Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 11 Nov. –  Pemimpin masa kini perlu memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk mewujudkan budaya organisasi yang telus, relevan, bermakna, menarik dan memberi inspirasi. Usaha ini adalah relevan dengan dunia masa kini, di mana  manusia semakin bergantung kepada teknologi. Untuk menjayakan usaha ini, pemimpin mesti berani membuat perubahan dan menghapuskan rasa takut, salah anggapan dan pemikiran negatif berkaitan penggunaan teknologi seperti media sosial, peranti mudah alih dan lain-lain lagi.  Sebaik sahaja kesemua halangan kepada perubahan ini dihapuskan, mereka perlu mewujudkan visi untuk penggunaan teknologi yang berkesan dan untuk meningkatkan pelbagai aspek kepimpinan.

Kepimpinan digital bukan bererti pemimpin perlu memfokuskan kepada penggunaan alat teknologi yang moden dan canggih, tetapi merujuk kepada kepimpinan yang memberi penekanan kepada pemikiran strategik  pemimpin dalam memanfaatkan sumber yang ada untuk menambah baik perkara yang mereka lakukan sambil membuat perubahan yang perlu untuk memupuk budaya organisasi yang tertumpu kepada penglibatan dan pencapaian yang cemerlang. Ia adalah konstruk kepimpinan baharu yang berkembang daripada hubungan simbiotik pemimpin dengan teknologi. Hasil akhirnya nanti adalah  perubahan mampan dalam sesuatu program, arahan, tingkah laku dan amalan kepimpinan dengan teknologi sebagai elemen penting.

Terdapat tujuh asas kepimpinan digital dalam pendidikan yang boleh diaplikasikan oleh pemimpin dalam usaha untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan mengubah amalan profesional serta membuat perubahan yang mampan untuk kecemerlangan organisasi masing-masing.

  1. Komunikasi – Pemimpin masa kini boleh menyampaikan maklumat kepada pelbagai pihak dalam masa yang sangat singkat melalui pelbagai jenis peranti dan melalui media sosial. Mereka tidak lagi melakukan kaedah tradisional dengan menulis surat atau membuat panggilan telefon secara individu. Maklumat penting boleh disampaikan melalui pelbagai cara dalam masa yang sangat singkat dan secara percuma. Mesyuarat juga boleh diadakan pada bila-bila masa dan tiada halangan lokasi dengan wujudnya pelbagai applikasi seperti Zoom, Webex, Skype dan lain-lain.
  2. Perhubungan Awam – Pemimpin berupaya berkongsi maklumat berkaitan organisasi dengan dunia luar pada bila-bila masa dengan membentuk asas platform perhubungan awam yang positif, seperti alat media sosial Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain lagi percuma. Usaha ini menggalakkan pihak organisasi berkongsi semua perkara positif dengan masyarakat luar dan mewujudkan tahap ketelusan yang sangat diperlukan dalam zaman retorik negatif terhadap pendidikan.
  3. Penjenamaan – Pemimpin boleh memanfaatkan media sosial untuk mencipta jenama sendiri yang positif dan menekankan aspek positif budaya, meningkatkan rasa bangga komuniti terhadap organisasi dan  menarik hati ibu bapa dalam memilih organisasi (sekolah atau institusi pendidikan) untuk anak-anak mereka menimba ilmu.
  4. Pembelajaran Pelajar – Pemimpin perlu memainkan peranan dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sentiasa menarik dan kondusif. Mereka juga perlu menggalakkan pelajar-pelajar untuk mencipta artifak pembelajaran yang menunjukkan penguasaan konsep mereka. Ini merupakan anjakan pedagogi yang penting. Pelajar-pelajar bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga menguasai  kemahiran penting seperti komunikasi, kerjasama, kreativiti, literasi media, berkaitan global, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.
  5. Pembangunan Profesional -Dengan wujudnya media sosial, sekolah atau institusi pendidikan tidak boleh menjadi entiti yang terasing atau ketinggalan maklumat. Pemimpin boleh membentuk rangkaian pembelajaran mereka sendiri untuk memenuhi keperluan pembelajaran yang pelbagai, mendapatkan sumber, mengakses pengetahuan, menerima maklum balas, berhubung dengan pelbagai pihak dan membuat forum atau perbincangan berkaitan usaha untuk meningkatkan proses pengajaran, pembelajaran dan kepimpinan.
  6. ‘Re-Envisioning’ Ruang dan Persekitaran Sekolah – Setelah pemimpin memahami asas kepimpinan digital dan cara untuk mengimplementasikannya untuk memulakan perubahan yang mampan, langkah seterusnya ialah untuk mengubah ruang dan persekitaran pembelajaran yang menyokong set kemahiran penting dan relevan dengan dunia sebenar. Pemimpin mesti mewujudkan visi dan pelan strategik dalam membangunkan bangunan sekolah atau institusi pendidikan mempunyai ciri-ciri dan dinamik yang merangkumi ruang dan persekitaran pembelajaran yang inovatif, sebagai contoh menghasilkan hybrid classroom, 21st century classroom dan lain-lain lagi.
  7. Peluang – Pemimpin perlu menambah baik program, sumber dan pembangunan profesional sedia ada secara konsisiten. Mereka perlu memanfaatkan network yang dimiliki melalui teknologi dan meningkatkan peluang untuk membuat penambahbaikan merentas pelbagai bidang budaya sekolah.

Secara kesimpulannya, pemimpin sekolah atau insitusi pendidikan perlu menjadi pemangkin kepada perubahan menuju era baharu ini. Dengan memperhalusi ketujuh asas kepimpinan digital ini dan mengambil initiatif untuk mengimplementasikannya, pemimpin pendidikan mampu mengubah organisasi mereka  menjadi organisasi yang menyediakan pelajar dengan kemahiran era digital yang penting dan melibatkan peranan positif pelbagai pihak berkepentingan untuk mencapai kecemerlangan organisasi yang dipimpin.

 

 

 

Explore More