis dan apakah kesannya bergantung kepada perisian ini?

Ts. Dr. Farhan: Sudah pasti tidak. ChatGPT merupakan satu model kecerdasan buatan yang dilatih dari pelbagai sumber teks dan maklumat di Internet sahaja. Meskipun mampu menghasilkan respons seperti manusia, namun ia bukan jalan pintas bagi pemikiran kreatif dan kritis.
ChatGPT dapat membantu sebagai sokongan penghasilan dan pencambahan awal idea penulis terutamanya sewaktu ‘writer’s block’. Namun penulis tidak akan dapat memaparkan suara atau olahan kosa kata tersendiri jika amat bergantung dengan perisian seperti ChatGPT. Penghasilan karya penulisan daripada ChatGPT juga hanya berdasarkan apa yang dipelajari daripada korpus maklumat di Internet, dan tidak dapat menghasilkan sesuatu yang benar-benar baharu dan kreatif.
Kita harus memahami bahawa ChatGPT ini hanyalah model bahasa berasaskan kecerdasan buatan dan tidak dapat menggantikan kesarjanaan yang memerlukan penyelidikan baharu, pemikiran kritikal dan kritis serta analisis yang mendalam.

UTM NewsHub: Apakah saranan Dr. kepada pengguna dalam memanfaatkan perisian ini dalam konteks penulis kritis dan kesarjanaan?

Ts. Dr. Farhan: Saya kini melihat ramai sarjana sudah mula menggunakan ChatGPT sebagai bantuan penyelidikan dalam mendapatkan maklumat yang lebih tersasar. Ia boleh dikirakan sebagai lanjutan dari penggunaan laman carian, seperti Google dan Bing sebelum ini. ChatGPT dilihat dapat menambah nilai kepada carian para sarjana dalam mempermudahkan interaksi dengan maklumat, seterusnya menghasilkan kesimpulan yang bermakna.
Namun, penggunaan perisian pintar ini haruslah diacu dan disulami dengan idea dan nukilan sendiri yang akhirnya boleh dijadikan sumber yang boleh dipercayai dan dirujuk oleh masyarakat di luar sana. Para sarjana disarankan agar mencari pandangan kedua mahupun ketiga bagi maklum balas yang diperoleh daripada ChatGPT yang membantu pengolahan yang lebih baik dan kesahan fakta bagi penulisan kritis yang dihasilkan. Para sarjana harus bijak mengimbangi kekangan dan kelebihan bagi memastikan nilai kesarjanaan dapat dikekalkan.

UTM NewsHub: Perlukah diwujudkan peraturan bagi mengawal kesan penggunaan perisian ini lebih-lebih lagi dalam bidang kesarjanaan?

Ts. Dr. Farhan: Penggunaan kecerdasan buatan dalam penulisan dan kesarjanaan dilihat masih baru, dan saya lebih gemar jika diadakan garis panduan berbanding dengan peraturan.
Walaupun kesarjanaan ilmu kini berkembang seiring kemajuan teknologi, namun standard penulisan akademik masih dinilai pada tahap yang tinggi kerana penulis perlu menyenarai rujukan dan petikan daripada sumber asli. Isu plagiat juga bukanlah perkara baharu kerana telah wujud pelbagai mekanisma untuk mengawal selia hasil penulisan yang dihasilkan, seperti portal semakan maya ‘Turnitin’. Justeru, garis panduan sebagai kawalan pertama amatlah perlu agar kesarjanaan ilmu berbantu kecerdasan buatan dapat mengekalkan integritinya.

UTM NewsHub: Dengan adanya medium seperti ini, adakah ia dianggap perisian pintar masa depan yang boleh dibanggakan?

Ts. Dr. Farhan: Apabila kalkulator diperkenalkan, ia telah banyak mengubah dunia dengan memudahkan matematik dalam pelbagai bidang, dari kiraan peruncit di kedai-kedai kecil sehinggalah pengiraan saintifik dan kejuruteraan yang kompleks. Namun, kalkulator tidak sama sekali menutup kesarjanaan matematik, malah memberi laluan kepada pengenalan dan penggunaan matematik yang lebih kompleks.
Justeru, perisian ini bersifat ‘disruptive technology’ lantaran ia masih perlu diteroka untuk memaksimumkan kelebihannya, dan pada masa yang sama perlu diimbangi dengan garis panduan yang membina agar kesarjanaan ilmu dapat dikekalkan pada standard yang tinggi.

*Ts. Dr. Farhan Mohamed merupakan Pengarah Jabatan Komputeran Emergen, Fakulti Komputeran UTM. Kepakaran beliau kini menjurus kepada visualisasi data, analitik visual, metafora visual, interaksi komputer-manusia, persekitaran maya, dan prosedur grafik komputer.

Explore More