Disember 28, 2024

UTM bangun, ekosistem kampus kondusif, selesa

Universiti naik taraf kemudahan pastikan mahasiswa sihat dari segi fizikal, mental

Johor Bahru: Persekitaran ekosistem kampus yang kondusif adalah elemen utama dalam memastikan pelajar mendapat pengalaman suasana pembelajaran yang menyumbang kepada pembangunan pelajar holistik.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Hamdan Ahmad, berkata justeru proses ubah suai dan transformasi fasiliti yang dijalankan di UTM menitikberatkan aspek fizikal, emosi dan sosial pelajar supaya lebih ceria dan kontemporari, selain selari dengan peredaran zaman serta memenuhi selera generasi baharu.

Katanya, ekosistem kampus yang kondusif adalah satu daripada tujuh strategi Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“UTM menyahut saranan ini bagi memastikan universiti dapat mewujudkan suasana selesa dan sejahtera kepada pelajar, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan pelajar sepanjang pengajian.

“Ekosistem kampus yang kondusif merujuk kepada empat aspek yang diberikan tumpuan iaitu ketersediaan infrastruktur dan fasiliti, persekitaran sejahtera, aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran yang positif dan futuristik.

“Sebagai contoh, UTM mempunyai 10 kolej kediaman di kampus Johor Bahru yang mampu menempatkan 16,000 pelajar manakala 2,800 pelajar bagi satu kolej kediaman di kampus Kuala Lumpur. Buat masa ini kediaman di UTM mencukupi bagi keseluruhan pelajar baharunya dan jika kerja penaiktarafan selesai dapat menampung kesemua permintaan pelajar yang ingin tinggal di kampus.

“UTM juga sentiasa memastikan perkhidmatan pengangkutan yang ditawarkan sentiasa mencukupi dan berkesan. Naik taraf arked dan kafe menjadi lebih ceria, kemudahan rekreasi yang pelbagai, capaian internet yang stabil serta keselamatan kampus terjamin adalah antara aspek dititikberatkan untuk ke sejahteraan pelajar,” katanya ketika ditemui BH.

Sumber : Berita Harian – 8 Oktober 2022

Baca artikel

Explore More