November 22, 2024

Search
Close this search box.

Graduan OKU Mental Raih CGPA 3.94, Hadiahkan Ijazah Sarjana Buat Keluarga

Oleh: Amirul Irfan Shahrul Izar 

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – “Berbekalkan minat dan semangat untuk menuntut ilmu, saya cabar kemampuan mental saya”, itulah ungkapan yang disebut oleh seorang graduan yang berjaya secara rasmi menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.

Dikala mahasiswa lain tertekan disebabkan banyaknya tugasan yang diberikan oleh pensyarah, lain pula cabaran bagi ayah kepada lima orang anak, Sani Ahmad yang harus menuntut ilmu sambil mengalami mental bipolar disorder type II. Bagi pesakit bipolar, ada masanya mengalami fasa manik, dimana pesakit tidak dapat tidur kerana banyak berfikir dan ada masanya mengalami fasa depresi yang keterlaluan.

Namun begitu, graduan dari jurusan Sarjana Teknologi Pendidikan ini tidak melihatnya sebagai satu kekurangan. “Ketika fasa manik, saya mengambil peluang tersebut untuk membuat pembacaan dan juga tesis. Manakala pada waktu depresi pula, saya memaksa diri untuk berinteraksi bersama pensyarah dan rakan-rakan semasa sesi diskusi. Melalui perkara ini, sedikit sebanyak dapat meredakan rasa depresi yang dialami”, kata beliau ketika ditemu bual.

Di samping menjadi seorang mahasiswa, beliau juga merupakan seorang guru ict/data yang berkhidmat di sebuah sekolah. Usai mengajar di sekolah pada waktu pagi, beliau bergegas pulang untuk laksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar universiti sehingga lewat malam dan ada kalanya sampai ke pagi.

Cabaran beliau tidak terhenti setakat itu. “Dari kecil saya menumpang hidup dengan mak saudara disebabkan mak saya juga pesakit mental. Mak saudara pula mempunyai anak yang ramai, jadi tidak mampu untuk menghantar saya belajar tinggi-tinggi. Saya cemburu dengan kawan yang habis SPM boleh terus sambung belajar. Selepas kerja, baru saya berpeluang untuk melanjutkan pelajaran”, tambah beliau.

Semasa peperiksaan akhir, beliau sekali lagi diuji apabila mengalami slip disc L5-S1 dan terpaksa dimasukkan ke wad. Beliau yang pada ketika itu sedang menduduki peperiksaan Mobile Learning Application, terpaksa menyiapkan projek akhir dalam keadaan menanggung kesakitan di hospital.

Hasil titik peluh dan kesabaran mengharungi pelbagai onak duri kehidupan, Sani Ahmad berjaya memperolehi CGPA 3.94, di mana 4.0 untuk tiga semester dan 3.79 bagi satu semester.

Oleh kerana minatnya yang sangat tinggi untuk menuntut ilmu, beliau bertekad untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Kini, beliau masih lagi berkhidmat sebagai seorang guru dan sedang menunggu keputusan tajaan Yayasan Bank Rakyat bagi menyambung pelajaran.

Explore More