Disember 27, 2024

Dugaan Ibu Hidap Kanser Tidak Patahkan Semangat Dua Beradik Raih Ijazah Bersama

Oleh: Amirul Irfan Shahrul Izar 

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – “Saya mahu ibu dan ayah bangga dengan saya”, demikian kata-kata yang terungkap di bibir seorang graduan yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran semasa proses pengajian, Nuraihanah Najihah, 23 dan abang sulungnya, Muhammad Faris Iqbal, 30 merupakan dua beradik yang sama-sama bergraduasi pada Majlis Konvokesyen ke-66 UTM hari ini.

“Saat paling getir buat kami adalah semasa ibu tercinta kami telah disahkan menghidapi kanser payudara. Ibu saya perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 14 kali, rawatan radioterapi 15 kali serta pembedahan mastektomi bagi mencegah penyebaran kanser yang lebih meluas.”

Keseluruhan rawatan telah memakan masa lebih kurang setahun dan selepas menjalani rawatan tersebut, ibu saya perlu berjumpa doktor sebanyak tiga bulan sekali bagi mendapatkan rawatan susulan”. Beliau yang ketika itu berada dalam Tahun 2 pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) perlu berulang-alik ke hospital bagi menemani ibu menjalani rawatan bersama ayahnya. 

“Mujur semua proses pembelajaran diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, saya dapat menjaga ibu dengan lebih baik. Pernah suatu ketika, saya kelam kabut menghadiri kelas di dalam wad sambil menguruskan ibu di hospital. Semasa cuti semester pula, saya menggunakan peluang tersebut untuk menjaga ibu sepanjang masa.”

Meskipun abang sulungnya sibuk dengan kerjaya sebagai penolong jurutera dan pada masa sama menyambung pengajian separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, beliau banyak membantu dalam menguruskan hal-hal rumah sepanjang ibunya menjalani rawatan.

Melihat akan kekuatan dan kecekalan ibunya berjuang untuk sembuh, beliau dan juga abang sulungnya lebih bersemangat untuk terus belajar dan menamatkan pengajian. Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu sememangnya mengimpikan untuk bergraduasi dan berkongsi pentas konvokesyen yang sangat bermakna bersama abang sulungnya.

“Pesanan saya, sayangilah dan sentiasa utamakan ibu ayah. Apabila hubungan kita dengan ibu bapa baik, dengan izin Allah hati akan tenang dan mudah untuk belajar.” Itulah pesanan yang diberikan oleh beliau buat para pelajar di luar sana. 

Explore More